Thursday, December 10, 2009

Mencari Sebuah Teduhan

Menjadi sebahagian daripada fitrah manusia memerlukan sebuah teduhan sebagai tempat berlindung, sama ada dari panas terik mentari, mahupun kesejukan malam yang mengigit tulang-temulang manusia.

Dari sebuah pondok usang, kepada sebuah rumah batu dua tingkat.

Dari sebuah rumah kayu beratap nipah, kepada sebuah rumah banglow berhawa dingin.

Dari sebuah rumah sewa kepada rumah apartment yang dilengkapi pelbagai kemudahan.

Semuanya itu menjadi tempat berteduh, berlindung, tempat tinggal dan tempat paling selamat dari sebarang bahaya bencana yang datang melanda.

Lindungan Yang Tiada Selainnya

Tadi, saya tertarik untuk menyelak lembaran kitab Riyadus Solihin karangan
Imam An-Nawawi Rahimahullah Alaih. Lalu ada sesuatu yang membuatkan saya terasa sebak dan sayu. Hadis berkenaan diletakkan dalamm Bab Menangis Kerana Takutkan Allah , hadis berkenaan seperti yang berikut;

وعن أبي هريرة قال: قال رسول الله صلّى الله عليه وسلّم:((سبعا يظلّهم الله في ظلّه يوم لا إلّا ظلّه: إمام عادل وشاب نشأ في عبادة الله تعالى ورجل قلبه معلّق في المساجد
ورجلان تحابّا في الله-إجتمعا عليه وتفرّقا عليه- ورجل دعته امرأة ذات منصب وجمال
فقال:إنّي أخاف الله ورجل تصدّق بصدقة فأخفاها حتّى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه
ورجل ذكر الله خاليا ففاضت عيناه)). متّفق عليه

Maksudnya : Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda : 7 (macam manusia) yang mendapat lindungan dimana hari yang tiada tempat berlindung melainkan PERLINDUNGAN ALLAH : Imam yang adil, Pemuda yang senantiasa beribadat kepada Allah, Lelaki yang hatinya terikat (pada) masjid, 2 orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah - berkumpul dan berpisah keranaNya -, Lelaki yang apabila diseru kepadanya oleh seorang wanita (untuk berbuat maksiat) lalu dia berkata : "Sesungguhnya aku takutkan Allah", dan lelaki yang bersedekah secara sembunyi sehingga tidak diketahui tangan kirinya atas apa yang di infaqkannya, dan lelaki yang bersendiri mengingati Allah lalu basah matanya menangis (kerana takutkan Allah). Muttafaqun Alaih

Apa yang membuatkan saya berhati sayu, timbul dibenak pemikiran saya, tika mana matahari sejengkal jauhnya dari tengkuk, tika mana berdirinya saya nanti dalam lautan peluh manusia, tika mana mampukah saya mendapatkan syafaat, adakah bagi saya sebuah jaminan berupa perlindungan dari semua itu?

Imam yang adil.

Pemuda yang taat beribadah.

Lelaki yang hatinya terikat kepada masjid.

Lelaki yang berkasih-kasih kerana Allah.

Lelaki yang takutkan Allah tika mana digoda syaitan untuk bermaksiat.

Lelaki yang bersedekah secara sembunyi.

Lelaki yang berzikir mengingati Allah lalu basah matanya keraa takutkan Allah.

Sudahkah saya dan anda menjadi sebahagian daripada mereka?

Soalan yang perlu dijawab dengan soalan kembali. Mampukah aku?
Mampukah aku, tika mana diberi amanah aku khianat. Begitu payah menjalankn ibadah, jauh sekali hadir ke masjid, apatah lagi sentiasa mahu berbuat maksiat. Zina mata, zina tangan, zina kaki, zina akal cuma belum lagi berzina dengan seorang wanita.
Ringankah tanganku untuk menghulur dan memberi? Selalukah aku berzikir mengingati Allah, menghitung dosa-dosa yang lalu, kemudian menangis mengharapkan redhanya.

Mampukah Aku? Tepuklah dada, tanyalah IMAN & TAQWA.

Membawa Hati Yang Bersih

"..IMAN itu disini, sambil di isyaratkan oleh Rasulullah ke dadanya.."

Hati yang bersih asas kepada kekuatan iman. Hati itu tempat lahirnya TAQWA.
Kalimah hati telah disebut secara jelas didalam Al-Quran beberapa kali.
Hati yang didalam bahasa arab disebut sebagai قلب -Qalbun-. Berasal dari kata tunjang ق-ل-ب atau Qalaba,bermaksud yang berbolak balik. Berbezanya pula dari kalimah hati untuk haiwan iaitu disebut sebagai كبدة.

Berbolak baliknya hati manusia. Mudahnya bertukar ganti perasaanya. Sedih, gembira, takut, berani, resah gelisah, tertawa dan menangis. Itu berupa perasaan zahir. Namun apa yang tersirat disebalik hati yang berbolak balik itu ialah keimanan kepada Allah. Berbolak balik dari mengimani kepada mengkufurinya. Itulah yang diajarkan oleh Rasulullah melalui sebuah doa;

"يا مقلّب القلوب. ثبّت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك"

"Wahai Tuhan pembolak balik hati-hati (manusia). Tsabitkan hati-hati kami ke atas agama dan dalam ketaatan kepadaMU"

Qalbun Salim

Bukan mudah menggapai ketenangan jiwa. Segalanya bermula dari hati. Hati sebagai pendorongnya. Pada hatilah terletak segala-galanya.

Hati itu boleh berkarat. Seperti mana besi dimusuhi air & udara yang menyebabkan kepada berlakunya karat. Begitulah juga hati. Musuhnya terlalu banyak. Jagalah hatimu dari rosak binasa dek anasir-anasir yang senantiasa mencari ruang dan peluang.

Allah ada menyebut tentang hati yang sejahtera. Firmannya ;

يَوْمَ لاَ يَنفَعُ مَالٌ وَلاَ بَنُونَ - إِلاَّ مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

(88. The Day whereon neither wealth nor sons will avail,) (89. Except him who brings to Allah a clean heart.) ((Ash-Shuara ; 88-89))

Hati yang sejahtera, penyelamat di akhirat kelak. Tika mana tiada la manfaatnya harta (yang betimbun-timbun) dan anak-pinak.

Apakah yang dimaksudkan dengan hati yang sejahtera ini. Bagi seorang mukmin, hati yang sejahtera ini lahir dari penghayatan dalam menjalani kehidupan mengikut
lunas-lunas agama dan syariatullah. Sejajar dengan itu, menjalankan perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya, tanpa perlu mempersoalkan haknya.

Siapalah kita sebagai hamba mampu mengajukan hak kita kepada Sang Pencipta.
Tanamkanlah rasa malu itu seperti mana Nabi Ayyub A.S yang malu memohon supaya Allah menarik kembali penyakit yang dihidapinya kerana sudah terlalu banyak nikmat yang dikecapi olehnya selama baginda sihat.

وإن تعدوا نعمة الله, لا تحصوها

Semoga kita tergolong dalam golongan yang mendapat perlindungan di mana hari yang tiada perlindungan melainkan perlindungan Allah.

Ibnu Abdullah,
Dar Cempaka, Mu'tah, Jordan.

No comments:

Post a Comment