Monday, November 23, 2009

Perubahan, Jangan Terlalu Gopoh

Akhir-akhir ini, banyak kisah & berita hangat lagi sensasi ditayangkan di
dada-dada akhbar. Sama ada arus perdana proksi kerajaan, mahupun wadah lisan rasmi barisan pembangkang. Berita-berita tentang keruntuhan institusi sesebuah parti, memburukkan individu, rasuah, pembunuhan dan pelbagai lagi. Bagi sesetengah berita, tidak boleh tidak perlu ditambah dengan perisa ajinomoto bagi melariskan lagi jualan dan meraih publisiti meluas dikalangan pembaca.

Kerutuhan institusi moral dikalangan wartawan amat meruncing. Dahulu kala, berita disampaikan sebagai tanggungjawab untuk memberitahu, namun kini, entahlah, hilang kata dari bicara. Namun apa yang saya tertarik untuk membincangkan dalam entri kali ini bukanlah tentang isu kewartawanan, tetapi tentang kes tangkapan seorang ulama muda yang sedang mengukir nama dipersada negara. Bukanlah saya seorang yang mempunyai authority untuk mengulas lanjut tentang penangkapannya.

Anologi yang mudah difahami. Saya sebagai seorang watak sampingan dalam sebuah lakonan pementasan drama, dan beliau sebagai watak utama. Apakah tiada hak bagi saya untuk membantu beliau dari segi komen dan ulasan dalam lakonannya demi menyelamatkan penyampaiannya agar tidak dipersoalkan oleh para penonton? Pasti anda mempunyai pandangan tersendiri. Anda berhak untuk menerima pandangan saya, ataupun menolaknya dengan bicara hujah yang benar.

Dakwah & Psikologi

Dalam menyeru manusia kepada jalan-jalan keselamatan, amat perlu bagi seorang pendakwah memahami keadaan dan psikologi mad'unya. Kerana itulah, ulama-ulama terdahulu menjadikan Urf Wa 'Adat sebagai salah satu sumber syariat. Namun ia tidaklah mampu menandingi taraf Al-Kitab, Sunnah, Ijma' dan Kias. Tetapi, hikmah yang boleh diambil ialah, sifat toleransi dan tasammuh dalam beragama itu sendiri.

Contohnya, ketika Rasulullah tiba di Madinah ketika hijrahnya, baginda disambut dengan nyanyian dan puji-pujian terhadapnya. Adakah tercatat dalam sejarah bahawa baginda berpaling dari perbuatan kaum Ansar tersebut mahupun bermasam muka? Bahkan, tidak sama sekali.

Teori Psikologi Dalam Dakwah

Menuntut sebuah perubahan memerlukan sejumlah kesabaran di tambah dengan memahami psikologi mad'u yang diseru. Ia tidak boleh dilakukan secara drastik untuk mencapai sesuatu matlamat. Saya bersetuju dalam beberapa perkara yang dibagkitkan oleh ulama muda tersebut namun begitulah juga saya mempunyai pandangan yang berlainan daripadanya. Itulah sunnatullah. Manusia biasa bukan maksum seperti seorang nabi.

Menerima sesuatu tanpa mengkaji adalah seperti orang buta yang berjalan tanpa tongkat. Peratusan untuk jatuh ke dalam longkang mahupun berlanggar dengan orang ataupun tiang amat tinggi. Namun dengan tongkat, ia mampu memberi sedikit keselamatan.

Apa yang telah dilakukan oleh ulama tersebut ada benarnya.
Namun pendapat-pendapat yang diberikan adalah terlalu lantang dalam masa yang sama masih ramai pihak yang belum mampu menerima cara sebegitu. Konsep pertama yang perlu disesuaikan dalam keadaan ini ialah konsep People Person.

People Person, Adakah Mencari Nama?

People person bermaksud menjadikan diri seseorang pendakwah itu sebahagian daripada juzu' mad'unya. Adakah ia bermaksud kita perlu mencari nama dikalangan pengikut-pengikut kita. Tidak, sudah tentu tidak sama sekali. Ia memberi makna bahawa perlunya seorang pendakwah mengambil tempat dalam sebahagian daripada kehidupan bukan sahaja pengikut, tetapi masyarkat itu sendiri.

Lihat sahaja bagaimana Rasulullah S.A.W menjadikan dirinya dikasihi oleh kaumnya ketika itu. Baginda mempamerkan akhlak yang sungguh mulia, sehingga sifat amanah beliau diberi pengiktirafan dari semua pihak dengan gelaran Al-Amin. Bukankah ini praktikal yang telah Rasulullah ajarkan. Bukan itu sahaja, dalam suratnya kepada Raja Rom, baginda dengan rendah diri telah menulis, dari Muhammad Bin Abdullah kepada Raja Rom yang Mulia. Padahal baginda seorang ketua negara ketika itu dan baginda berhak untuk menggunakan pangkat kenabiannya yang melebihi pangkat seorang raja.

Personal Account

Memahami konsep Personal Account pula tidaklah terlalu payah seperti untuk mempraktikalkannya. Sejarah hidup baginda rasul dan para sahabatnya terlalu banyak untuk didatangkan. Namun cukup sekiranya saya mendatangkan sebuah kisah dimana Rasulullah S.A.W selalu disakiti, dicaci maki dan dihidangkan dengan pelbagai najis, duri dan sampah ketika melalui lorong kecil berhadapan dengan seorang Yahudi
tua. Perbuatan buruk Yahudi tersebut menjadi kebiasaannya untuk dilakukan kepada Rasulullah, namun tidak pernah Rasulullah membalasnya.

Hinggalah ke suatu hari, Rasulullah melalui lorong tersebut seperti biasa, namun tiada lagi gangguan Yahudi tua tersebut kepada nabi. Lalu Rasulullah kehairanan lantas menyiasat apakah yang telah terjadi. Setelah disiasat, tahulah baginda bahawa Yahudi tersebut kegeringan. Kemudiaanya, Rasulullah tanpa rasa dendam, menziarahi Yahudi tersebut dan merawatnya sehingga pulih. Akhirnya, Yahudi itu sedar akan perbuatan buruknya lalu mengucap dua kalimah syahadah, iaitu kembali kepada fitrah.

Tuntasnya, Personak Account bukanlah berbuat kebaikkan dengan bermaksud untuk mendapatkan balasan. Namun ia memberi erti bahawa, dengan kebaikkan yang dilakukan dalam perkerjaan dakwah, mungkin ia akan meninggalkan kesan positif ke atas mad'u dan dengan mudah akan menerima perubahan yang dilakukan.

Jika kedua-dua teori ini difahami dan dilaksanakan dengan praktikal yang licin dan lancar, pastinya perubahan dapat dilakukan tanpa sebarang penolakkan. Bukannya dengan cara gopoh dengan menunjukkan cara seperti 'aku sahaja yang betul'. Selain itu, sifat, sabar dan ikhlas amat perlu sebati dalam jiwa seorang pendakwah. Perlulah difahami, pendakwah bukanlah sahaja mereka yang dikategorikan dengan title USTAZ, namun seorang jurutera, doktor, majisret hatta tukang sapu sampah pun boleh berdakwah dengan cara yang tersendiri.

Namun, perlu di ingat, janganlah lebih sudu dari kuahnya. Ambillah sikap seperti ulama-ulama salafussoleh yang terdahulu. Andainya seorang kapten sekalipun mampu berdakwah seperti seorang ustaz, ingatlah, rujuklah pada yang lebih pakar. Kerana tidaklah sama seorang ilmunya seorang yang doktor pakar dengan doktor biasa yang merawat di klinik.

Perubahan memerlukan seribu kesabaran. Berlemah lembutlah dalam berdakwah, dan jangan gopoh dalam merubah sesuatu sama ada individu ataupun masyarakat amnya.

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظّاً غَلِيظَ الْقَلْبِ لاَنْفَضُّواْ مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِى الاٌّمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

(159. And by the mercy of Allah, you dealt with them gently. And had you been severe and harsh-hearted, they would have broken away from about you; so pardon them, and ask forgiveness for them; and consult them in the affairs. Then when you have taken a decision, put your trust in Allah, certainly, Allah loves those who put their trust (in Him).)

Selamat berjuang wahai pewaris nabi.

Ibnu Abdullah
Dar Cempaka, Mu'tah, Jordan.

No comments:

Post a Comment