Sunday, January 31, 2010

Aku, DimasyQ & Aleppo Siri 1

Sebetulnya, segalanya bermula dengan sebuah keluhan. Keluhan kerana letih melayan kerenah teman-teman bernama manusia. Walaupun pada asalnya, kembara ke Syria bersama beberapa orang sahabat. Namun akhirnya saya putuskan untuk berkelana bersendirian. Mencari suatu kelainan. Melewati tempat-tempat yang aku sendiri tidak tahu. Tanpa sesiapa menemani.

Bermula dengan menaiki teksi 'Amman-Dimasyq, bersama seorang lelaki arab lingkungan 40-an dan seorang pemuda mesir kelahiran Jordan. Perjalanan saya tidak menghadapi sebarang masalah. Namun pemuda mesir tersebut menghadapi masalah kerana taraf kerakyatannya tidak jelas. Akhirnya pemuda tersebut terpaksa berpatah balik ke 'Amman. Saya bersyukur kerana menjadi rakyat Malaysia. Passportnya di iktiraf disemua negara. Akhirnya saya meneruskan perjalanan sendirian bersama pemandu teksi tanpa ditemani sesiapa.

Lebih kurang jam 10 malam, saya tiba di kota Dimasyq. Suasana yang dingin berserta angin yang sepoi-sepoi bahasa menjemput ketibaan saya. Tanpa diketahui ke mana arah tuju, saya merayau-rayau disekitar souq hamidi. Kemudian baru saya sedari, saya tidak punyai matawang Syria. Lalu saya memutuskan untuk mencari kaunter ATM. Hampir 2 jam saya menjelajah Souq Hamidi, bertanya ke sana sini. Namun tetap tidak saya jumpai. Akhirnya saya memutuskan untuk memberanikan diri menaiki teksi, dan menyuruhnya membawa saya ke tempat menukar matawang. Mujur bersama saya ketika itu ada sedikit matawang Jordan Dinar, selesai satu masalah.

Lalu saya meminta pemandu teksi tersebut menurunkan saya di Souq Hamidi. Setibanya disitu, bayaran yang tercatat di meter hanyalah 123 Lera Syria, namun saya diminta membayar 150 Lera Syria. Hampir 5 minit saya bertelagah bersama pemandu teksi tersebut. Akhirnya, saya membayarnya 150 Lera Syria, tetapi dengan perasaan yang tidak redha, lalu saya menyergahnya, "Haram 'Alaik". Dengan muka yang tidak bersalah, dia memandu pergi. Satu nasihat saya kepada sesiapa yang ingin menaiki teksi di Syria selepas ini. Sediakan duit kecil secukupnya. Agar anda tidak di tipu dengan pemandu-pemandu teksi.

Setelah itu, tanpa punya arah tuju, saya merayau-rayau mencari-cari hotel murah sambil mencari kaunter ATM. Tiba-tiba, jauh dihati saya, terbit perasaan sayu. Mengenangkan alangkah seksanya bersendirian tanpa sebarang bekalan secukupnya. Tanpa disedari, berlinangan air mata mengenangkannya. Jika didunia, sudah cukup perit. Apakah lagi andai diakhirat nanti. Tanpa sebarang tempat untuk 'menukar duit dengan amalan' mahupun mencari 'kaunter ATM', untuk mengeluarkan sebarang simpanan.

Dengan mulut terkumat kamit membaca doa yang di ajarkan oleh abah & mama andai menghadapi sebarang kesusahan, iaitu ربّ يسّر ولا تعسّر, akhirnya terdetik dihati saya untuk masuk ke sebuah hotel murah. Dengan harga bilik sebanyak 400 Lera Syria, akhirnya saya setuju untuk bermalam di hotel tersebut. Selesai menukar pakaian. Berbekalkan wang sebanyak 100 Lera Syria, saya teruskan usaha mencari kaunter ATM. Dan akhirnya, pencarian berhasil. Dengan 1001 perasaan gembira yang terbit dilubuk hati, saya mengeluarkan sejumlah wang yang secukupnya untuk meneruskan kembara sendiri dibumi 'anbiya ini.


Hidangan pertama yang saya santap selepas seharian berlapar & dahaga tanpa niat puasa

Keinsafan menjengah jauh di dasar hati, semoga saja di Sana nanti, kita tidak akan menghadapi kesusahan. Beramalah sebanyak-banyaknya, agar mudah 'perjalanan' kita di sana nanti.

إذا مات ابن اّدم, انقطع عمله إلا ثلاث, صدقة جارية, أو علم ينتفع به, أو ولد صالح يدعو له

"Apabila matinya anak Adam, maka terputuslah segala amalnya melainkan tiga; Sedekah jariah, atau ilmu yang bermanfaat, atau anak soleh yang mendoakan (kesejahteraan) baginya."

Bersambung....

Ibnu Abdullah,
Dar Skod, Mu'tah, Jordan.

No comments:

Post a Comment