Monday, January 18, 2010

Cinta Manusia Vs Cinta Allah

Cinta, suatu naluri yang telah Allah fitrahkan ke atas manusia. Cinta itu bisa saja membawa manusia berehat di taman-taman syurga ataupun terjun ke dalam gaung neraka yang penuh dengan pelbagai kesengsaraan yang amat dahsyat.

Ramai muda-mudi hari ini menjadi korban cinta yang bersalahan dengan syariat. Cinta yang membawa mereka kepada kesengsaraan, bukannya kebahagiaan. Mungkin apabila ditanya, mereka akan menjawab dengan pelbagai jawapan yang akan memungkinkan mereka untuk berlepas diri agar dapat terus melayari percintaan itu.

Namun ingatlah, bagaimana juga caranya mempertahankan cinta diluar pernikahan, itu semuanya mainan halus dari syaitan. Mereka akan cuba sedaya upaya untuk memperlihatkan bahawa percintaan itu nampak seiring dengan syariatullah tanpa melanggari batas-batas seorang Muslim & Muslimah.

Contohnya, mesej jam 3 pagi demi mengejutkan pasangan kekasih supaya bertahajjud. Zahirnya nampak seperti mendorong ke arah keimanan dan ketaqwaan. Namun mana mungkin, kerana apa yang bercampur di antara yang halal dan yang haram, maka kesimpulannya adalah haram.

Sabda Rasulullah S.A.W, mafhumnya;

"الحلال بيّن,والحرام بيّن"

Maksudnya : Yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas.

Naluri Manusiawi

Saya bukanlah anti-cinta. Saya juga manusia biasa. Ingin mencintai dan dicintai. Namun sejauh manakah kita mampu menahan diri dari terjebak ke dalam kisah percintaan yang merumitkan ini. Kerana cinta manusia bisa jadi gila.

Cinta itu saya ibaratkan seperti DADAH. Dadah yang tidak dikawal pengambilannya, maka akhirnya ia akan menyebabkan ketagih dan AMAT PAYAH untuk kembali menjadi neutral. Ya, cinta itu DADAH.

Teringat saya kata-kata Ustaz Pahrol Juoi berkenaan dengan cinta, lebih kurang begini;

"Cinta itu ibarat hadiah. Wajarkah kita mencintai hadiah yang diberikan melebihi dari cinta kepada pemberi hadiah tersebut?"

Nah, fikir-fikirkanlah. Anda sudah mampu berfikir.

Ya, cinta itu naluri manusia biasa. Memetik pula firman Allah S.W.T;

زُيّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوتِ مِنَ النّسَآء وَالْبَنِينَ وَالْقَنَـطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْل الْمُسَوَّمَةِ وَالانْعَـمِ وَالْحَرْثِ ذلِكَ مَتَـعُ الْحَيَوةِ الدُّنْيَا وَاللَّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَأَبِ

(14. Beautified for men is the love of things they covet; women, children, Qanatir Al-Muqantarah of gold and silver, branded beautiful horses (Musawwamah), cattle and fertile land. This is the pleasure of the present world's life; but Allah has the excellent return with Him.) {3:14}

Ya, justeru itu memang berhak manusia itu mencintai sesuatu, lantas kepada siapakah cinta itu harus disandarkan. Jawapan yang paling pasti sudah tentu menyandarkan cinta itu kepada pemiliknya, siapa lagi kalau bukan Allah S.W.T.
Dialah satu-satunya yang paling berhak mendapat cinta yang telah Dia sendiri berikan kepada makhluknya.

Cinta Allah Ada Caranya

Cinta Allah bukan hanya sekadar retorik semata-mata, diisi dengan cakap-cakap kosong tanpa sebarang amalan yang membuktikannya. Ramai daripada kita yang telah mengalah dengan cinta sesama manusia, kemudian memilih untuk mencintai Allah S.W.T hanya sekadar mengungkapnya dengan kata-kata kosong.

"Ana dah tak mahu main-main perasaan lagi. Ana lebih cintakan Allah."

"Zul, aku dah malas nak bercinta-cintun lagi. Buat penat badan je. Lebih baik aku bercinta dengan Allah."

Wah, mudahkan melafazkannya. Padahal solat jemaah tak pernah ke masjid, Al-Quran jarang sekali dijamah bacaannya. Justeru itu, bagaimana caranya?

Allah S.W.T ada menyebutnya didalam firmannya;

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيم

(31. Say (O Muhammad to mankind): "If you (really) love Allah, then
follow me (i.e. Muhammad), Allah will love you and forgive you your sins. And Allah is Oft-Forgiving, Most Merciful.'') {3:31}

Caranya menyandarkan cinta kepada Allah adalah dengan mengikuti cara hidup Rasulullah S.A.W, menyibukkan diri dengan kerja-kerja dakwah, mengikuti kelas-kelas agama, menjaga solat berjamaah 5 waktu, membaca Al-quran dan pelbagai lagi tatacara kehidupan Rasulullah S.A.W yang tidak boleh tidak, kita mesti mencontohinya.

Ini jugalah bagi saya, jalan untuk mereka-mereka yang telah 'putus cinta' melupakan kisah-kisah lalu. Bukan mudah merubah sesuatu yang berkait dengan hati, namun iltizam yang kuat berserta dengan sifat istiqamah dalam meneruskan perkara kebaikkan, mudah-mudahan akan dibantu oleh Allah.

Selain itu, kurangkan duduk bersendirian. Kerana syaitan sangat gemar mempengaruhi manusia yang keseorangan. Ibaratnya kambing yang jauh dari kawanannya, sangat mudahlah bagi sang serigala menerkam lalu menjamahnya.

Dan yang paling penting. Yakinlah akan kuasa DOA. Ceritakanlah segala masalah anda didalam doa. Bangunlah disepertiga malam mencari kekuatan yang tersembunyi. Tiada masalah yang tidak ada jalan penyelesaiannya. Kerana manusia itu tidak dibebani dengan sesuatu yang tidak mampu ditanggunginya.

Yakinlah, curahkan kecintaan anda kepada Allah mengikut caranya. Pasti anda akan merasai kemanisannya.

Cintailah si Pemberi Cinta. Selamat Bercinta

Ibnu Abdullah,
Dar Cempaka, Mu'tah, Jordan.

No comments:

Post a Comment