Tuesday, June 22, 2010

Sukarnya Yang Bernama Istiqamah

Payahnya Sebuah Istiqamah

Dulu di sekolah, bagi mereka yang menjadi penghuni tetap sekolah berasrama, terutamanya sekolah agama, kita sentiasa 'dibelenggu' dengan suasana. Suasana yang kononnya mengikat diri dari sebuah kebebasan. Suasana yang membosankan. Suasana yang menimbulkan kebencian dan seribu satu persoalan, "perlukah aku lakukan semua ini?". Contohnya seperti ;

1 - Bacaan Mathurat selepas solat Subuh, selepas solat Asar.

2 - Zikir harian sebelum maghrib.

3 - Solat qiamullail di hujung minggu.

4 - Bayan dan kuliah tiga minit (kultim).

5 - Solat berjemaah di awal waktu.

6 - Surah Al-Mulk sebelum tidur

dan banyak lagi. Kononnya mengongkong kebebasan hidup seorang pelajar.

Tetapi, bagi saya, setelah hampir 3 tahun meninggalkan alam persekolahan, meninggalkan suasana yang kononnya membebankan waktu seorang pelajar, saya seperti merindukannya kembali. Bagi saya, kehidupan seperti itu sebenarnya terlalu indah. Memang amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada Allah terlalu banyak yang di'program'kan oleh pihak asrama dan warden. Namun sebenarnya, 'program-program' tersebutlah yang menjana kemanisan Iman.

Hari ini, saya benar-benar merindukan suasana itu. Keterpaksaan yang membahagiakan. Sebenarnya hidup tanpa suasana amat-amat memberi kesan kepada kehidupan. Lebih-lebih lagi kehidupan yang tiada disiplin. Waktu terbuang dengan keseronokan dunia. Suka saya untuk mengingatkan diri saya dan pembaca, untuk sama-sama kita mempertingkatkan amalan.

Kerana kita sering lupa, teman yang sebenar-benarnya di alam barzakh nanti adalah amalan kita sendiri. Alam yang terpisah dari manusia kebanyakkan.

Suburkan Kembali Kehidupan

Benar, posisi kita sebagai seorang pelajar di universiti terutamanya, terikat masanya dengan pembelajaran. Namun janganlah terlalu kita tinggalkan amalan-amalan yang 'remeh' tersebut. Kerana amalan tersebutlah yang sangat-sangat menjamin ketenangan hati. Belajar untuk mendisiplinkan diri mematuhi waktu-waktu yang kita sendiri tetapkan.

Memang payah, sangat payah, dan terlalu payah. Bukanlah maksud saya mendisiplinkan waktu kehidupan dengan mematuhi setiap waktu yang ditetapkan setiap hari dan langsung tidak boleh ber'tasamuh', namun yang dimaksudkan sebenarnya adalah menyusun hidup dengan penuh sistem. Ya, memang sukar, hanya yang benar-benar mampu beristiqamah sahaja yang akan berjaya.

Jadi pesannya buat kali ini, seruan supaya kita dapat hidupkan amalan-amalan yang menyuburkan benih iman. Agar tidak mudah mati, kerana layu dek tiada siraman dari pemiliknya.

Semoga Allah memilihi kita semua untuk sentiasa dekat dengan-Nya.

Ibnu Abdullah,
Dar Musta'mal, Al-Karak, Jordan.

2 comments:

Hamba Ilahi said...

betul, rindunya suasana..

~dAq tOmey~ said...
This comment has been removed by the author.

Post a Comment