Thursday, June 3, 2010

Assalamualaikum!!



Mungkin sudah terbiasa agaknya, bertandang ke rumah sahabat karib. Rumah dia, rumahku jua. Justeru itu, akibat keterbiasaan yang melampau, banyak adab-adab dan hak tetamu yang telah kita lupakan. Namun satu perkara penting yang selalu kita remehkan, memberi salam.

Saya bukanlah terlalu 'rigid' tentang perkara ini. Namun Islam itu begitu indah sehingga seremeh-remeh perkara pun dijaga dan diberikan perhatian. Perkara ini juga turut melambang etika anda sebagai seorang Muslim yang beriman dan menerima ajarannya secara menyeluruh tanpa mengambil separuh-separuh.

Etika Memasuki Kediaman

يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ لاَ تَدْخُلُواْ بُيُوتاً غَيْرَ بُيُوتِكُمْ حَتَّى تَسْتَأْنِسُواْ وَتُسَلِّمُواْ عَلَى أَهْلِهَا ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ - فَإِن لَّمْ تَجِدُواْ فِيهَآ أَحَداً فَلاَ تَدْخُلُوهَا حَتَّى يُؤْذَنَ لَكُمُ وَإِن قِيلَ لَكُمْ ارْجِعُواْ فَارْجِعُواْ هُوَ أَزْكَى لَكُمْ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ - لَّيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَدْخُلُواْ بُيُوتاً غَيْرَ مَسْكُونَةٍ فِيهَا مَتَاعٌ لَّكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا تَكْتُمُونَ

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu)[27]. Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin; dan jika dikatakan kepada kamu “baliklah”, maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan[28]. Tidaklah menjadi salah kamu memasuki (dengan tidak meminta izin) mana-mana rumah yang tidak didiami orang, yang ada keperluan kamu padanya; dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu sembunyikan[29]


Jelas ayat di atas menceritakan perihal tetamu yang bertandang ke rumah saudaranya. Selagi mana anda bukanlah terdiri daripada ahli rumah tersebut, perlunya adab sebagai seorang tetamu dipraktikkan. Hatta ke atas ahli rumah itu sendiri pun ada adabnya dengan diperingatkan oleh Rasulullah S.A.W agar tidak mengejutkan ahli rumahnya jika tiba dari musafir diwaktu dinihari. Seeloknya dengan memberitahu ketibaannya seawal mungkin kepada ahli keluarganya.

Pernah suatu ketika, saya bertandang ke rumah sahabat. Kali ketiga salam diberi, baru ada yang menyahut. Arahan untuk masuk diberikan tuan rumah. Mengenangkan mungkin si tuan rumah sibuk, lalu saya masuklah sendiri. Namun keajaiban berlaku, saya dibiarkan sendirian di ruang tamu tanpa ada yang keluar dari bilik. Masing-masing bersikap, "ah, aku sibuk" ataupun, "bukan tetamu aku agaknya". Lantas, terbiarlah saya seorang di ruang tamu beberapa minit.

Biarlah sebaik mana pun kita dengan isi rumah tersebut, selagi kita bukan ahli rumah itu, ada hak & pantang larang yang Islam ajarkan. Supaya apa, supaya dari seremeh-remeh perkara inilah kita lebih dapat menjaga hubungan sesama manusia. Rambut sama hitam, hati lain-lain, siapalah yang tahu. Itu adabnya, tetamu & tuan rumah, masing-masing ada haknya.

Dan berikanlah pada yang berhak akan haknya, itu perintah Rasulullah S.A.W kepada kita, umatnya yang di cintai.

Keindahan Islam

Islam itu indah, namun kita sahaja yang selalu meringan-ringankannya. Oleh sebab itulah, jangan kita benci Islam itu, tapi bencilah si pelakunya. Kitalah, kalau tidak siapa lagi.

Walaupun status hadith Rasulullah S.A.W berkenaan tetamu, iaitu "Barangsiapa beriman dengan Allah & Hari Akhirat, muliakanlah tetamunya" bertaraf Marfu', namun masih ada 1001 pengajaran yang terselit di situ. Andaikan sahaja jika kita bersikap sambil lewa terhadap mereka-mereka yang bertandang ke rumah kita, apakah pula perasaan kita jika kita bertandang ke rumah orang dan diperlakukan sebegitu. Nah, cantik bukan Islam, hattakan aspek hati & perasaan juga turut digaris pandukan.

Kembali kepada perbincangan salam di atas, walaupun ia lebih merangkumi berkenaan adab mereka-mereka yang bertandang ke rumah orang lain, tetapi aspek si tuan rumah tetap memainkan peranan di sebalik apa yang tersurat. Justeru itu, biar siapa pun kita, sebagai tuan rumah atau pun si tetamu, yang terbaiknya, tunaikanlah peranan masing-masing.

Bersama-samalah kita menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim di atas apa yang telah Kitab Al-Quran & As-Sunnah gariskan. Semoga ada jalan yang lurus buat kita.

Ibnu Abdullah,
Mu'tah, Al-Akarak, Jordan.

No comments:

Post a Comment