Wednesday, July 28, 2010

Bukan Hanya Tahu

"Saya telah berkahwin, punya anak. Mana sempat untuk mengulangkaji pelajaran di luar kelas." Hujah pelajar perempuan Arab tersebut. Menangkis anggapan pensyarah bahawa dia tidak mengulangkaji pelajaran.

"Pekerjaan saya sebagai pegawai mahkamah tidak membolehkan saya mencuri masa untuk muraja'ah wahai doktor." Tegas pelajar lelaki Arab awal 30-an itu.

Berhujah tidak mempunyai masa, sedangkan kebanyakkan pelajar Arab suka untuk menghabiskan masa mereka untuk melepak di atas rumput, baring-baring sambil menghirup gahwah, dan kadangkala mengusik pelajar 'ajam yang melintas dihadapan mereka. Tidak dinafikan, yang baik tetap baik.

Dr. Mustafa tersenyum kelat. Raut wajah kesedihan beliau terpancar jelas, sedihkan kerana kertas jawapan ujian Sirah Nabawiyyah terlalu kebudak-budakan. Bukan jawapan pelajar yang kebanyakkan dari rumpun bangsa Melayu, tetapi dari pelajar berbangsa Arab sendiri. Melayu dengan masalahnya yang tersendiri. Penguasaan bahasa Arab yang terlalu lemah. Itu masalah lain.

"Aku melihat, pelajar 'ajam di kuliah Syariah ini, sama ada mereka itu benar-benar terkehadapan, ataupun mereka benar-benar kosong, antara dua." Sambil tangan kanannya terangkat ke atas.

"Dan yang paling aku sedihkan adalah pelajar Arab sendiri. 'Ajam tidak termasuk di dalam masalah ini. Jawapan pelajar Arab pada kertas yang telah aku semak semalam terlalu thufuliyyah (kebudak-budakan). Ini yang sedang aku fikirkan. Tiada lontaran idea yang jauh terkehadapan, bahkan gaya penulisan sahaja seperti kelas 3. Padahal kamu sekalian adalah mahasiswa universiti." Tegas doktor.

Kelas sunyi seketika. Lontaran persoalan Dr. Mustafa tentang apa sebenarnya masalah yang menjadikan mereka sebegitu, membisukan sekalian yang ada.

"Bagaimana tidak, ulangkaji hanya untuk peperiksaan." Jawab seorang pelajar lelaki Arab yang lain.

"Benar, bagus! Itulah sebenarnya masalah utama kepada kerisauan aku. Belajar hanya untuk markah." Balas Dr. Mustafa kepuasan. Puas, kerana punyai jawapan sebenar. Jawapan yang merangkumi kepada masalah 'tidak cukup masa mengulangkaji', 'tidak faham silibus', dan pelbagai lagi alasan menongkah kebenaran.

Exam Oriented

'EXAM ORIENTED'. Itulah jawapan sebenar kepada persoalan di atas. Bukan tidak punya masa sebenarnya. Tetapi mengaji hanya untuk menjawab peperiksaan. Buku hanya menjadi teman tatkala musim peperiksaan. Bahkan lebih teruk dari itu, ulangkaji hanya di malam sebelum kertas soalan bagi subjek tertentu akan di jawab pagi esoknya. Cara pembelajaran apakah ini?

Setelah itu pula, selayaknya bagi seorang mahasiswa, pembawakan identiti seorang pelajar sekolah menengah sudah tidak ada. Biarlah seeloknya, dari sudut pengajiannya sudah berubah. Cara mengaji, seorang mahasiswa universiti. Bukan seorang pelajar sekolah yang hanya menyantap suapan dari seorang guru. Itu yang sepatutnya menjadi keutamaan. Suasana tidak mungkin berubah, tanpa perubahan dari manusia yang mencorakkannya.

Sebenarnya, masalah ini bukan masalah bangsa tertentu, universiti tertentu, mahupun kuliah tertentu, bahkan ini adalah masalah bagi majoriti pelajar. Tidak kiralah, diperingkat menengah mahupun universiti. Belajar hanya untuk markah. Dan apa yang menyedihkan, kadangkala belajar jauh dari tanah air (oversea), tapi tak punya apa-apa. Kosong.

"Aku melihat, pejalar 'ajam tidak melazimkan diri mereka dalam menuntut ilmu di sini. Mereka datang tanpa isi, dan pulang juga tanpa sebarang isi." Ujar Muhammad Mubarak. Kebenaran dari kata-katanya itu terbit setelah dari dia menyaksikan sendiri. Kelas Matan Ajrumiah yang di anjurkannya secara sukarela setiap Isnin di Masjid Syuhada', sunyi. Sepi dari kehadiran pelajar Melayu. Harapannya baiknya untuk membantu, tapi tiada siapa yang sudi menerimanya.

Itu hakikat dan realiti. Pekan kecil ini bukan besar seperti bandar Amman, bahkan tidak sebanding pekan Mafraq langsung. Hanya simpang empat itu sahaja yang sesak. Entah apa yang manusia di sekelilingnya disibukkan.

Tahu Itu Perhiasan

Asasnya, setiap manusia perlu kepada Ilmu. Seorang individu yang berilmu kedoktoran, tidaklah sama dengan individu yang hanya berpengetahuan kedoktoran. Pasti tidak sama sekali. Begitu juga seorang yang mempunyai ilmu undang-undang, tidak sama dengan mereka yang berpengetahuan tentang undang-undang.

Orang yang berilmu itu sudah tentu berpengetahuan, tapi orang yang berpengetahuan belum tentu lagi berilmu. Begitu Luuasnya jurang antara orang yang ada ILMU dan ada TAHU. Justeru itu, biarkan tahu menjadi perhiasan. Tetapi, tetapkan keilmuan agar menjadi sebaik-baik sandaran.

Seharusnya, bagi setiap yang bergelar penuntut ilmu itu benar-benar menghabiskan masa, usaha dan tenaganya untuk mengaut segala butir mutiara ilmu milik Tuhan. Bukan di sia-siakan dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Biarlah dari 24jam itu, 40% waktunya untuk belajar, 45% untuk beribadah khususiah, 10% untuk tidur dan 5% untuk beriadah. Bukan sebaliknya.

قَالُواْ سُبْحَـنَكَ لاَ عِلْمَ لَنَآ إِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَآ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
"Mereka (Malaikat) berkata, Maha Suci Engkau, tiadalah kami ini mempunyai keilmuan melainkan apa yang Engkau (beri) ilmukan kepada kami, sesungguhnya hanya engkaulah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana" (Al-Baqarah : 32)


Bersama-samalah kita berusaha ke arah itu. Teguran ini dengan niat untuk memperbetulkan diri saya sendiri. Dan sekaligus semoga dapat memberi kesedaran kepada teman-teman seperjuangan. Kerana kita adalah sebaik-baik ummah. Menyuruh kepada kebaikkan, menegah kemungkaran dan beriman kepada Allah. Itulah pra-syarat untuk menjadi sebaik-baik ummah.

Kejayaan kita, adalah kejayaan untuk Islam. Majulah wahai pejuang agama. Nun di seberang sana, masyarakat memerlukan kita. Allahu 'Alam.

Ibnu Abdullah @ Abdul Khaliq,
Universiti Mu'tah, Al-Karak, Jordan.

No comments:

Post a Comment