Tuesday, June 1, 2010

Wanita Itu

Pada dia kita panggil ibu, kakak, adik, isteri. Pada dia kita kongsikan sebuah ikatan kekeluargaan. Wanita itu bayangan lelaki. Wanita itu penuh suci & misteri. Bangun jatuhnya sebuah kerajaan, hanya dengan ditapak kaki seorang wanita.

Sejarah kaya dengan seribu satu pelajaran & pengajaran. Hanya yang buta mata hatinya sahaja akan membiarkan sejarah semalam kosong dari pedoman. Memang sejarah akan berulang, hanya pembawa watak sahaja yang berbeza.

Wanita Itu

31 Mei merupakan hari lahir mama. Tanpa dia siapalah saya. Justeru itu, saya pohonkan doa anda sebagai pembaca dan sahabat-sahabat mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapa saya. Tiada mereka, anda tidak mengenali saya hari ini.

Justeru itu, Selamat Hari Lahir Mama. Kunci syurga saya ada padanya. Kerana setiap anak lelaki, keutamaan mereka adalah ibunya. Si isteri jatuh tempat kedua. Si isteri pula, perlulah memahami, seandainya mereka mahu anak-anak mereka pula menyayangi mereka, haruslah mereka terlebih dahulu meredhakan si suami untuk mendahulukan ibunya. Kerana ibunya adalah mahar untuk membayar kerahmatan hidup di dunia dan akhirat sana.

Pesan buat diri saya dan sidang pembaca sekalian. Rebutlah peluang untuk kita memperolehi keredhaan-Nya melalui redhanya kedua ibu bapa kita. Kerana celakalah bagi mereka yang mempunyai kedua orang tuanya, tetapi tidak dapat masuk ke syurga. Celakalah mereka! Celakalah mereka!

Di kesempatan ini juga, marilah kita bersama-sama meringankan tangan & lisan untuk mendoakan kesejahteraan saudara-saudara kita yang berkonvoi untuk menjalankan satu misi suci bagi membantu saudara-saudara seagama kita di Ghazzah sana. Semoga Allah menyertakan tentera-tentera tersembunyi-Nya bagi membantu mereka semua.

Sekali lagi, Selamat Hari Lahir Mama. Semoga dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan sihatkan tubuh badan untuk terus beramal bakti pada Ilahi. Amin.

Ibnu Abdullah,
Dar Musta'mal, Al-Karak, Jordan.

No comments:

Post a Comment