Sunday, March 7, 2010

Iman Pada Taqlid Buta

Lumrah kebiasaannya, kebanyakkan dari penganut-penganut agama yang wujud di dunia ini mewarisi keimanan kepada aqidah agama mereka melalui warisan. Warisan yang ditinggalkan oleh nenek moyang. Saat lahirnya seorang bayi ke muka bumi ini, maka secara automatic dia dianggap beragama sama seperti agama ibu bapanya tanpa perlu mengisi sebarang borang keahlian.

Itulah yang telah tertulis pada suratan kehidupan setiap manusia. Segalanya telah ditentukan. Namun itu bukanlah alasan. Entry pada kali ini, saya ingin menyeru diri saya dan para pembaca sekalian, untuk kita sama-sama merobohkan binaan Islam warisan yang rapuh dari keturunan kita, dan membinanya semula dengan mencari kefahaman Islam melalui bukti-bukti kewujudan Allah agar Iman kita bertambah kuat dan kukuh.

Biar dilanda badai taufan yang menggoncang keimanan, moga ia tetap sejahtera.

Bukan kerana apa, tetapi kerana terbitnya perasaan malu didalam diri saya, apabila saya membandingkan 'saudara baru' yang tidaklah terlalu baru, akan keimanan mereka yang lebih tumpat dari saya. Ramai daripada mereka telah membuktikan, bahawa mereka mampu berdiri sama tinggi dengan para ulama' yang lahir-lahir sahaja, sudah mewarisi keIslaman dari orang tuanya. Contohnya seperti Al-Fadhil Ustaz Farid Ravi, Al-Fadhil Ustaz Idham Lim, Al-Fadhil Ustaz Ridhuan Tee dan ramai lagi.

Dr. Zakir Naik, Ikon 1 Dalam Sejuta

Entry kali ini ditulis, sedikit sebanyak atas pengkajian saya terhadap cara dakwah Dr. Zakir Naik, seorang ikon yang hebat dalam bidang perbandingan agama. Selain dari beliau, seorang lagi tokoh yang tidak kurang hebatnya, adalah Al-Marhum Ahmad Deedat. Saya banyak melihat, perjuangan mereka adalah didasari atas kefahaman yang amat sangat dengan apa yang terkandung didalam Al-Quran dan Injil.

Namun, apa yang saya fahami, Al-Marhum Ahmad Deedat, lebih kepada pembuktian dengan membezakan antara isi Al-Quran dan Injil dengan menimbulkan keraguan terhadap keaslian Injil yang telah kita maklumi, bahawa ia telah banyak dimanipulasi oleh tangan-tangan manusia. Namun sedikit kelainan terhadap Dr. Zakir Naik, beliau mempunyai sedikit tambah nilai dalam pengetahuannya. Iaitu mendatangkan bukti-bukti sains melalui Al-Quran dan Hadith. Mungkin ini terhasil dari latar belakangnya sebagai seorang doktor perubatan.

Namun ingin saya nyatakan, ramai lagi pakar-pakar dalam bidang sains. Mereka membuktikan bahawa Islam itu datang wujudnya bukanlah dari tangan Muhammad, namun datang dari Allah, Tuhan pencipta sekalian alam. Antaranya, Harun Yahya, Dr. Danial Zainal Abidin dan beberapa lagi tokoh ternama yang tak didendangkan. Saya amat-amat meminati hasil kajian dan penemuan mereka. Namun mereka bukanlah berada dalam medan yang sama seperti Dr. Zakir Naik dan Al-Marhum Ahmad Deedat yang berani berdiri diatas pentas, dihadapan beribu-ribu penonton yang datang dari pelbagai kefahaman. Mereka sentiasa bersiap siaga melemparkan sebarang soalan.

Saya masih terlalu jauh dari mereka. Jauh sekali. Jauh panggang dari api, namun impian itu tetap ada, untuk berdiri berani seperti mereka. Semoga Allah memilih saya dan para pembaca sekalian untuk terjun ke medan jihad ini. Masih terlalu kurang panglima yang seberani mereka.

Al-Quran Itu Sains

Sebenarnya, banyak dari kajian-kajian sains mutakhir ini yang telah membuktikan kebenaran Al-Quran dan Islam itu sendiri. Penemuan demi penemuan dari setiap cabang sains berjaya dibuktikan. Justeru itu, dalam masa yang sama, ia membenarkan dari setiap apa yang diperkatakan tentang sains didalam Al-Quran.

Dalam satu slot, dimana Dr. Zakir Naik di soal oleh seorang athies, tentang kewujudan Tuhan. Benarkah adanya tuhan pada kejadian semesta alam ini. Antara contoh aqliyyah yang didatangkan oleh Dr. Zakir adalah tentang sesuatu benda, contohnya sebiji mesin. Adakah sebiji mesin mampu tercipta dengan sendirinya tanpa perlu kepada penciptanya.

Kemudian, beliau mendatangkan contoh kejadian alam ini adalah dibawah kekuasaan Allah. 30 ke 40 tahun yang lalu, sains telah menemukan teori bahawa alam ini tercipta setelah berlakunya satu kejadian letupan besar di angkasa lepas. Ia dikenali sebagai Big Bang Theory. Namun, semua itu sebenarnya telah terjawab 1400 tahun yang lalu.
Dalam surah Anbiya, Surah ke 21 ayat ke-30;

..أَوَلَمْ يَرَ الَّذِينَ كَفَرُواْ أَنَّ السَّمَـوَتِ وَالاٌّرْضَ كَانَتَا رَتْقاً فَفَتَقْنَـهُمَا

(30. Have not those who disbelieve known that the heavens and the earth were joined together as one united piece, then We parted them..)


Didalam Tafsir As-Sya'rawi, kalimah رَتْقاً membawa maksud sesuatu yang berpadu dan yang bersentuhan. Kalimah فَفَتَقْنَـهُمَا pula memberi makna pemisahan antara keduanya. Ini memberi makna bahawa bumi dan langit ini dahulunya bersatu, melekat antara keduanya, lalu dipisahkan oleh Allah S.W.T, dan dibuktikan melalui teori Big Bang.

Selain daripasa itu, saintis terdahulu mempercayai bahawa bulan mengeluarkan cahaya. Namun kajian membuktikan bahawa bulan itu menerima cahaya dari matahari dan kemudian memantulkannya. Mudahnya, bulan tidak mengeluarkan cahayanya sendiri dan hanya memantulkan cahaya yang matahari (reflected light). Ini telahpun disebutkan didalam Al-Quran, melalui firman-Nya didalam surah Al-Furqan, surah ke 25, ayat 61;

وَقَمَراً مُّنِيراً..

..and a moon giving light.


Kalimah مُّنِيراً membawa maksud cahaya yang bukan zat. Berlainan dengan matahari, Allah S.W.T menggunakan kalimah سِرَاجاً {Al-Furqan:61} dan kalimah ضِيَآءً {Yunus:5}. Kedua-duanya memberi maksud bahawa cahaya itu, adalah cahaya zat, mengeluarkan cahayanya sendiri, dan mempunyai kepanasan yang tersendiri. Manakala, bagi bulan cahaya yang bukan zat memberi makna, cahaya itu adalah cahaya pantulan. Cahaya pantulan tidak mempunyai kepanasan, dan tidak dihasilkan sendiri dari apa yang menghasilkan cahaya tersebut.

Selain 2 contoh diatas, banyak lagi contoh-contoh lain yang membuktikan kebenaran Al-Quran, kesahihan kerasulan Nabi Muhammad S.A.W dan kewujudan pencipta agung bagi sekalian alam.

Tepukan Iman Anda Dengan Bukti-BuktiNya

Dengan itu, carilah kebenaran. Kikis iman warisan yang wujud dari keturunan, dan gantikan ia dengan keimanan yang tepu melalui pembuktian kewujudan-Nya. Bukan kerana apa, tetapi kerana sebab berlakunya kes murtad dikalangan Muslim khususnya Melayu yang berpunca dari kurangnya keimanan dan nipisnya kefahaman terhadap agama Islam akibat Iman & Islam yang diwarisi.

سَنُرِيهِمْ ءَايَـتِنَا فِى الاٌّفَاقِ وَفِى أَنفُسِهِمْ حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ شَهِيدٌ

(53. We will show them Our signs in the universes, and within themselves, until it becomes manifest to them that this is the truth. Is it not sufficient in regard to your Lord that He is a Witness over all things)
{Fussilat:53}

Kembaralah sahabatku. Carilah DIA, yang Maha Esa.

Semoga kau menemui-Nya.

Ibnu Abdullah,
Dar Musta'mal, Karak, Mu'tah
The Heshimate Kingdom Of Jordan.

No comments:

Post a Comment