Sunday, April 11, 2010

Realiti Berorganisasi : Perlukah Membangkang??

Kelmarin, saya ada berbual dengan salah seorang sahabat saya. Pelbagai cerita dikongsikan bersama. Sehinggalah terkeluar sedikit cerita berkenaan kontroversi (agaknyalah) yang melanda kehidupan sesetengah pelajar Mu'tah akibat tulisan saya berkenaan kepimpinan . Yang asalnya tulisan itu bertujuan untuk dimuhasabahkan oleh diri saya sendiri dan teman-teman yang diberikan ujian berupa jawatan, tentang amanah.

Memang manusia yang mati mata hatinya akan segera mentafsirkan bahawa amanah yang saya maksudkan itu tentang jawatan-jawatan didalam berpersatuan. Namun alangkah indahnya jika mereka yang hidup mata hatinya mampu mentafsirkan keseluruhan entri saya tersebut membawa makna tersirat tentang amanah kita sebagai khalifah diatas muka bumi Allah ini. Firman Allah S.W.T ;

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَـئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِى الأَرْضِ خَلِيفَةً

(30. And (remember) when your Lord said to the angels: "Verily, I am going to place (mankind) generations after generations on earth.'' ...)


Membangkang, Mencari Kesempurnaan

Apabila ada pihak yang melihat kewujudan saya sebagai seorang yang suka membangkang, saya amat menghargainya. Bukan penghargaan yang biasa-biasa dari saya kepada
mereka. Terima kasih.

Namun apa yang ingin saya timbulkan kali ini, keperluan pembangkang didalam sesebuah organisasi. Mari kita telusuri dari sudut siasah yang berlaku di Malaysia. Apakah kewujudan PAS, PKR dan DAP yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat di Dewan Negara diposisi pembangkang diperlukan?



Saya amat pasti, ramai dari kalangan kita yang akan bersetuju akan kehadiran mereka (PR) sebagai pembangkang. Mereka mengkritik dan membangkang kerajaan atas pelbagai alasan.

PAS membangkang kerana tidak bersetuju dengan dasar BN yang sekularisma. DAP membangkang demi mendapatkan kesamarataan antara rakyat Malaysia tidak mengira bangsa ataupun istilahnya "Malaysian Malaysia". PKR pula pada asalnya diwujudkan atas dasar menuntut bela ke atas kekejaman yang dilakukan oleh BN terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim. Dan kini mereka bergabung di atas nama Pakatan Rakyat atas alasan untuk mengubah segala ketidak adilan, kekejaman dan kerosakan yang dilakukan oleh tangan-tangan Barisan Nasional.

Adakah Membangkang Setiap Ketika?

Sudah pasti tidak.

Yang mana yang terbaik, pasti dan pasti akan dipersetujui. Mana yang kurang baik, sudah tentulah akan dibangkang. Namun, membangkang bukan sahaja bertujuan atas dasar kerana tidak seiya dan sekata didalam sesuatu perkata. Proses membangkang juga boleh terjadi didalam perkara-perkara tertentu, demi untuk mencari dan mencapai sebuah kesempurnaan.

Kerana Manusia tidak pernah sempurna. Tidak sunyi dari kekurangan dan kealpaan.

2 isi utama yang saya dapat kemukakan bahawa kritikan dan bangkangan diperlukan dalam setiap organisasi adalah kerana,

1. Mengkritik dan membangkang kerana tidak bersetuju.

2. Mengkritik dan membangkang untuk mencari sebuah kesepakatan dan kesempurnaan.

Realiti Kehidupan

Mungkin istilah lebih enak didengar oleh telinga adalah MENGKRITIK. Namun dalam
contoh yang saya berikan diatas, suka saya suaikan dengan keadaan semasa yang berlaku disekitar kehidupan saya sehari-harian.

Sesuatu program yang dijalankan oleh mana-mana organisasi adalah untuk ahlinya sendiri. Itu sudah baik bagi saya, dari organisasi yang 'hidup segan mati tak mahu'.

Namun dalam setiap program yang diadakan yang dilihat tidak mampu mencapai matlamat dan menggapai objektif yang diletakkan, sudah pasti ini akan menzahirkan kekurangan program tersebut. Di sini secara tidak langsung, sudah pasti akan mewujudkan segolongan pihak yang akan tidak bersetuju, membangkang serta mengkritik.

Adakah kita perlu melihat situasi segolongan yang tidak bersetuju ini sebagai pihak yang merosakkan jemaah?

Atau kita perlu melabelkan mereka sebagai orang yang tidak patut wujud di atas muka bumi?

Atau mengasingkan mereka dari kehidupan kita atas dasar fahamannya yang merosakkan?

Positiflah

Jika kita melihat, dan berfikir menggunakan kepala lutut, tanpa melihat dari sudut positif, sudah pasti kita akan melakukan sedemikian rupa. Namun, andai kita berfikir dengan menggunakan sepenuhnya akal yang diberikan oleh Allah S.W.T, tanpa diiringi oleh hasutan hawa nafsu, pasti kita akan menghargai kehadiran mereka sebagai suatu golongan yang mampu mengimbangi posisi, agar tidak jatuh dari landasan.

Bukan kerana apa, jika kita biarkan sesebuah parti seperti di Malaysia, memerintah tanpa diwujudkan pihak pembangkang, lama kelamaan, sudah tentu yang memerintah akan rasa Syok Sendiri. Bagaimana tidak, apabila segala perkara 'angguk-angguk, geleng-geleng' bak kata lirik lagu Ahli Fikir. Betul angguk, salah pun angguk. Salah geleng, betul pun geleng.

Tuntasnya, kritikan dan bangkangan bagi saya adalah suatu proses sunnatullah yang sudah sedia tercipta sejak dulu lagi. Ia mampu terjadi didalam pelbagai situasi dan keadaan. Ada masanya, kritikan dan bangkangan yang merosakkan boleh terjadi seperti didalam kisah Iblis yang angkuh untuk tidak bersujud sebagai menghormati Nabi Adam A.S.

Adakalahnya juga, membangkang dan mengkritik adalah untuk mencari kesefahaman dan kesempurnaan seperti yang banyak terjadi didalam pemerintahan yang wujud dari zaman Khilafah Islamiyyah dulu lagi.

Jangan dibiarkan hawa nafsu membonceng iman, dalam apapun situasi. Saya berpesan kepada diri saya dan sidang pembaca sekalian, seandainya kita di pihak yang salah, belajarlah menerima. Seandainya kita dipihak yang benar, belajarlah memaafkan. Bersikap terbukalah. Semoga ada kebaikkan untuk kita bersama.

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظّاً غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ

“Maka disebabkan rahmat Allah atasmu, kamu berlaku lemah lembut kepada mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu maafkan mereka dan mohonkanlah ampun bagi mereka…”(3 : 159)


Ibnu Abdullah
Dar Musta'mal, Mu'tah, Jordan.

No comments:

Post a Comment