Thursday, May 27, 2010

Hulurlah Walaupun 'Tiada'

Sengaja sebelum saya dan Izudin (bukan nama sebenar) pulang ke Mu'tah, kami singgah ke Balad di 'Amman. Dengan satu tujuan, untuk menikmati segelas air tebu. Bumi Jordan gersang dengan tanaman yang pelbagai, apatah lagi hasil laut. Ikan segar kalau ada di Carrefour sekalipun, mungkin ikan 2 atau 3 hari selepas di tangkap. Bayangkan pula harganya, sekilo sotong mencecah harga lebih kurang RM23. Tapi, bagi pelajar-pelajar yang dahaga dan laparkan ilmu, itu bukannya suatu kekurangan.

Kembali pada cerita di Balad, sedang kami menikmati gelas-gelas tebu manis, tiba-tiba datang seorang wanita bersama anaknya. Tanpa suara, jelas perilakunya, meminta agar kami menghulurkan wang. Ya, ini suasana biasa, di merata tempat, di seluruh dunia.
Sedangkan negara kaya pun masih ada gejala si miskin meminta wang, apatah lagi negara-negara miskin. Itu pasti.

Maka berlakulah suatu dialog, begini lebih kurang bunyinya, sambil si wanita sedang mencuba meminta wang ;

Saya : (Melayan kemanisan air tebu)

Izudin : Ni, mu hulurlah, kalau aku ada 'pitih' aku bagi dah!

Saya : Kita pun orang susah Din, belanja pun buat cukup makan.

Izudin : (Mendiamkan diri, sambil meneguk titisan-titisan terakhir air tebu)

Si wanita pun pergi menjauhkan diri, mencuba nasib kepada manusia yang lain.

Pemurahnya Rasulullah S.A.W

Pelbagai kisah sirah Nabawi telah 'dihidangkan' kepada kita umat akhir zaman. Namun sikap kita umat akhir zaman, terlalu jauh, terlalu besar jurangnya antara kita dengan Rasulullah S.A.W. Sifat pemurahnya Baginda terlalu agung untuk dilakarkan didalam manuskrip kehidupan manusia.

Pernahnya Baginda berlapar kerana datang si miskin meminta makanan.

Memberi walaupun Baginda sendiri dalam keadaan memerlukan. Untuk dibandingkan dengan kita, jauh panggang dari api.

Justeru itu, marilah sama-sama kita melatih diri yang lemah ini untuk bersikap pemurah. Biarlah sedikit asalkan ikhlas. Bersama-sama meringankan tangan untuk memberi.

Bagi si miskin yang penipu pula, kita andaikan sahaja bahawasanya di benar-benar memerlukan, dan yang lain, itu semua terserah pada Tuhan Yang Maha Mengetahui. Biarkan persoalan itu terjawab di Mahsyar nanti.

Hulurlah walaupun 'tiada'. Kerana tangan yang memberi lebih mulia dari tangan yang menerima. Allah Waliyyu At-Taufeeq.

Ibnu Abdullah,
Dar Musta'mal, Mu'tah, Al-Karak, Jordan.

Tuesday, May 18, 2010

Abah ..

Abah, Selamat Hari Lahir!

Kira-kira sebulan lalu, saya menghubungi abah & mama di Malaysia. Entah kali ini kenapa abah tiba-tiba menangis. Menangis, kerana saya hanya berkata, "Abah! doakan abangcik ye". Mungkin kerana rindukan saya.

Teman, sahabat & kawan yang terbaik, bagi saya abahlah orangnya. Personalitinya bukan biasa-biasa. Ya, walaupun terkadang ada sikapnya yang kurang di mata, tetapi abah tetap sempurna. Satu pesan abah sebelum saya terbang ke Jordan, "Abangcik, jaga solat. Jangan tinggal tahajjud". Itulah antara pesan yang sering meniti di bibirnya.

Hari ini Hari Lahir Abah. Selamat Hari Lahir Abah, semoga doa-doa abah yang sering tiba tak tentu waktu pada anak-anaknya menjadi kenyataan. Semoga abah terus sihat, dipanjangkann umur untuk terus kuat beribadah. Semoga dikurniakan rezeki yang melimpah ruah. Dan semoga abangcik, dan adik-beradik yang lain dapat menjadi anak-anak soleh seperti mana yang diharapkan.

Setiap kejayaan seorang lelaki, dibelakangkangnya adalah seorang wanita. Dan mamalah tulang belakang bagi abah.

Mama, you're the best!

Dan bait-bait lagu ini ku tujukan khas buat abah yang tercinta. Abah yang satu-satunya terbaik di dunia ini dan nanti di akhirat sana.

Album : Insan Istimewa
Munsyid : De Hearty
http://liriknasyid.com


Di sisi ibu kau setia menanti
Lahir anakmu menambahkan seri
Bersama aminan memuji Illahi
Di telingaku kanan dan kiri

Hari - hari makin mendewasakan
Hidupmu tabah penuh kecabaran
Dalam mendidik amanah tuhanmu
Sabar melayar kerenah yang seribu

Titisan keringatmu menyubur kehidupan
Berhujan berpanas tidak kau hendahkan
Dirimu tetap gigih menuai rezeki
Menjadikan mimpi satu realiti

Biar ku tawar uang yang berjuta
Biar ku hampar selaut mutiara
Tak mungkin membalas segala jasa
Yang tidak ternilainya

Oh ayah akan ku bukti padamu
Curahan kasih tidak kusiakan
Mencapai cita jua kejayaan
Kan ku bela nasibmu di hari tua

Titisan keringatmu menyubur kehidupan
Berhujan berpanas tidak kau hendahkan
Dirimu tetap gigih menuai rezeki
Menjadikan mimpi satu realiti

Biar ku tawar uang yang berjuta
Biar ku hampar selaut mutiara
Tak mungkin membalas segala jasa
Yang tidak ternilainya

Oh ayah akan ku bukti padamu
Curahan kasih tidak kusiakan
Mencapai cita jua kejayaan
Kan ku bela nasibmu

Biar ku tawar uang yang berjuta
Biar ku hampar selaut mutiara
Tak mungkin membalas segala jasa
Yang tidak ternilainya

Oh ayah akan ku bukti padamu
Curahan kasih tidak kusiakan
Mencapai cita jua kejayaan
Kan ku bela nasibmu di hari tua


Dan bersaksilah, ku titipkan sebuah doa yang tiada henti buat keduanya.

ربنا اغفرلنا ذنوبنا ولوالدينا وارحمهما كما ربونا صغيرا

"Wahai tuhan kami, ampunkan dosa-dosa kami, dan kedua ibu bapa kami, dan kasihanilah mereka seperti mana mereka mengasihani kami ketika kami kecil dahulu"


Pesanku buat sahabat, kita sering alpa tika hadirnya. Saat kehilangannya, baru dikesalkan. Ambillah sedikit masa, gaulilah keduanya, senangkan hati mereka. Sesungguhnya, berbuatlah Ihsan pada keduanya, kerana redha Allah pada keredhaan keduanya.

SELAMAT HARI LAHIR, ABAH!

Ibnu Abdullah,
Dar Musta'mal, Mu'tah, Jordan.

Saturday, May 15, 2010

Syirik Tersembunyi Si Hamba

Masih lagi disekitar sifat "Hamba Ar-Rahman", kali ini Dr. Thalib mempersoalkan, apakah ada kesyirikan di kalangan hamba-hamba-Nya itu?

Mustahil dikalangan hamba yang benar-benar mengimani kewujudan Allah S.W.T dengan sepenuh hati, menzahirkan dengan perlakuan anggota, tetapi masih mensyirikkan Allah. Bagaimanakah itu mungkin berlaku pada hamba-hamba yang sebegitu. Sebuah persoalan.

Sebagai Hamba

وَالَّذِينَ لاَ يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَـهَا ءَاخَرَ

(68. And those who invoke not any other god along with Allah..) (25 : 68)


Adakah kita sebagai seorang Muslim, pernah mensyirikkan Allah? Adakah ayat ini menafikan segala sifat-sifat yang disebutkan didalam ayat-ayat sebelum ini? (saya masih belum menceritakannya lagi). Jawabnya, ini adalah permasalahan aqidah yang tidak boleh tidak Al-Quran mengulanginya sebagai peringatan bagi setiap Muslim Mu'min Muttaqeen.

Fahamkah kita secukupnya akan pengertian SYIRIK?

Berasal dari kalimah SYA-RA-KA (ش-ر-ك). Kamus Al-Miftah menta'rifkan sebagai perkongsian, menyertai & menyekutukan. Dan pada memahami maksud 'PENYEKUTUAN' dari sudut aqidah adalah sesuatu perkara yang agak kompleks dan sedikit payah untuk di bincangkan secara panjang lebar di sini.

Namun, perlu saya gariskan, bahawa mensyirik Allah S.W.T boleh berlaku dalam keadaan sedar ataupun tidak.

Kelalaian Yang Membawa Dosa

Kebiasaan budaya arab, apabila mereka menyandarkan atau bertawakkal kepada Allah, mereka akan berkata, "aku bertawakkal kepada Allah DAN kepadamu" (توكّلت على الله و عليك ). Di dalam bahasa arab yang penuh seni, huruf (و) membawa banyak erti dan hukum. Penggunaan wau di dalam ayat sebentar tadi adalah wau 'Athof. Wau 'Athof di dalam ayat tadi memberi erti penyamaan diantara Allah & 'mu' (manusia).

Adakah sama bagi Allah dan makhluk. Tidak!

Sudah tentu tidak! Inilah yang di maksudkan Syirik tersembunyi.

Di dalam kebiasaan masyarakat Melayu pula, tidak kurang bedanya. Kita selalu beranggapan bahawa pengharapan kepada Allah S.W.T adalah diletakkan ditempat yang terakhir. Ataupun selalunya, kita akan mencari ikhtiar kepada manusia sebelum Allah S.W.T. Inilah syirik tersembunyi. Contohnya, ketika mana kita sakit, kita akan berjumpa dengan doktor, meletakkan sepenuh pengharapan, tanpa kita sedari, segala-galanya sepatutnya disandarkan kepada Allah.

Contoh pertama yang selalu saya dan anda lakukan tanpa kita sedari.

Kedua, biasanya ketika azan, kita sedang leka menonton tv, bermain bola, ataupun melakukan perkara-perkara yang bukan mempunyai prioriti untuk di dahulukan, lantas kita medahulukan perkara-perkara tersebut selain bersiap untuk bersolat dan bersegera mendirikannya, justeru itulah yang diberikan pengertian sebagai syirik tersembunyi. Semoga Allah S.W.T menyelamatkan kita dari syirik yang kita sedari mahupun tidak kita sedari.

Firman Allah S.W.T;

وَالَّذِينَ لاَ يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَـهَا ءَاخَرَ وَلاَ يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِى حَرَّمَ اللَّهُ إِلاَّ بِالْحَقِّ وَلاَ يَزْنُونَ وَمَن يَفْعَلْ ذلِكَ يَلْقَ أَثَاماً

(68. And those who invoke not any other god along with Allah, nor kill such person as Allah has forbidden, except for just cause, nor commit illegal sexual intercourse -- and whoever does this shall receive Athama.) (25 : 68)

Semoga Allah melindungi diri kita, keluarga, sahabat & muslimin seluruhnya dari syirik tersembunyi yang tidak kita sedari. Ameen.

Ibnu Abdullah,
Dar Musta'mal, Mu'tah, Al-Karak, Jordan.

i - Tafseer Sya'rawi
ii- Tafseer Ibn Kathir (English Version)

Saturday, May 8, 2010

Di Azab Penuh Keasyikkan

Khamis kelmarin, kelas Tafsir Tahlili berjalan seperti biasa. Dr. Thalib menyambung perbincangan ke ayat seterusnya. Menyambung kuliah yang lepas. Masih lagi di sekitar surah Al-Furqan. Pembeda antara yang hak dan yang bathil. Berlegar-legar di fikiran saya akan ayat-ayat yang telah dipelajari, selarikah dengan amal yang saya zahirkan. Oh, risaunya bukan kepalang. Adakah nanti di akhirat saya akan dibangkitkan buta? Padahal tika di dunia saya dapat melihat. Ya Allah, bantulah diri-ku.

Tiba ke ayat seterusnya, Doktor mengarahkan seorang pelajar lelaki Indonesia membacakan ayat seterusnya. Lunak dan mencengkam jiwa mendengar suaranya. Membutirkan setiap hak yang terkandung di dalam huruf yang membentuk sebuah ayat yang memberikan peringatan bagi mereka yang mahu mengambil pedoman.

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا اصْرِفْ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَاماً^^إِنَّهَا سَآءَتْ مُسْتَقَرّاً وَمُقَاماً

(And those who say: "Our Lord! Avert from us the torment of Hell. Verily, its torment is ever an inseparable punishment.'' ^^ Verily, its torment is ever an inseparable, permanent punishment.) (25 : 65&66)


Kalimah الَّذِينَ di dalam ayat ini merujuk kepada ayat sebelumnya. 2 ayat tersebut, menceritakan tentang kisah mereka yang di gelarkan Hamba Ar-Rahman, وَعِبَادُ الرَّحْمَـنِ. Tak mengapa, pada entri seterusnya, insya-Allah saya akan berpatah balik kebelakang menceritakan perihal siapakah Hamba Ar-Rahman ini.

Mengapa Jahannam

Dr. Thalib melemparkan sebuah persoalan. Mengapakah di Neraka Jahannam di namakan Jahannam جَهَنَّمَ? Pelajar terdiam seketika, mecari-cari jawapan, andai ada tertulis didalam kitab silibus. Sayang, tiada!

Lantas Dr. Thalib menjawab sendiri persoalan tersebut. Ia di namakan Jahannam kerana kedahsyatan azab yang wujud didalamnya. Sempat juga beliau mengingatkan agar kami memperbetulkan perspektif dan sangkaan tentang keadaan didalam neraka hanyalah suasana panas dan api sahaja. Bahkan tidak sekali-kali. Didalam neraka, keadaanya bukanlah panas semata-mata, bahkan kesejukan juga turut ada. Tidaklah seperti kesejukkan di dunia, tetapi lebih dahsyat dari itu. Beliau membacakan buktinya,

Firman Allah S.W.T;

لاَ يَرَوْنَ فِيهَا شَمْساً وَلاَ زَمْهَرِيراً

(they will see there neither the excessive heat, nor the excessive bitter cold.) (76 : 13)


EXCESSIVE BITTER COLD!

Ini sejuk dalam bentuk kenikmatan, tetapi mampu sahaja meragut nyawa kerana tahap sejuknya. Bagaimanakah pula di Neraka Jahannam nanti?

Belum selesai tentang kedahsyatan seksaan yang ada di neraka, sekali lagi Dr. Thalib menyoal tentang penggunaan kalimah عَذَابَ. Mengapakah di datangkan ia dalam keadaan 'Nakirah' bukannya 'Ma'rifah' iaitu العَذَابَ.
Justeru kerana, tidak ada sesiapa pun yang mengetahui betapa dahsyatnya azab yang sedia menanti.

Azab Yang Asyik

Bahasa arab penuh seni. Justeru itu sesuailah Al-Quran diturunkan di dalam bahasa Arab. Ketinggian Balaghah, Nahu dan Saraf yang ada pada bahasa Arab tidak mampu di saingi oleh mana-mana tektual bahasa yang lain.

Kalimah غَرَام di dalam bahasa arab memberi maksud dan pengertian asyik, kecintaan yang terlalu tinggi dan khayalan dalam kebahgiaan. Sehinggakan, ia dibayangkan seperti apa yang terkandung di dalam bait-bait 'Qasidah Syair Laila Majnun' yang sangat panjang. Bagaimana Majnun yang terlalu mencintai Laila, segalanya terungkap di dalam Qasidah tersebut.

Namun, apa kaitan Azab dengan Cinta Yang Mengasyikkan??

Sesungguhnya sidang pembaca sekalian,
Azab di neraka mencintai ahli-ahli neraka penuh kecintaan. Mereka di awasi dari kejauhan. Nanti saat dan ketikanya, neraka Jahannam akan melayani mereka-mereka yang masuk ke dalamnya dengan layanan yang penuh kecintaan. Bagaimanakah itu? Tidaklah mampu saya gambarkan, tetapi harapnya, ia mampu di fahami.

يَوْمَ نَقُولُ لِجَهَنَّمَ هَلِ امْتَلاّتِ وَتَقُولُ هَلْ مِن مَّزِيدٍ

(30. On the Day when We will say to Hell: "Are you filled'' It will say: "Are there any more'') (50 : 30)


Bertaqwalah kita kepada Allah dengan sepenuhnya. Ingatan buat diri saya yang selalu lupa!

Ya Allah, selamatkan Kami dari azab-Mu, walaupun kami tahu kami tidak layak ke syurga-Mu, namun tidaklah pula kami sanggup ke neraka-Mu!

Ibnu Abdullah,
Dar Musta'mal, Mu'tah, Al-Karak, Jordan.

i - Tafseer Sya'rawi
ii- Tafseer Ibn Kathir (English Version)

Tuesday, May 4, 2010

Kek Batik Al-Urduni

Cikgu Noriah & Ustazah Zawiyah ketika mencuba resepi kek batik kami

Dulu ketika di tingkatan 5, saya dan teman-teman rajin membuat kek batik di asrama. Bilik Kemahiran Hidup Bersepadu menjadi mangsa bagi eksperimen resepi kek kami. Jangan pelik, kalau pelajar perempuan pun ada yang mengidam air tangan kek batik buatan kami pelajar lelaki. Hatta, cikgu-cikgu pun makan sampai menjilat jari. Hmmm...

Setelah hampir 3 tahun berlalu, kini saya kembali mengulang kenangan lama diingatan dengan menzahirkannya melalui perlakuan. Mulut yang terlalu mengidamkan mengunyah kek batik buatan sendiri memaksa diri mengeluarkan tenaga. Berbekalkan sedikit duit sebanyak JD6, saya membeli barang-barang asas keperluannya. Telur, Biskut Merry, Perisa Coklat, dan susu cair (Aduhai, Jordan tak ada susu pekat). Kini, ingin sekali saya kongsikan bersama-sama teman, resepi kek batik saya.

Resepi Kek Batik'

Resepi ini adalah hasil kekreatifan seorang lelaki. Ingat, lelaki! Bukan Perempuan. Kaedahnya semudah 'campak apa sahaja yang ada'.

Bahan-bahan.

1- Telur
2- Biskut Merry
3- Perasa Coklat, Koko atau Milo
4- Gula
5- Mentega
6- Penambah Sedap seperti kacang, coklat putih dan lain-lain.
7- Semangkuk air

Cara-caranya.

Pecahkan biskut Merry, tapi jangan sampai hancur. Kalau hancur, memang confirm tak jadi. Biarkan terbuka sampai lemau. Pecahkannya sejam atau dua jam sebelum anda mula membuat kuah.

Kemudian, panaskan mentega sehingga cair, lagi banyak lagi sedap. Tapi jangan terlalu banyak, nanti jemu. Setelah cair, masukkan air yang telah digaul dengan perisa coklat, koko atau milo, campuran ketiga-tiganya pun tidak mengapa. Api hendaklah kecil. Setelah agak panas, tanpa perlu menyukatnya menggunakan termometer, masukkan telur. Sebanyak mana juga yang anda suka. Lebih banyak, lebih gemuklah anda nanti. Kacau, ingat api perlu kecil, kacau cepat-cepat. Ditakuti telur akan berketul-ketul.

Sekemudian, campakkan gula lebih kurang 2 genggam. Masukkan susu cair satu tin. Kacau sehingga pekat dan mendidih. Setelah mendidih. Masukkan biskut Merry lemau tersebut. Padamkan api. Kacau sehinggan sebati. Setelah itu masukkan ke dalam acuan. Jangan lupa untuk memadatkannya didalam acuan. Setelah selesai, taburkan kekacang atau apa sahaja yang anda suka di atasnya. Masukkan ke dalam peti ais, dan tunggu sehingga keras.

Cubaan Pertama di Jordan, harap-harap, lepas ini lebih menjadi.

Memang sedap. Jangan lupa mencubanya di rumah. Kalau terliur, bagi duit pada saya, insya-Allah saya buatkan. Selamat Mencuba.

Ibnu Abdullah,
Dar Musta'mal, Mu'tah, Al-Karak, Jordan.

Monday, May 3, 2010

Jangan Pernah Berhenti Mencuba

Pernah lihat ayam?

Ayam yang dikurung. Dibesarkan didalam sangkar. Sepanjang umurnya belum pernah dilepaskan keluar. Makan diberi. Minum disediakan. Namun sampai masanya, ia akan disembelih untuk di makan oleh manusia.

Apa kaitan ayam dengan kita?

Ayam itu tidak pernah mencuba, mencuba untuk keluar dari sangkar kurungannya. Manusia yang tidak berani mencuba, sama seperti si ayam. Penakut. Mungkin juga si ayam pernah mencuba, tetapi setelah gagal, ia tidak lagi berani mencuba.

Inilah sindrom si ayam, ataupun bak kata Ustaz Hasrizal (Saifulislam.com) Elephant Sindrome! Si gajah yang sudah tertambat dengan rantai besi di kakinya sedari kecil, pernah mencuba untuk melepaskan dirinya, namun gagal. Sehinggalah si gajah meningkat dewasa, namun si gajah yang kuat itu sudah berhenti berusaha. Ketika dewasanya, cukuplah sebelah sahaja dari kakinya untuk dirantai, walaupun seperti yang kita tahu, kekuatan si gajah itu mampu sahaja memutuskan rantai tersebut.

Kebiasaanya, ayam-ayam ini sangkarnya terbuka, tapi seekor pun tiada yang pernah keluar terbang!

Manusia yang berhenti mencuba dan berusaha juga mungkin terkena sindrom ini.
Justeru itu, jangan pernah berhenti mencuba. Sama ada mencuba untuk berubah, atau mencuba untuk memperolehi kejayaan, atau apa saja situasi keadaanya, asalkan kita yakin dan berusaha dengan hebatnya.

Saidina Umar, ketika dizaman kelam jahiliyyahnya, beliau adalah seorang yang sangat memusuhi Islam. Namun, setelah Iman dan Taqwa menyinari lubuk hatinya, dialah yang di angkat untuk menjadi Khalifah Ar-Rasyidin ke-dua. Justeru itu, sejarah kehidupannya membuktikan kepada kita, dia pernah mencuba untuk berubah! Dan ianya berhasil.


وَلاَ تَايْـَسُواْ مِن رَّوْحِ اللَّهِ إِنَّهُ لاَ يَايْـَسُ مِن رَّوْحِ اللَّهِ إِلاَّ الْقَوْمُ الْكَـفِرُونَ ..

(87. ''.. and never give up hope of Allah's mercy. Certainly no one despairs of Allah's mercy, except the people who disbelieve.'') (87 : 12)


Setelah mencuba, yakinlah! Kerana di sisimu ada yang Maha Kuasa.

Ibnu Abdullah,
Dar Musta'mal, Mu'tah, Al-Karak, Jordan.

Saturday, May 1, 2010

Selamat Hari Pekerja Wahai Sang Hamba!



Hari ini dunia meraikan ketibaan 1 Mei sebagai Hari Pekerja. Setiap tahun mengulangi turutan plot yang hampir serupa. Sebagai menghargai setiap dari mereka yang memerah keringat, membanting tulang seharian. 24 jam sehari, 7 hari seminggu. Biar apapun posisi anda sebagai pekerja, namun khasnya sudah tentu kepada mereka yang bekerja dengan kerajaan sebagai kakitangan dan pegawai-pegawai kerajaan.

Menyeru diri saya dan anda sekalian, untuk sama-sama kita beringat, bahawa dunia ini hanya pinjaman dan akhirat nanti yang menentukan balasan atas amalan kita.
Marilah bersama kita fahami erti sebenar kehidupan kita di dunia ini. Hanya untuk beribadah kepada Tuhan yang Esa.

Mengertilah!

Kita sebagai pekerja sesama manusia, adalah mengambil kebaikkan atas kita sesama manusia dengan diberikan gaji & bayaran yang setimpal.

Namun kita sebagai pekerja kepada Allah Ta'ala, mengambil kebaikkan darinya tanpa perlu diminta, bahkan melebihi dari yang sepatutnya. Hah, mahukan bukti?

مَآ أُرِيدُ مِنْهُم مِّن رِّزْقٍ وَمَآ أُرِيدُ أَن يُطْعِمُونِ - إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ

(I seek not any provision from them nor do I ask that they should feed Me. Verily, Allah is the All-Provider, Owner of power, the Most Strong.)(51 :57-58)


Nafas, nyawa, anggota badan, anak pinak, harta benda, dan pelbagai lagi kenikmatan bukankah zahirnya itu adalah gaji kita sebagai pekerja-Nya? Namun pandanglah dari sisi tersirat, semuanya datang tanpa dipinta. Percuma.

Bersama kerendahan hati saya menyeru diri saya dan sidang pembaca sekalian untuk sama-sama kita syukuri segalanya. Kehidupan kita tidak lain hanyalah untuk mengabdikan diri kepada Allah yang Esa. Pada kehidupan sementara ini, ada ladang untuk kita tuai hasilnya di negeri abadi nanti. Bekerjalah seperti kamu akan hidup seribu tahun lagi dan beramalah seperti kamu akan mati esok hari. Jangan lupakan-Nya.

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ

(And I created not the Jinn and mankind except that they should worship Me.) (51 : 56)


Anak Mamat sakit gigi,
sakit gigi di pagi raya,
satu Mei datang lagi,
Selamat Hari Pekerja dari saya.


Ibnu Abdullah,
Dar Musta'mal, Mu'tah, Al-Karak, Jordan