Sunday, January 3, 2010

Rasulullah Sebagai Contoh Tauladan?

Saya hampir tidak sedar, bahawa ketibaan maulid Rasulullah S.A.W jatuh pada minggu ini. Mungkin kerana terlalu banyak urusan berkaitan 'penghijrahan' mahupun keobsesan bermulanya minggu pertama pengajian di Universiti Mu'tah pada 'fasal thani' kali ini.

Namun semua itu hanyalah pada kehidupan yang sementara. Hidup yang bukan selamanya. Hidup yang tidak kita ketahui, bilakah maut menjelang tiba. Namun dalam kehidupan itu pasti adanya ujian. Ujian yang datang tidak tentu hala.

Terkadang ia menderu bagai angin ribut datang menyapa.

Terkadang ia bagai ombak laut yang ganas 'membaham' tepian pantai.

Dan terkadang pula ia menyapu lebut raut wajah, bak bayu menghembus di celah-celah daunan pohon zaitun.

Namun ujian tetap ujian. Datang dan pergi.

Pada Rasulullah Ada Contoh Tauladan

Saban tahun kita bersama-sama menyambut ulangtahun kelahiran Rasulullah S.A.W. Di ulang lagi dan lagi, tentang pengorbanan, kasih sayang, ketabahan, kecekalan Rasulullah dalam menyebarkan dakwah Islam kepada seluruh umatnya dimasa itu.

Namun bagi saya, omongan tanpa amalan, laksana pokok tiada buahnya. Kosong. Seumpama juga tin kosong, mendengung bunyinya bila diketuk, tapi isinya, hampa. Yang mengharukan, bukanlah kerana si pendengar yang tidak menpraktikan apa yang didapatinya, tetapi apabila para dai'e sendiri yang melakukannya. Saya sangat-sangat mengingatkan diri saya dan sekalian para pembaca untuk kita saling ingat-mengingati dalam melaksanakan apa yang telah kita ketahui. Semoga ada kekuatan dalam melaksanakannya.

Ya, pada Rasulullah itu sememangnya ada contoh tauladan yang paling baik untuk kita ikuti dan kita terjemahkannya dalam kehidupan kita sehari-harian. Namun persoalannya, adakah semudah itu untuk mencontohi baginda. Pada sabarnya, pada cekalnya, pada tabahnya dalam mengharungi liku-liku perjalanan dakwahnya. Bukan itu sahaja, sama-sama juga kita lihat dari sudut baginda sebagai seorang suami, ayah, ketua negara, imam, mufti dan lain-lain lagi.

Kali ini saya cuba membawa para pembaca untuk berfikir sejenak. Benarkah pada Rasulullah itu ada sebaik-baik contoh ikutan?

Ada ketikanya, rumah Rasulullah terputus bekalan makanannya. Sehingga dikisahkan, pernah Rasulullah S.A.W bertanya kepada isterinya, Ummul Mukminin, 'Aisyah R.A. adakah makanan untuk dijamah pagi itu. Lalu jawab 'Aisyah R.A. dengan penuh hampa bahawa tiada sesuatu pun untuk dimakan bagi mengalas perut pagi itu. Lalu Rasulullah S.A.W mencadangkan kepada 'Aisyah untuk sama-sama berpuasa pada hari itu.

Logiknya saudara-saudara sekalian. Inikah sikap seorang suami yang bertanggungjawab? Membiarkan dapurnya tidak berasap. Berpuasa kerana tiada apa untuk dimakan. Beginikah sikap seorang suami mithali? Dan bagi seorang wanita, adakah calon suami sebegini yang akan dipilih untuk sama-sama melayari bahtera kehidupan?

Begitu juga dalam kehidupan baginda bersama-sama isteri-isterinya. Ummahatul Mukminin tidak dihiaskan dengan gelang-gelang emas, rantai dan cincin berlian. Rumahnya hanya beratapkan pelepah-pelepah kurma dan berlantaikan padang pasir. Tiada tikar-tikar tebal buatan Turki. Mahupun sofa-sofa berjenama buatan Itali. Ataupun marmar-marmar yang berkualiti tinggi.

Setelah dua contoh tadi. Anda masih lagi waras untuk menjadikan kehidupan Rasulullah sebagai contoh?

Jika tidak, anda memang waras.

Namun, jika ya, adakah anda telah hilang akal?

Hidup dalam kemiskinan yang membelenggu. Sanggupkah anda menghadapinya.

Sesungguhnya beruntunglah bagi mereka yang telah hilang akal. Kerana pilihan anda adalah tepat. Namun segalanya berSYARAT.

2 Syarat Andai Mahu Mencontohi Baginda

Memetik firman Allah S.W.T yang berbunyi;

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الاٌّخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرا

(21. Indeed in the Messenger of Allah you have a good example to follow for him who hopes in Allah and the Last Day, and remembers Allah much.) {33:21}


2 syaratnya, pertama ;

لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ والْيَوْمَ الاٌّخِرَ


anda boleh mencontohi baginda dalam segala aspek, namun anda juga tidak boleh tidak, perlu mengikuti syaratnya. Hanya yang mereka yang mengharapkan dan meletakkan pengharapan kepada Allah dan Hari Akhirat, mampu mencontohi baginda.

Bagaimana tidak, jika kita tidak meletakkan didalam pemikiran kita seperti yang Rasulullah S.A.W lakukan, iaitu meletakkan segala pengharapan kepada Allah, sudah tentu nanti kita akan terbabas ditengah jalan. Kerana konsep dan tatacara hidup yang dijalani oleh Rasulullah S.A.W bukanlah semudah yang dijangkakan.

Banyak pahit dari manisnya. Itu syarat yang pertama.

Syarat kedua yang diletakkan oleh Allah S.W.T adalah ;

وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرا


Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya.

Ketika makan, mandi, bermain, belajar, berkerja, melancong hatta sehingga kita sedang beristinja' pun, perlulah dalam keadaan mengingati Allah S.W.T.

Bagaimana tidak, syarat kedua inilah yang dijadikan sebagai kayu ukur untuk membezakan diantara mereka yang benar-benar mahu meneladani Rasulullah S.A.W dan mengambil tatacara kehidupannya untuk digarapkan didalam kehidupan.

Seandainya terlaksana kedua-dua syarat ini. Maka, luluslah anda. Lakukanlah seperti apa yang telah Rasulullah S.A.W. lakukan sepanjang hayatnya. Biarlah hidup miskin, dapurnya tidak berasap, tiada perhiasan mewah, tiada kesenangan. Namun bagi mereka yang benar-benar mengharapkan kepada Allah dan Hari Akhirat, serta mengingati Allah sebanyak-banyaknya, mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Ingatlah, segalanya di dalam kehidupan duniawi ini merupakan sebuah ujian.

Firman Allah S.W.T ;

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُواْ الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْاْ مِن قَبْلِكُم مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَآءُ وَالضَّرَّآءُ وَزُلْزِلُواْ حَتَّى يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُ مَتَى نَصْرُ اللَّهِ أَلاَ إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ


(Or think you that you will enter Paradise without such (trials) as came to those who passed away before you They were afflicted with severe poverty and ailments and were so shaken that even the Messenger and those who believed along with him said,"When (will come) the help of Allah'' Yes! Certainly, the help of Allah is near!){2:214}


Ibnu Abdullah,
Dar Musta'mal,Mu'tah,
Karak, Jordan.

No comments:

Post a Comment