Saturday, December 26, 2009

Pesan Imam Syafie'

Ketinggian nilai bahasa dalam sesebuah bangsa ataupun peradaban sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Sehinggakan ada beberapa pepatah yang menyebut dan menggambarkan nilai ketinggian bahasa.

Antaranya pepatah Arab yang berbunyi ;

"اللّغة هي الحياة"
"Bahasa itu kehidupan"

Bangsa Arab sejak dari dahulu terkenal dengan ketinggian nilai bahasa Arabnya.
Ini dipamerkan melalui pelbagai syair-syair terkenal. Syair cinta, syair penaik semangat, syair-syair pujian dan pelbagai lagi jenis syair yang mampu menjadikan pendengar yang memahaminya diam kaku.

Namun segala jenis syair itu dapat dipatahkan dengan ketinggian bahasa Al-Quran itu sendiri. Seperti yang telah saya ceritakan dalam entry yang lepas, tentang cabaran Allah kepada bangsa Arab, untuk mendatangkan contoh ketinggian nilai bahasa seperti ayat-ayat Al-Quran.

Namun, kali ini saya tidak berniat untuk menceritakan perihal ketinggian
bahasa Al-Quran, tetapi tentang perihal syair-syair Arab.

Syair Nasihat Imam As-Syafie'

Kelmarin, semasa kelas Aqidah Islamiyyah 1, sebelum sesi pelajaran bermula,
Dr. Ali Fawwaz ada bertanyakan kepada kami pelajar-pelajar Melayu, adakah di antara kami yang menghafal syair-syair Arab. Seperti biasa, seluruh kelas diam kaku. Sedangkan syair-syair Melayu pun tak pernah terlintas dibenak hati untuk dihafal, inikan pula syair-syair Arab.

Lalu, setelah Dr. Ali Fawwaz bertanyakan dari seorang ke seorang, akhirnya ada seorang pelajar akhawat memberanikan diri cuba membacakan syair yang dihafalnya. Bunyi syairnya;

أخي لن تنال العلم إلّا بستّة...ذكاء

lalu Dr. Ali Fawwaz dengan muka yang tersenyum riang terus menyambung;

وحرص واجتهاد وغربة وارشاد الأستاذ وطول الزّمان

Maksudnya : Saudaraku, tidaklah dapat direalisasikan ilmu itu melainkan
dengan enam (perkara), kebijaksanaan, hasrat keinginan,
merantau, tunjuk ajar guru, dan (istiqamah) sepanjang masa.


Istimewanya Syair Arab

Pernah suatu ketika, seorang teman berkata kepada saya, bahawa orang Arab lebih diam dan khusyuk apabila mendengar alunan bait-bait syair daripada mendengar alunan bacaan Al-Quran. Sungguh sebegitu sekali.

Namun, apa yang perlu diambil manfaatnya dalam entry kali ini ialah, pesanan Iman Syafie', berkenaan dengan 6 perkara yang perlu ada dalam setiap jiwa penuntut ilmu.

Pesanan yang amat berharga. Seorang penuntut ilmu yang cemerlang, perlu memiliki sikap-sikap diatas. Kebijaksanaan adalah perkara asas dalam diri penuntut ilmu. Bijaksana tak bermakna GENIUS, namun bijaksana bererti bagaimana seorang penuntut ilmu itu mampu merealitikan dan mempraktikalkan ilmu yang diperolehinya.

Ramai orang mampu menghafal berbuku-buku formula dan teori. Namun seramai mana yang mampu menjadikan teori-teori tersebut sebagai amali dan dipraktikkan dalam kehidupan mereka. Kemudian, sikap berhasrat dan berkeinginan untuk memperolehi ilmu juga ditekankan oleh Imam Syafie'. Misalnya, tidak mungkin seseorang yang tidak berminat mempelajari subjek matematik tambahan mampu memahaminya. Ini terbukti dengan pelbagai jenis kes pelajar yang tidak berminat sesuatu subjek, namun dengan keterpaksaan, mereka terus menelan kepahitan tersebut. Akhirnya, kegagalan adalah jawapan yang paling sesuai.

Bersungguh-sungguh adalah sifat ketiga yang dipesan oleh Imam Syafie'.
Sesungguhnya, sikap bersungguh-sungguh dan berkerja keras dalam melakukan apa jua perkara adalah tunggak utama dalam melakukan apa juga perkerjaan di dunia ini.

Seterusnya ialah, penuntut ilmu perlulah merantau. Tidak semestinya perlu ke luar negara. Namun cukuplah merantau mencari suasana keilmuan. Tidaklah sesuai bagi seorang pelajar, belajar dalam suasana hiburan. Sebab itulah diwujudkan
sekolah-sekolah dan madrasah yang mempunyai asrama. Tidak lain hanyalah untuk mewujudkan suasana pembelajaran

Dalam adab menuntut ilmu juga, tidak boleh tidak bagi seorang penuntut ilmu berguru dan mempunyai guru. Guru adalah menunjuk jalan. Membuka kunci-kunci ilmu, dan kemudian pelajar itu sendiri yang perlu meneruskan langkah meneroka alam ilmu itu.
Akibat tidak bergurulah, mampu menjadikan seseorang itu sesat dalam keilmuannya.
Jadilah seperti para Sahabat yang menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai guru dan mursyid mereka. Itulah sikap dan sifat yang kelima dalam mencari ilmu.


Dan yang akhir sekali. Penuntut ilmu perlulah menjadikan keinginan mencari ilmu adalah keinginannya sepanjang masa. Jika ini tidak direalisasikan, pasti dan pasti ia akan disibukkan oleh pelbagai pekerjaan yang lain. Akhirnya menyebabkan
segala-galanya terluput akibat kesibukkan ke atas selain mencari ilmu.

Begitulah, peri pentingnya seperti apa yang dipesankan oleh Imam Syafie'.
Semoga kita sama-sama dapat melakukannya.

Amin.

Ibnu Abdullah,
Dar Cempaka, Mu'tah, Jordan

1 comment:

Unknown said...

indahnya andai dpt bertemu dngNya..... setelah mmbca kisah2 ,pesanNya...terasa mcm nak dmpingiNya plak....

Post a Comment