Tuesday, June 29, 2010

Hujah Bersandarkan Dalil



Banyak yang boleh kita pelajari dari ulama' terdahulu, bahawa setiap hujah mestilah bersandarkan dalil. Dalil yang kukuh sebagai sandaran agar hujah yang dibawa tidak longlai ditujah oleh alasan-alasan bodoh dari akal yang rapuh. Sebagai contoh, pelajar usuludin biasanya akan memahami, bagaimana Imam Al-Ghazali menolak pemahaman falsafah di dalam aqidah, dengan karyanya Tahafut Al-Falasifah . Kemudiannya pula, bagaimana Ibnu Rusyd menolak kembali pemahaman Al-Ghazali dengan tulisannya Tahafut Tafafut. Islam mengajar kita, menolak hujah dengan bukti-bukti yang nyata, sehinggakan kafir Quraisy yang menolak dakwah Rasulullah S.A.W dalam diam turut mengakui kebenarannya. Namun ia tetap menidakkan dengan alasan yang rapuh akibat dari nafsu ammarah yang tidak di pandu dengan wahyu. Apabila akal mendahului wahyu, apabila emosi ditunggangi nafsu, pasti dan pasti segalanya hancur musnah tak terperi.

Kebiasaannya, apabila hujah mula rapuh tanpa bukti-bukti yang kukuh, akhirnya pasti fitnah yang akan ditempuh. Bagaimana kita melihat dalam apa situasi sekalipun hari ini, biarlah isunya dari agamawan, bangsawan, negarawan, politikusan, mahupun masyarakat kebanyakkan, sesudahnya dari fatrah perdebatan, pasti ada pihak yang akan dilemparkan fitnah, caci maki dan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas. Firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Furqan ;

أَرَءَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَـهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلاً

Have you seen him who has taken as his god his own vain desire Would you then be a guardian over him? (25 : 43)


Al-Allamah Syeikhuna Syeikh Sya'rawi menyatakan di dalam tafsirnya tentang ayat ini bahawasanya di wahyukan kepada Rasulullah S.A.W untuk menjelaskan bahawa agama itu adalah benteng dan garisan untuk mengawal manusia dari melampaui batasan dalam mengikut hawa nafsu. Syeikh Sya'rawi juga melemparkan persoalan, mengapakah hawa nafsu itu sering bersalahan? Ini kerana tabiat kehidupan manusia itu sering menuntut tuntutan yang berbeza. Contoh mudahnya ketika mana kita berjalan-jalan di Mall, seiring dengan pandangan mata kita, pasti nafsu akan menuntutnya. Nampak restoran, perut memohon. Nampak kedai pakaian, badan meminta. Nampak perempuan, syahwat memomoi. Itu semua, tanpa wahyu dan akal memandu, pasti akan lesu manusia dibuatnya.
Syeikh Sya'rawi juga menyatakan, kata-kata ulama tentang nafsu ;

آفة الرأي, الهوى
Virus pandangan (akal) itu adalah nafsu


Kembali kepada persoalan hujah tadi, banyak dari nas dan hadith memperincikan tentang kebenaran ataupun penghujahan itu memerlukan bukti dan sandaran. Firman Allah lagi di dalam surah Al-Baqarah, ayat 111 ;

قُلْ هَاتُواْ بُرْهَـنَكُمْ إِن كُنتُمْ صَـدِقِينَ

"..Say (O Muhammad ), "Produce your Burhan (Proof) if you are truthful.''"


Teringat saya bagaimana guru saya, Ust Uda Kasim menceritakan kisah di sebalik ayat ini. Suatu ketika Rasulullah S.A.W melihat pertelingkahan di antara orang-orang Yahudi dan Nasrani tentang siapakah yang akan memasuki Syurga. Masing-masing mempertahankan hak, kononnya masing-masing berada di landasan kebenaran. Lantas Allah menegur dan menyatakan "..تِلْكَ أَمَانِيُّهُمْ.." (..These are their own desires..). Dan di akhir ayat 113, Allah memperkuatkan tentang sifat Adilnya di atas setiap apa yang diperselisihkan sesama manusia di muka bumi ini.

"كَذَلِكَ قَالَ الَّذِينَ لاَ يَعْلَمُونَ مِثْلَ قَوْلِهِمْ فَاللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَـمَةِ فِيمَا كَانُواْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ"

(Like unto their word, said those (the pagans) who know not. Allah will judge between
them on the Day of Resurrection about that wherein they have been differing)


Sesungguhnya pengadilan Allah jualah yang maha adil. Masing-masing telah berhujah, masing-masing bersandarkan dalil. Semoga kita di rezkikan untuk mengikuti kebenaran dan dan di rezkikan untuk menjauhi thagut.

Selamat berdebat buat adik-adik terutamanya SAMTTAJ Shah Alam dan SAMT Hisamuddin Kg. Jawa di Pertandingan Debat Bahasa Arab Peringkat Kebangsaan Kali Ke-3 anjuran Univ. Sains Islam Malaysia. Kalau kalah jangan di caci pula kumpulan yang menang. Kalau menang, jangan di pandang rendah kumpulan yang kalah. Kalah menang itu adat bertanding. Tapi kebenaran kebatilan, itu adat kehidupan seorang manusia.

Orang Cerdik Mengenali Orang Bodoh, Tapi Orang Bodoh Tidak Kenal Orang Cerdik - Ust. Mohd. Ridhuan Khalin

Ibnu Abdullah,
Univ. Mu'tah, AlKarak, Jordan

No comments:

Post a Comment