Tuesday, February 2, 2010

Amanah Sebuah Jawatan

Berat hati saya untuk menulis entry kali ini. Namun berat lagi beban yang tertanggung di benak pemikiran dalam memikirkan akan kesudahannya andai dibiarkan begitu sahaja. Sudah lama saya bermukim di Mu'tah ini. Hampir 5 bulan gamaknya. Namun selama itu jugalah saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan pelbagai entiti serta organisasi yang wujud di bumi Syam ini.

Mencari seorang pemimpin yang memimpin sesebuah organisasi dengan 1001 kesempurnaan adalah mustahil. Juga mustahil bagi seorang pemimpin memuaskan dan memenuhi setiap permintaan dari ahli & rakyat pimpinannya. Namun saya melihat, masalah ini bukanlah timbul dari pemimpin yang dipilih sebenarnya. Namun timbul dari ahli & rakyat sendiri yang salah membuat pilihan.

Memilih seorang pemimpin yang mampu menjalankan tanggungjawab yang diberikan bukanlah sekadar diukur dari TAHAP THIQAH yang wujud dari PERWATAKKAN ZAHIR sahaja, ataupun memilih seseorang yang RAJIN, PANDAI, HAFIZ, mahupun mereka yang selalu memperolehi markah yang tinggi dalam setiap peperiksaan yang dilaluinya. Atau memilih dari kalangan mereka yang petah bercakap. Saya tidak menafikan bahawa kriteria-kriteria di atas adalah antara pra-syarat yang patut ada dalam diri setiap calon yang dipilih.

Namun kesemuanya itu bukanlah SYARAT UTAMA. SYARAT UTAMA yang perlu ada didalam diri dan perwatakan calon yang dipilih adalah mereka yang MAMPU BEKERJA & MENJALANKAN TANGGUNGJAWAB sebaiknya untuk masyarakat pimpinannya.

Apa guna THIQAH, andai tidak tahu menjalankan sesebuah majlis?

Apa guna HAFIZ, andai hanya bercampur gaul dari golongan yang 'sedarjat' dengannya sahaja tanpa mengambil pedoman setiap ayat yang dihafaznya?

Apa guna RAJIN, andai tidak tahu melakukan gerak kerja yang diberikan dengan sebaiknya?

Apa guna PANDAI, andai tidak mahu bertanya pada mereka yang tahu?

Membiarkan diri anda didalam kejahilan ketika memilih pemimpin adalah suatu kesalahan ke atas setiap ahli masyarakat.

Juga suatu kejahilan, jika anda sebagai pemimpin yang dipilih, mengetahui bahawa anda sebenarnya tidak layak, namun menerima amanah yang diberikan tanpa memikirkan kesan yang berlaku dihari yang mendatang di atas kelalaian dan kelekaan anda. Akhirnya, bukanlah kebaikkan yang diperolehi, namun hanya kemudharatan sahaja yang didapati.

Teguran Ikhlas

Bukanlah niat saya untuk memperlekehkan, mengkritik, membuka keaiban ataupun menjatuhkan maruah mana-mana individu yang menjadi pimpinan kepada sesebuah organisasi. Akan tetapi, saya merasakan ini adalah suatu kewajipan ke atas diri saya untuk menegur dan memperbetulkan kesilapan yang berlaku.

Mungkin ramai yang akan memperkatakan, saya selaku seorang ahli dan masyarakat yang dipimpin pun tidak menjalankan amanah dan tidak memberi komitmen yang terbaik dalam program-program yang dijalankan oleh organisasi. Ya saya mengakuinya, itu adalah kelemahan saya sendiri. Namun, bagaimanakah mampu saya merubahnya, andai sekiranya saya merasakan pimpinan sendiri yang tidak memberikan contoh yang terbaik untuk saya ikuti.

Selain itu, sikap 'pilih bulu' juga amat tersebar luas dikalangan pemimpin. Ahli-ahli yang kurang mengikuti program, yang kurang bercampur gaul dalam masyarakat yang aktif berorganisasi, ataupun yang 'kurang akhlaknya' dibiarkan terus terleka dan tidak diambil peduli.

Beginikah sikap yang sepatutnya?

Kesan Buruknya

Adakah di kemudian hari, anda sebagai DA'IE akan memilih orang yang mendengar kata, mudah faham dan selalu mendampingi anda sebagai MAD'U anda dan membiarkan mereka yang sering melawan, jarang memahami apa yang ada perkatakan dan amat kurang mendampingi anda untuk terus terbiar hanyut dalam kehidupan mereka tanpa bimbingan?
Beginikah akhlak yang diajarkan baginda Rasulullah S.A.W kepada sahabat-sahabatnya?

Percayalah, untuk menerima sesebuah amanah, amat mudah, tetapi bagi menjalankannya dengan penuh adil dan saksama, amat payah sekali. Lebih payah dari memikul seluruh isi bumi diatas pundaknya.

Tujuan Sebenar

Adalah bermulanya tujuan sebenar kita sama-sama hadir ke bumi Syam ini untuk mengaut segala ilmu yang tersimpan di perut buminya. Bukanlah tujuan kita datang untuk merebut jawatan dan amanah yang diberikan, sekadar hanya untuk mencari nama. Lantas, kembalilah kita kepada niat murni dan tujuan sebenar kita ke sini.

Akan tetapi, dengan amanah yang telah dipertanggungjawabkan, hendaklah dijalankan dengan sebaik-baiknya. Adil dan saksama dalam memberikan kepada yang berhak. Kerana anda telah SANGGUP MENERIMANYA. Apabila anda telah menyanggupi untuk menjalankan sesebuah amanah, ini juga membawa makna yang anda telah bersedia untuk berdiri dihadapan RABBUL JALIL bagi menjawab setiap soalan dan dakwaan yang akan dilontarkan di Sana nanti.

Saya pernah merasai memegang tampuk pemerintahan, walaupun 700 orang bukanlah jumlah yang besar, namun itu sudah cukup untuk mengajar saya erti amanah sebuah jawatan.
Dikutuk, diperli, dipandang rendah adalah asam garam sebagai pemimpin. Itu adalah lumrah alam. Walaupun itu telah lama berlalu, namun sesalannya tetap terasa hingga ke hari ini akibat kelemahan diri saya sendiri. Kerana jawatan bukanlah keistimewaan. Kalaulah masa mampu diulang kembali, akan saja saya menolak jawatan tersebut
mentah-mentah.

Akhir kata, saya memohon kemaafan andai ada bahasa sindiran yang terkena pada sesiapa sahaja, dan saya bersedia untuk menerima sebarang teguran andai ada dari percakapan, tingkah laku dan perbuatan saya ada yang mengjengkelkan para pembaca budiman sekalian.

Saya menyeru diri saya, dan semua sahabat yang sering menjengah blog saya, untuk mengambil sedikit iktibar dari firman Allah S.W.T yang berbunyi;

إِنَّا عَرَضْنَا الاٌّمَانَةَ عَلَى السَّمَـوَتِ وَالاٌّرْضِ وَالْجِبَالِ فَأبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الإِنْسَـنُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُوماً جَهُولاً

(72. Truly, We did offer the Amanah to the heavens and the earth, and the mountains, but they declined to bear it and were afraid of it. But man bore it. Verily, he was unjust and ignorant.) {33 : 72}

Teguran bukan tanda benci, tapi tanda sayang.

Selamat menjalankan amanah anda dengan sebaiknya.

Salam perjuangan.

Ibnu Abdullah,
Dar Skod, Mu'tah, Jordan.

2 comments:

afiq kot said...

Bersabar jer lah syeikh atas komen2 yang diterima..

“Bukanlah Nabi s.a.w itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan bukan seorang pelaknat orang lain”.(Bukhari)

Moga2 hadis menjdi penyejuk hati..Afiq S.ALAM

Izani Abdullah said...

Thanks la ust Afiq Al-Hafiz..
selalu2lah nasihatkan aku ye..

Post a Comment