Thursday, May 27, 2010

Hulurlah Walaupun 'Tiada'

Sengaja sebelum saya dan Izudin (bukan nama sebenar) pulang ke Mu'tah, kami singgah ke Balad di 'Amman. Dengan satu tujuan, untuk menikmati segelas air tebu. Bumi Jordan gersang dengan tanaman yang pelbagai, apatah lagi hasil laut. Ikan segar kalau ada di Carrefour sekalipun, mungkin ikan 2 atau 3 hari selepas di tangkap. Bayangkan pula harganya, sekilo sotong mencecah harga lebih kurang RM23. Tapi, bagi pelajar-pelajar yang dahaga dan laparkan ilmu, itu bukannya suatu kekurangan.

Kembali pada cerita di Balad, sedang kami menikmati gelas-gelas tebu manis, tiba-tiba datang seorang wanita bersama anaknya. Tanpa suara, jelas perilakunya, meminta agar kami menghulurkan wang. Ya, ini suasana biasa, di merata tempat, di seluruh dunia.
Sedangkan negara kaya pun masih ada gejala si miskin meminta wang, apatah lagi negara-negara miskin. Itu pasti.

Maka berlakulah suatu dialog, begini lebih kurang bunyinya, sambil si wanita sedang mencuba meminta wang ;

Saya : (Melayan kemanisan air tebu)

Izudin : Ni, mu hulurlah, kalau aku ada 'pitih' aku bagi dah!

Saya : Kita pun orang susah Din, belanja pun buat cukup makan.

Izudin : (Mendiamkan diri, sambil meneguk titisan-titisan terakhir air tebu)

Si wanita pun pergi menjauhkan diri, mencuba nasib kepada manusia yang lain.

Pemurahnya Rasulullah S.A.W

Pelbagai kisah sirah Nabawi telah 'dihidangkan' kepada kita umat akhir zaman. Namun sikap kita umat akhir zaman, terlalu jauh, terlalu besar jurangnya antara kita dengan Rasulullah S.A.W. Sifat pemurahnya Baginda terlalu agung untuk dilakarkan didalam manuskrip kehidupan manusia.

Pernahnya Baginda berlapar kerana datang si miskin meminta makanan.

Memberi walaupun Baginda sendiri dalam keadaan memerlukan. Untuk dibandingkan dengan kita, jauh panggang dari api.

Justeru itu, marilah sama-sama kita melatih diri yang lemah ini untuk bersikap pemurah. Biarlah sedikit asalkan ikhlas. Bersama-sama meringankan tangan untuk memberi.

Bagi si miskin yang penipu pula, kita andaikan sahaja bahawasanya di benar-benar memerlukan, dan yang lain, itu semua terserah pada Tuhan Yang Maha Mengetahui. Biarkan persoalan itu terjawab di Mahsyar nanti.

Hulurlah walaupun 'tiada'. Kerana tangan yang memberi lebih mulia dari tangan yang menerima. Allah Waliyyu At-Taufeeq.

Ibnu Abdullah,
Dar Musta'mal, Mu'tah, Al-Karak, Jordan.

No comments:

Post a Comment