Thursday, January 7, 2010

Antara 2 Persimpangan


Manusia itu pemilih. Memilih diantara 2 jalan. Jalan kebaikkan & jalan kesesatan.
Firman Allah S.W.T;

وَهَدَيْنَـهُ النَّجْدَينِ

(And shown him the two ways) {90:10}

Namun segala-galanya tertakluk dibawah iradat dan kehendak Allah S.W.T. Siapalah kita untuk mempersoalkan dan melawan kehendak Allah S.W.T. Semuanya telah ditetapkan melalui qadarnya sejak azali lagi dan ilmu Allah itu melingkungi sebelum berlakunya sesuatu.

Salah Faham Yang Menyesatkan

Terlalu ramai manusia yang salah faham dalam memahami persoalan qadar.
Apabila sesuatu perkara, tidak kiralah berkaitan hukum-hakam, aqidah, mahupun ibadat yang tidak seiring dengan kefahaman dalil-dalil melalui Al-Quran dan Sunnah, maka akan terencatlah kefahaman tesebut. Mungkin boleh sahaja membawa kepada kekufuran.
Na'uzubillah

Di antara salah faham yang berlaku ialah apabila manusia beri'tqad bahawa segala perkara yang berkaitan dengan insan adalah telah ditetapkan tanpa ada sedikitpun ruang untuk memilih. Fahaman ini sekaligus menafikan sesuatu pekerjaan sebagai asbab dan menafikan konsep TAWAKAL. Fahaman ini dinamakan Jabbariyyah

Selain itu fahaman yang beri'tiqad bahawa segala perilaku dan kehendak manusia adalah tertakluk di atas pilihan mereka sendiri tanpa sebarang 'campur tangan' Allah S.W.T juga bersalahan dengan aqidah Islamiyyah yang sejahtera. Fahaman ini dinamakan sebagai Qadariyyah

Aqidah Islamiyyah yang sejahtera mendidik manusia agar mengimani bahawa kehendak Allah S.W.T mengatasi segala kehendak manusia. Kehendak dan kekuasaan manusia adalah begitu terhad dan terbatas. Tidak semua perkara boleh menjadi pilihan. Namun bukan semuanya sudah ditetapkan.

Sebenarnya amat sukar untuk membahaskan persoalan-persoalan aqidah secara panjang lebar ditempat-tempat umum didalam jaringan internet. Ini kerana kefahaman dalam mengimani konsep aqidah perlu bermula dari perkara paling asas, jika tidak, kesudahannya akan berakhir pada dua jalan, sama ada menjadi Gila Isim ataupun jatuh kufur.

Manusia Bebas Memilih

Manusia itu bebas memilih. Memilih ke mana juga arah tujunya. Ke kiri mahupun ke kanan. Namun ingatlah, setiap pilihan itu akan dipertanggungjawabkan. Manusia dikurniakan pelbagai petunjuk dan bantuan dalam memilih pilihan mereka. Allah mengurniakan kepada semua manusia AKAL untuk membuat pilihan. AKAL yang sihat akan memilih jalan-jalan kebenaran. Jalan menuju Syurga.

Selain itu, umat manusia juga telah diutuskan bagi mereka para nabi & rasul sebagai pembimbing dalam membuat pilihan. Selain itu, telah disediakan juga bagi semua umat manusia sebuah kitab manual. Tidak lain dan tidak bukan kitab suci
Al-Quran. Padanya terkandung seluruh petunjuk dalam menjalani sebuah kehidupan sepanjang hayat. Maka selamatlah bagi mereka yang mahu mengikutinya.

Allah S.W.T berfirman;

إِنَّا هَدَيْنَـهُ السَّبِيلَ إِمَّا شَاكِراً وَإِمَّا كَفُوراً

(3. Verily, We guided him to the way, whether he be grateful or ungrateful.) {76:3}

Pilihan Itu Ujian

Kita biasanya sudah terlalu lali menghadapi peperiksaan bukan?
Anologi yang terlalu mudah. Bayangkan anda sedang menjawab kertas Sejarah berbentuk soalan objektif. Ketika anda menandakan jawapan bagi soalan objektif tersebut, bagaimanakah perasaan anda dalam memilih sebaik-baik jawapan. Sudah tentu dengan penuh berhati-hati berdasarkan ilmu yang telah anda perolehi. Bukankah sebegitu?

Begitulah juga pada kehidupan realiti. Berhati-hatilah dalam memilih jawapan bagi setiap pilihan anda. Kerana kesudahannya, anda akan memperolehi markah yang cemerlang mahupun sebuah kegagalan.

Ingatlah firman Allah yang berbunyi;

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الاٌّخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِى حَرْثِهِ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِى الاٌّخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ

(20. Whosoever desires the reward of the Hereafter, We give him increase in his reward, and whosoever desires the reward of this world, We give him thereof, and he has no portion in the Hereafter.) {42:20}

Semoga kita bersama-sama diberi petunjuk dalam membuat keputusan dalam apa juga pilihan. Beristikharahlah, semoga beroleh sebaik-baik hidayah.

Anda mampu melakukannya

Ibnu Abdullah
Dar Cempaka, Mu'tah, Jordan.

No comments:

Post a Comment