Thursday, June 3, 2010

Lenturan Terbaik Ketika Rebungnya

Saya ketika di S.R.A Seksyen 19, 5 Ubaidah, 2001
Kredit : Nasihah Kamil

Masa berputar-putar ligat. Benarlah sumpah dan janji Tuhan, demi masa, manusia itu MEMANG sentiasa kerugian. Namun pengecualian buat dua golongan dari Tuhan, mereka golongan yang beramal soleh yang berpesan-pesan dengan kebenaran, dan juga berpesan-pesan dengan kesabaran.

Zaman Kecil

Zaman kecil kita kaya dengan pelbagai cerita. Kaya dengan pelbagai telatah riang, gembira, ceria tiada duka. Walaupun tidak semua dari kita datang dan dibesarkan dalam keluarga yang kaya, senang, bukan papa, tetapi itu tidak bermakna zaman kecil kita tiada cerianya. Kerana sepahit apapun perjalanan hidup seorang hamba, pasti akan ada pelajaran & pengajaran untuknya.

Banyak kisah-kisah Rasul telah kita hadamkan semenjak kecil. Banyak kisah-kisah tauladan telah kita cernakan. Sama ada melalui perkongsian ibu bapa di rumah ataupun dari sesi pembelajaran di sekolah. Usia kecil adalah rebung yang perlu di lentur. Lenturan yang baik, menghasilkan buluh yang baik & cantik mengikut apa yang telah kita lenturkan.

Seinfiniti syukur saya panjatkan, kerana Abah & Mama telah berikan yang terbaik untuk saya. Pengajian agama menjadi keutamaan. Didikan dan asuhan agama itulah yang menjadikan saya seperti mana hari ini. Agama itu untungnya di dunia & akhirat. Sahamnya membantu, untuk kita bayar mahar nilaian di syurga kelak. Justeru, bagi mereka yang telah mempunyai anak, jangan di sia-siakan mereka, kerana pelaburan agama itu, tiada ruginya.

Asuhan Terbaik

Yusuf A.S, Ibrahim A.S, Rasulullah S.A.W dan kebanyakkan para nabi dan rasul terasuh dengan didikan Allah S.W.T sejak kecil lagi. Bagaimana Yusuf di ajarkan untuk sabar ketika dicampak ke perigi buta, bagaimana Ibrahim melalui fatrah pencarian tuhannya. Dilihatnya satu demi satu, matahari, bintang & bulan. Dikapaknya patung-patung besar yang tidak benyawa, demi mencari dimana tuhannya. Bagaimana Rasulullah S.A.W didik dengan penuh asuhan, dari yang Maha Mendidik & Mengetahui.

Justeru itu, proses asuhan yang terbaik sememangnya ketika masih kecil. Aqidah, mengenalkan anak-anak terhadap tuhan adalah suatu pelajaran yang paling penting. Perlukan ketelitian. Perlukan kesabaran. Perlukan kebijaksanaan, dari kedua ibu bapa yang prihatin.

Benarlah akan apa yang dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W di dalam sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A ;

( كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصّرانه أو يمجّسانه )

"Setiap yang dilahirkan itu lahir dalam (keadaan) fitrah, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, atau Nasrani, atau Majusi" -Muttafaq Alaih-


Kerana apakah Islam itu tidak disenaraikan?

Mengapakah Rasulullah tidak menyebut, "Atau mengIslamkannya.."?

Kerana Islam itu F.I.T.R.A.H, Fitrahnya Islam & Muslim itu bersih. Nisbahnya fitrah itu adalah kesucian. Selain dari ajaran Muhammad mengikut landasan Allah adalah kekufuran dan bukan lagi fitrah manusia. Justeru itu, tidak hairanlah kebanyakkan dari manusia yang menyalahi fitrahnya, hidup dalam keadaan terumbang ambing. Tiada ketenangan.

Tuntasnya, pembentukan jati diri itu bermula seawal usia dilahirkan. Terima kasih sekali lagi kepada kedua iba saya atas didikan terbaik yang diberikan. Bagi mereka yang masih belum berjumpa jalan pulangnya. Carilah pedoman. Fitrah itu sentiasa dahagakan kebenaran. Selagi nyawa belum bergetar di kerongkong, selagi itu masih ada jalan pulang.

Saya rindukan saat itu. Pastinya juga anda semua.

Ibnu Abdullah,
Dar Musta'mal, Mu'tah, Al-Karak, Jordan

No comments:

Post a Comment