Saturday, December 12, 2009

Al-Quran Itu Mencabar-Mu

Sepanjang sejarah kemunculan agama didalam kehidupan manusia, belum pernah lagi wujudnya sebuah kitab yang mampu bertahan lama tanpa berlakunya sebarang perubahan terhadapnya. Itulah Al-Quran, ia diturunkan 1430 tahun yang lalu dan masih kekal isi kandungannya. Tidak seperti apa yang dilakukan oleh Nasrani terhadap kitab Injilnya, begitu juga oleh Yahudi.

Allah S.W.T telah menjanjikan akan kekalnya isi kandungan Al-Quran dari dirosakkan oleh
tangan-tangan manusia. Ini dikuatkan melalui firman-Nya;

بَلْ هُوَ قُرْءَانٌ مَّجِيدٌ - فِى لَوْحٍ مَّحْفُوظٍ

(21. Nay! This is a Glorious Qur'an,) (22. In Al-Lawh Al-Mahfuz!) ((81 : 21-22))

Begitu sahaja Al-Quran dijanjikan akan keselamatannya. Lihat sahaja buktinya, andai seluruh Al-Quran itu dibakar, masih sahaja ia kekal tersemat di dada-dada para huffaz. Para huffaz yang keberadaannya dijanjikan oleh Allah disyurga kelak. Itu janji-Nya. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji.

Al-Quran, Mukjizat Yang Kekal

Segala mukjizat para nabi dan rasul diturunkan dalam bentuk rupa maadiah, iaitu didatangkan yang benar-benar wujud dihadapan mata. Mukjizat-mukjizat itu juga diberikan berdasarkan keadaan & bertepatan dengan kemahiran kaum tersebut. Contohnya, tongkat nabi Musa yang bertukar kepada ular yang besar melawan kemahiran kaumnya yang terdiri dari ahli-ahli sihir yang mahir menukarkan tali kepada ular. Begitu juga nabi Isa, yang bisa menyembuhkan orang yang berpenyakit kembali sihat, seperti mana keadaan kaumnya yang mahir dalam perubatan.

Dan kepada Rasulullah yang tercinta, dikurniakan mukjizatnya berbentuk Al-Quran, kerana kemahiran kaum Quraisy ketika itu yang mahir dalam bidang bahasa. Mereka terdiri dari para penyair yang mahir dalam balaghah dan kefasihan mereka dalam mempertuturkan bahasa Arab. Tidak seperti arab hari ini. Habis binasa bahasa dipertuturkan mereka dalam bahasa dan loghat tempatan.

Namun kemukjizatan Al-Quran bukanlah berbentuk maadiah, tetapi berbentuk maknawi. Ia harus difikir melalui akal, bukan penglihatan semata-mata. Kerana apa di datangkan dalam bentuk maknawi. Sudah tentunya untuk dikekalkan kewujudannya sehingga hari kiamat. Jika ia berbentuk maadiah, sudah pasti ia akan luput akibat kewafatan nabi & rasul yang tersebut. Tiada lagi tongkat nabi Musa hari ini.

Cabaran Allah Melalui Al-Quran

Mukjizat didatangkan supaya menjadi bukti kenabian dan kerasulan para Anbiya' itu sendiri. Bukti agar risalah yang dibawa diterima dikalangan kaum tersebut. Walaubagaimanapun, telah menjadi lumrah seorang dai'e, bukan semua mad'unya mampu menerima sesuatu. Pasti akan ada yang tidak mahu menerima dan menolak dakwah yang diseru.

Begitu jugalah yang berlaku ke atas dakwah Rasulullah S.A.W. Kaumnya menolak mentah-mentah akan seruan dakwah mentauhidkan Allah. Mereka mendakwa Rasulullah sebaga gila, penyair juga seorang ahli sihir.

Lantas, kasih sayang Allah mendahului segala-galanya. Rasulullah dibela oleh Allah S.W.T dari disakiti oleh kaumnya yang mendakwa bahawa Al-Quran hanyalah rekaan yang diada-adakan oleh Rasulullah S.A.W.

Maka Allah S.W.T telah mencabar masyarakat arab yang terdiri dari pakar-pakar bahasa dan penyair-penyair yang hebat. Terdapat 4 ayat cabaran yang diberikan oleh Allah melalui beberapa tingkat cabaran.

Pertamanya dari surah At-Thur ayat 34 ;

فَلْيَأْتُواْ بِحَدِيثٍ مِّثْلِهِ إِن كَانُواْ صَـدِقِينَ

(34. Let them then produce a recitation like unto it if they are truthful.)

Keduanya dari surah Hud, ayat 13 ;

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ قُلْ فَأْتُواْ بِعَشْرِ سُوَرٍ مِّثْلِهِ مُفْتَرَيَاتٍ وَادْعُواْ مَنِ اسْتَطَعْتُمْ مِّن دُونِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ صَـدِقِينَ

(13. Or they say, "He forged it.'' Say: "Bring you then ten forged Surahs like unto it, and call whomsoever you can, other than Allah, if you speak the truth!'')

Ketiganya dari surah Yunus ayat 38 ;

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ قُلْ فَأْتُواْ بِسُورَةٍ مِّثْلِهِ وَادْعُواْ مَنِ اسْتَطَعْتُمْ مِّن دُونِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ صَـدِقِينَ

(38. Or do they say: "He has forged it'' Say: "Bring then a Surah like unto it, and call upon whomsoever you can besides Allah, if you are truthful!'')

Dan tingkat yang keempat sebagai cabaran yang terakhir, dari surah Al-Baqarah, ayat 23 ;

وَإِن كُنتُمْ فِى رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَى عَبْدِنَا فَأْتُواْ بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِ وَادْعُواْ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ صَـدِقِينَ

(23. And if you (Arab pagans, Jews, and Christians) are in doubt concerning that which We have sent down (i.e. the Qur'an) to Our servant (Muhammad ), then produce a Surah (chapter) of the like thereof and call your witnesses (supporters and helpers) besides Allah, if you are truthful).

Ayat-ayat di atas telah dibincangkan dengan panjang lebar oleh ulama-ulama ulum Al-Quran. Antara kitab yang menjadi rujukan saya bagi entry kali ini ialah kitab Al-Ghidaul Janan Bithamaril Jinan, karangan seorang ulama besar di Jordan, Dr. Fadhl Hasan Abbas, seorang ulama yang buta matanya, namun terang mata hatinya.

Beliau menerangkan dengan panjang lebar akan ayat-ayat cabaran yang diberikan oleh Allah ke atas umat nabi Muhammad S.A.W supaya mendatangkan contoh serupa seperti Al-Quran.

Dalam ayat cabaran yang pertama, Allah S.W.T mencabar agar didatangkan sebuah berita ataupun perkhabaran yang serupa dengan Al-Quran. Namun kaum Quraisy ketika itu tidak mampu melakukan sedemikian. Kemudian Allah S.W.T mencabar lagi, namun dengan mengurangkan beban supaya didatangkan sepuluh surah dan dibenarkan mengajak
pembantu-pembantu selain daripada Allah. Namun Quraisy tetap lemah dan tidak mampu.

Kemudian Allah S.W.T mengurangkan lagi supaya didatangkan hanya sebuah surah dan masih lagi diberi kelonggaran untuk menyeru pembantu-pembantu selain daripada Allah. Begitu juga seperti sebelumnya, ahli-ahli bahasa, para penyair yang terdiri dari kaum Quraisy tetap tidak mampu melawan kehendak Allah S.W.T.

Dan ayat cabaran yang terakhir sekali dari surah Al-Baqarah dibahaskan dengan panjang lebar oleh para ulama, bahasa ayat tersebut lebih tertumpu kepada semua ummat Rasulullah S.A.W sehingga hari kiamat berbanding dengan ayat yang tiga sebelumnya. Ini kerana, konteks seruan dan cabaran didalam ayat yang sebelumnya, lebih tertuju kepada kaum Quraisy dan masyarakat arab amnya.

Dalam konteks ayat yang keempat, ayat tersebut memberitahu bahawa, jika terdapat keraguan dan syak wasangka dengan apa yang diturunkan oleh Allah S.W.T ke atas hambaNya iaitu Rasulullah, maka datangkanlah sebuah surah yang seumpama dengan Al-Quran dan serulah para pembantu dan saksi-saksi dari kalangan jin dan manusia, iaitu selain Allah jika mereka yang mendakwa kebenaran Al-Quran itu benar-benar dari kalangan orang yang benar.

Kebenaran Al-Quran

Banyak lagi dakwaan-dakwaan yang dilemparkan terhadap Rasulullah S.A.W sebagai tanda protes dan menolak kebenaran Al-Quran yang diwahyukan oleh Allah S.W.T.

Contohnya, Al-Quran itu ditulis dan dikarang oleh Nabi Muhammad, Al-Quran merupakan salinan daripada kitab Taurat dan Injil dan pelbagai lagi genre dakwaan dan tuduhan yang melampaui batas. Mana mungkin Al-Quran itu dikarang sendiri oleh Rasulullah S.A.W. Ini kerana terdapat beberapa ayat yang menegur perbuatan Rasulullah S.A.W atas sikapnya yang kurang tepat. Contohnya ayat 1 & 2 dari surah Abasa yang menegur perbuatan baginda yang berpaling dari seorang buta yang ingin mengetahui tentang Islam, manakala Rasul tetap melayan dan meneruskan dakwah baginda kepada pembesar-pembesar Quraisy ketika itu.

Selain itu, peristiwa hitam yang berlaku ke atas ummahatul mukminin, Saidatina 'Aisyah R.A yang dituduh curang dan melakukan perbuatan terkutuk bersama salah seorang sahabat. Setelah kejadian itu sampai ke pengetahuan Rasulullah S.A.W, maka baginda telah mendiamkan diri selama lebih kurang 15 hari. Setelah 15 hari berlalu, barulah diturunkan ayat tentang 'Hadith Al-Ifki', yang berlaku ke atas Saidatina 'Aisyah. Jika perkara ini berlaku ke atas pasangan suami isteri, mana mungkin seorang suami akan berdiam diri dan membiarkan perkara yang berlaku tersebut diperkatakan begitu saja. Paling tidak, sang suami akan membela nasib isteri ataupun terus menceraikan si isteri tersebut.

Namun, apa yang patut diketahui oleh semua Muslimin, semua serangan itu dapat dipatahkan dengan bukti-bukti yang kukuh dan tidak bisa diroboh dengan dakwaan kosong oleh musuh-musuh Islam. Sesungguhnya, Al-Quran itu datang dari sisi Allah dan ia mukjizat yang akan kekal selamanya sehingga tiba hari kebangkitan dan hari pembalasan.

Semoga Al-Quran menjadi hujah yang membela kepada kita, bukan hujah ke atas perbuatan kita.

Ibnu Abdullah,
Dar Cempaka, Mu'tah, Jordan

No comments:

Post a Comment