Monday, November 15, 2010

Erti Pengorbanan : Antara Dua Cinta

Islam terlalu kaya dengan sejarah yang menghiasi jatuh bangunnya. Pelbagai peristiwa, suka dan duka terukir di dalam lembaran sirah. Wa imma, sirah para anbiya’ mahupun sirah tokoh-tokoh besar Islam. Aidil Adha, atau istilah Melayunya, Raya Korban atau Raya Haji, setiap tahun di lalui. Kisah Nabi Ibrahim dan keluarga sering meniti laju di bibir para umat. Sebuah kisah yang tidak asing lagi, seingat saya, semenjak dari Taski, sirah para rasul telah menjadi kebiasaan halwa telinga. Cumanya setelah dewasa, ke atas inisiatif kita sendiri untuk mencari kebenaran di sebalik sirah tersebut lantas memikirkan, apakah hikmah di sebaliknya.

Seandainya, mengorbankan binatang dan di agih-agihkan dagingnya itu, teranggap di sisi kita sebagai sebuah pengorbanan yang besar, apakah kita lupa, sepangjang tahun kita telah berkorban untuk makan. Dan apakah hikmahnya anjuran korban hanya untuk MAKAN?

Justeru kali ini, suka saya untuk berkongsi dengan pembaca dari sudut pandang yang lain dari biasa. Alkisahnya, bapa kita, Nabi Ibrahim A.S tidak mempunyai anak bersama isteri pertamanya, Sarah, sehingga usianya agak lanjut. Lalu, menikahlah baginda bersama Hajar, seorang wanita hamba sahaya. Dengan iradatullah, hamilah Hajar dan melahirkan Ismail A.S. Betapakah kegembiraan seorang bapa yang telah tua tanpa memperoleh zuriat sebelumnya, dapat di ukur. Di cintainya anak yang lahir itu dengan sepenuh jiwa. Lalu, kerana cintanya yang mendalam itu, telah sedikit menggugat cinta agung yang sepatutnya. Dengan asbab itu, di ujilah Nabi Ibrahim. Ujian yang bukan kepalang. Iaitu menyembelih anaknya sendiri. Apakah yang lebih menyedihkan dari itu. Anak tersayang untuk di korbankan. Lantas, ketaatan kepada Tuhan mengatasi segalanya. Dan berjayalah Ibrahim A.S menjalani ujian Tuhan.

Lalu, mari kita bandingkan pula dengan Khatimu Al-Anbiya’. Mengapakah tidak datang ujian itu kepadanya. Apakah Rasulullah tidak mencintai mana-mana batang tubuh dengan penuh rasa kecintaan? Lupakah kita kepada Ummul Mukminin Khadijah? Bagaimana besar kecintaan baginda kepada isterinya itu, sehingga setelah wafatnya beliau, ‘Aisyah tetap mencemburui isteri pertama itu. Di sebut-sebut baginda akan nama Khadijah, Ummul Mukminin. Justeru, setelah cinta sebesar itu, mengapa Allah tidak menurunkan perintah sembelih?

Di sinilah kemuncaknya, ibrah yang sangat besar perlu kita ambil. Adapun kecintaan Ibrahim A.S terhadap Ismail A.S, cinta dan sayangnya itu telah menggugat cinta yang asalnya antara Nabi Ibrahim kepada Allah. Manakala, cintanya Rasulullah S.A.W kepada Khadijah pula, adalah cinta yang menyebabkan bertambahnya lagi kecintaan baginda kepada Allah itu sendiri. Khadijah menjadi sebaik-baik isteri yang membantu perjuangan Rasulullah, tstkala di saat tiada siapa yang bersamanya ketika perintah dakwah baru bermula. Lantas, selayaknya & kerana itulah Rasulullah lebih mencintai Khadijah dari isteri-isteri yang lain, selari dengan itu meningkatkan ketaqwaan dan kecintaan baginda kepada Rabbul Jaleel. Dua perbezaan yang tiadalah terlalu ketara, namun memberi impak yang terlalu besar. Dan suruhan sembelihan kepada Nabi Ibrahim jika kita melihat apa yang tersirat, adalah untuk MENYEMBELIH CINTA DUNIA yang terlekat pada sanubari Nabi Ibrahim. Ini melihatkan pada kita, bahawa Allah, adalah cinta agung yang paling utama. Bagaimanakah dalam satu hati, mampu terkumpul dua cinta agung?

Lalu timbul persoalan,apakah Allah itu pula bersifat CEMBURU? Bahkan tidak wahai saudaraku, mustahil bagi Allah untuk bersifat dengan sifat makhluk. Bahkan, jikalau betapa besar dan kasihnya kita pada Allah, tidaklah sekali meninggikan darjat Allah, dan jika tidak pedulinya kita kepada Allah sekalipun, sedikitpun tidak mengurangkan apa-apa bagi Allah. Justeru untuk apa di uji Ibrahim itu, jika Allah tidak CEMBURU?

Mari kita renungi kembali, firman-Nya ;

"Alif laam miim, Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan : “kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?
(Al-Ankabut 1-2)


Logiknya, ujian untuk memberikan kepastian. Kalau barang-barang, dipastikan keelokannya, pasti akan melalui ujian seperti ISO : 9001 Sirim, barulah kemudiannya di jamin mutunya adalah yang terbaik. Jadi bagi manusia pula, untuk menilai ‘valid’nya iman mereka, sudah pasti perlukan ujian juga, dengan sebab itu, kita yang beriman ini di uji. Dan setelah ini, mari kita timbang tara, dimanakah cinta kita. Kategori Cinta Ibrahim ataupun Cinta Muhammad itu sendiri. Bercintalah dengan ‘bebasnya’, untuk kau lebih mencintai Tuhanmu.

Taqabbalallah Minna Wa Minkum, Selamat Menghayati Erti Pengorbanan & Selamat Hari Raya Aidil Adha

Idea asal : Al-Fadhil Ustaz Mohd Ridzuan B. Mohd Khalin

Olahan : Muhammad Izani B. Abdullah B. Othman


P/S ; Sekian waktu blog ini tidak saya 'update', tiba-tiba di hari 'Arafah ini Allah berikan sebuah kekuatan untuk terus berkongsi dengan anda. Doa saya agar telapak kaki kita terus 'thabat' dalam perjuangan ini. Ameen

Bayt New Musta'mal,
Al-Karak, Jordan.

2 comments:

Ristant Ariez said...

:: Salam.....
slm ziarah & slm ukhuwah,kunjungan perdana sy kat sni.p'kongsian yg menarik & amat b'manfaat.
Smg kita semua kita semua dapat mengambil ibrah dr kisah2 sejarah para Nabi.

Izani Abdullah said...

wslm. terima kasih.
semoga segalanya bermanfaat dan menjadi sebaik-baik amal di akhirat kelak.

بلغوا عني ولو آية

Post a Comment