Saturday, June 12, 2010

Sepatu Khinzirku

Geram. Itulah perasaan saya setelah 3 bulan melanyak kasut berjenama Crossbow. Pelaburan JD30 disangkakan boleh memberi pulangan dalam masa 1 tahun, tak perlu lagi untuk membeli kasut-kasut lain, tapi sayang. Saya juga bukanlah jenis yang mudah melaburkan duit pada barangan seperti kasut, gadjet, pakaian dan lain-lain. Fikir 10 kali, baru boleh beli. Lagipun, saya bukan orang berada. Namun, apa yang berlaku ini semuanya gara-gara keterlekaan saya sendiri dalam meneliti setiap barangan yang dibeli.

Terima kasih buat sahabat yang menyedarkan saya bahawa kasut yang telah saya lanyak itu rupa-rupanya dihasilkan dari kulit haiwan merah jambu tersebut. Cute as pigs, bak kata orang puteh, tapi sayang, bernajis. Najis 'mughallazhah' pula.

Macam mana kulit 'pinky' boleh jadi hitam??


Tak Puas Hati

Biasalah, saya sebagai manusia biasa tidak dapat tidak, terdetik rasa tidak puas hati, jauh nun disudut hati saya. Pertamanya, saya memetik papan kekunci, tentang hukum memakai kasut yang diperbuat daripada kulit babi atau nama saintifiknya 'Sus scrofa domesticus', seperti yang tertulis di Wikipedia. Lantas, carian Google menemukan saya dengan laman INFAD, salah sebuah Intitusi Penyelidikan & Pengurusan Fatwa Sedunia dibawah kendalian U.S.I.M, universiti yang pernah saya transit selama 2 bulan.

Jawapan di laman INFAD (Klik Sini) masih tidak memuaskan hati saya. Hilang selera makan memikirkan nasib kehilangan kasut kulit babi tersebut. Lalu, dengan sedikit usaha dan semangat rajin, saya menyelak lembaran kitab 'Fiqh Islami Wa Adillatuh' karya ulama besar, Dr. Wahbah Az-Zuhaily.

Perbahasan Fuqaha'

Secara konklusinya, Imam Abu Hanifah menyatakan bahawa penggunaan kulit yang disamak adalah suci dan diharus untuk digunakan. Bersandarkan kepada 2 hadith. Pertama, yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, sabda Rasulullah S.A.W, "Sebarang kulit yang telah disamak, maka sesungguhnya, ia suci", hadith Hasan. Hadith kedua diriwayatkan oleh Abu Daud & An-Nasaie, diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W melalui halaman sebuah kaum (perkampungan) pada peperangan Tabuk, lalu diminta minuman dari mereka; Berkata Rasulullah : "(Adakah) terdapat air?" Dijawab seorang perempuan : "Tidak wahai Rasulullah, melainkan padaku hanya seberkas air dari kulit bangkai". Jawab Rasulullah : "Bukankah telah disamak?". Jawab si perempuan : "Ya", lalu dijawab Rasulullah S.A.W : "Sesungguhnya telah sucilah ia setelah disamak". Namun pengecualian terhadap 2 jenis kulit, pertama kulit babi dan yang kedua kulit manusia.

Sedikit berbeda dengan Imam Syafie', disyaratkan agar dibersihkan dan disamak kulit bangkai tersebut dengan sesuatu bahan yang menyebabkan sehingga tertanggalnya bahan-bahan kumuhan, tahi dan sebagainya yang terlekat padanya. Dan dihukumkan masih tidak suci sekiranya disamak dengan cara menjemurnya, atau mengawet(mengasinkan) atau dibersihkan dengan tanah dan sebagainya. Dan tidak suci bagi kulit babi, anjing atau yang lahir dari keturunan keduanya walaupun disamak.

Manakala pendapat yang masyhur bagi Mazhab Maliki dan Hanbali, adalah tidak suci sebarang kulit yang disamak kerana najis yang terdapat padanya. Bersandarkan kepada sebuah hadith dari Abdullah Ibn 'Ukaim, yang pada pendapat mereka telah menasakhkan hadith riwayat Ibnu Abbas tadi. Dan beberapa pendapat yang lainnya, ada yang mengharuskan dan ada yang tidak mengharuskannya. Allahu a'lam

Mencari Jawapan Dalam Pengetahuan

Seandainya masih ada keraguan terhadap apa yang dibincangkan, jalan-jalan keluar masih terbuka lebar. Pergilah bertanyakan kepada yang lebih tahu dari saya yang tidak tahu ini. Perkongsian di atas sekadar atas kemampuan dan kefahaman saya terhadap apa yang ada digenggaman saya.

Sebenarnya terlalu banyak masalah yang timbul yang masih tidak kita ketahui jawapannya. Terkadang juga, kita hanya mengetahui, tanpa benar-benar kita fahami. Seperti apa yang berlaku ke atas saya, sekadar mengetahui melalui pengajian, sekarang bila ia benar-benar berlaku ke atas diri saya barulah saya fahami apa yang saya pelajari selama ini. Alhamdulillah.

Tuntasnya, saya berharap kejadian yang berlaku kepada saya tidak berlaku ke atas sahabat-sahabat dan sidang pembaca budiman sekalian. Perlunya kita teliti terlebih dahulu dalam membeli barang-barang buatan kulit. Kalau murah tak mengapa, ini mahal. Mahu menangis pun, seperti tidak ada gunanya. Namun, hukum tetap hukum, disinilah kita belajar untuk menguji sejauh mana tahap keimanan kita terhadap kehidupan dunia. Adakah benar-benar selari dengan jalan dan syariat Tuhan? Tepuk dada, tanyakan Iman.

Kasut ini memang sangat selesa.


Nampak? Titik-titik 3, kalau nak lebih jelas, untuk kenal kulit babi al-khinziri (Klik Sini)


Memang sedih, mahal bukan main, tapi apa daya, hakikatnya ia najis. Dan juga kerana saya adalah Muslim yang cintakan kebersihan. Kebersihan itu lambang keindahan. Dan Allah suka pada yang indah-indah.

Selamat Jalan Sepatu Khinzirku. Semoga ada gantinya.

Rujukan
i - Fiqh Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah Az-Zuhaily

Ibnu Abdullah,
Dar Musta'mal, AlKarak, Jordan.

No comments:

Post a Comment