Friday, April 30, 2010

Apa Manhaj Enta?

Kembali segar berputik di fikiran saya akan perbualan saya bersama seorang teman dan sahabat yang saya hormati, beberapa minggu lepas. Bual-bual kosong kami singgah memasuki pelbagai ruangan dimensi, aspek politik, sosial, kehidupan sehari-harian sebagai seorang pelajar, hinggalah ke bab Nikah. Oh, mungkin saya sudah boleh membincangkannnya.

Perpspektif Manhaj

Dalam bualan kami itu, tiba-tiba saya tertarik untuk menyentuh bab berkenaan manhaj. Spontannya, kami tiba-tiba bertukar pandangan berkenaan pemikiran manhaj yang sesuai mengikut suasana kontemporari.

Jujurnya, saya bertanyakan pandangannya terlebih dahulu. Dia rupanya lebih suka untuk mendekati cara pemikiran salafi. Wah, suasana semakin mendebarkan. Bagi mereka yang suka untuk berdamping dengan cara saya, pasti akan mampu menghidu cara pemikiran saya pula. Dan noktahnya kami berbeda.

Namun, yang menjadi sisi menariknya dalam perbualan kali ini adalah persoalan pokoknya dimulakan dengan soalan biasa bagi mereka-mereka yang pakar untuk menghidu cara pemikiran manhaj orang lain. Beberapa soalan saling kami lontaran.

Dari persoalan aqidah berkait kepada hukum-hukum fiqh, kemudian bercambah kepada masalah-masalah masa kini. Kami saling bertukar pandangan tentang kesesuaian manhaj ini dipraktikkan dalam kehidupan masyarakat kontemporari masa kini.

Salaf & Khalaf

Saya masih terkial-kial cuba menghabiskan pandangan Syeikh Said Ramadhan Al-Buti di dalam kitab karangannya yang bertajuk 'As-Salafiyyah, marhalah zamaniyyah mubarakah, la mazhab islami'. Karya sentuhan ide dari seorang ulama masa kini yang tidak asing lagi.

Kitab setebal 270 muka surat ini terasa amat berat untuk dihadam. Pelbagai masalah dan kaitan yang menarik di ceritakan. Namun belumlah saya berani untuk memberi sebarang komen dan pandangan. Biarlah saya cuba untuk menghabiskannya dahulu. Saya cuba untuk menjadi orang yang boleh menerima sisi pandangan orang lain. Tasamuh yang bertempat.

Satu sikap buruk, yang ada dikalangan kita hari ini adalah ta'asub. Salaf atau Khalaf kedua-duanya mempunyai sikap ini. Inilah hasil yang lahir dari sikap dan latar pendidikan mereka yang belajar di Universiti, dapat segulung sijil, lalu bercakap bagai Imam Syafie, Hanbali, Malik dan Hanafi kesemuanya salah. Aduhai, suatu yang tidak dapat disangkal.

Sayang, sikap mereka lahir dari suasana mungkin. Mungkin juga terpengaruh dengan melihat kepada pertelagahan ulama-ulama kontemporari masa kini. Pandangan saya, mungkin kerana disiplin ilmu yang diperolehi terlalu cetek, masih belum cukup dicelah-celah dada kita sebagai umat akhir zaman ini.

Pengistilahan Salafiyyah & Khalafiyyah juga membuatkan saya membisu seketika. Bukan kerana apa, tapi atas dasar melihat persengketaan yang terhasil. Memang seronok berdebat, tetapi biarlah dengan dasar ilmu, bukan 'memancung' pendapat dhaif orang lain dengan menolak mentah-mentah di susuli oleh bahasa-bahasa yang kurang sopan. Inilah situasi yang banyak berlaku. Bertepatan dengan firman Allah S.W.T;

وَكَانَ الإِنْسَـنُ أَكْثَرَ شَىءٍ جَدَلاً

(But, man is ever more quarrelsome than anything.) (18:54)


Ya manusia terlalu banyak 'jidalnya'.

Kesesuaian Masa Kini

Berbalik kepada perbualan kami tadi, saya sempat bertanya dengannya. Apakah dia melihat, cara pendekatan Salaf yang wujud di masa kini merupakan kaedah sesuai untuk mendekatkan masyarakat kepada pemahaman sebenar kepada agama? Itu pokok persoalan. Jika anda seorang guru agama, mengajar kepada masyarakat yang pelbagai yang wujud dalam dimensi masa kini, apakah pendekatan ini sesuai?

Itu jika kita tinggal dalam satu kelompok masyarakat yang bernama Melayu. Apakah pula pendekatan kita jika kita tinggal di negara-negara Barat dan Timur Tengah. Ah, kalau saya agaknya lebih banyak membisu dari bicara. Bahasa Arab dan Inggeris pun masih merangkak, ada hati mahu jadi jaguh. Al-quran masih juz 30, Ulum Hadith masih belum dikuasai, sudah pandai tunjuk sombong, semoga saya, sahabat-sahabt saya dan kita semua bukan dari kelompok itu.

Oh, pendekatan masa kini. Sesuaikah? Saya mengajukan soalan tersebut kepada sahabat saya tadi. Menurut jawapannya, dia juga masih mencari-cari lagi kesesuaian pendekatan Salaf yang tidak banyak berhukum, tetapi lebih suka berdiri di atas jalan selamat. Menurut saya pula, jika kita praktikkan pendekatan Khalaf yang lebih suka berhukum, mungkin juga ada buruknya. Tetapi, apakah cara sebenar yang mampu menjawab persoalan-persoalan masyarakat yang celik di masa kini?

Mungkin kami masih keliru. Mungkin anda sekalian, sidang pembaca yang terkeliru. Bagi saya, bagaimanapun pendekatan kita, biarlah masyarakat melihat Islam sebagai satu jalan hidup kepada kesempurnaan. Apalah gunanya, balik ke dalam masyarakat nanti, menjadi seorang ilmuan dan tempat rujuk, tapi memecahbelahkan kesatuan masyarakat.
Zikir kuat salah, Qunut tak boleh, Tahlil bid'ah, Talqin pun salah. Apakah semua ini?

Jika kita sebagai seorang ilmuan yang bijak pandai, berhadapan dengan masyarakat Melayu yang sentimennya terlalu tinggi terhadap perbuatan 'bid'ah' yang wujud ini, sudah pasti kita akan memilih sebaik-baik jalan, agar selamat dunia akhirat, bak kata pepatah; "Bagai menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak bertabur".

Diri Anda Sebagai Ilmuan

Untuk diri anda sebagai orang yang sudah berilmu, bersikaplah seperti berilmu. Perbincangan yang menjadi hak untuk ilmuan sahaja membincangkannya, biarlah kita sebagai ilmuan sahaja yang mendebatkannya. Tidak perlu mengheret masyarakat yang masih bertatih untuk terjun ke medan tempur yang tidak berpenghujung ini. Kembalilah kepada cara pendekatan Rasulullah S.A.W dalam memperelokkan Islam itu sendiri. Semuanya terzahir melalui Akhlak dan Sikap. Itu yang paling penting.

Ah, tajuk ini tidak akan berpenghujung. Kembalilah kepada titik kesatuan kita, berakhlaklah, bukan mendabik dada. Saya yakin dan pasti, ia tidak akan berpenghujung, namun mari kita sama-sama mencari sebuah landasan agar kita dapat sehati seiring berjalan, mencari redha Allah buat bekalan, hidup yang tidak terlalu lama.

Apa Manhaj Enta?

5 comments:

muhammad syafiq said...

salam,

teringat akan kesederhanaan Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Dalam sebuah majlis beliau pernah berseloroh demikian: "Saya adalah salafi, ala sufi, ala asy'ari". Katanya lagi: "Ada orang bertanya saya: Apa mazhab tuan? Lalu jawab saya: Saya masuk ke al-Azhar sebagai hanafi. Adapun sehingga sekarang saya adalah hanafasya'i", maksudnya mazhab hanafi campur syafi'i. Lantas ketawalah semua yang ada di dalam dewan majlis itu dengan gurauan Syeikh al-Qaradhawi tersebut.

Ibnu Abdullah said...

wee~ semoga kita yg berilmu ni tak dapat tiru Rasulullah, tiru Al-Qardhawi pun jadilah!

afiq kot said...

Saya pon salaf jugek..hahah


*afiq arshad*

Ibnu Abdullah said...

Salaf?

no problem, kitakan satu!

AnA ImTiYaZ.. said...

salam...

jd, apa manhaj enta?

Post a Comment