Wednesday, November 17, 2010

Apa Ertinya Saya Menganut Islam

Terima kasih buat Amir Munshi, sahabat yang saya kasihi. Setelah sekian lama saya selalu mendengarkan nama Fathi Yakan dan karyanya Apa Ertinya Saya Menganut Islam, tapi melalui wasilah Amir, tiba-tiba hati saya tergerak untuk meghayati tulisan beliau.

Betapa berbunga-bunganya hati, memahami setiap bait kata-kata Al-marhum. Setiap pedoman penyuluh jalan. Tidak rugi anda membacanya. Dan bagi saya, seharusnya untuk setiap usrah menjadikannya silibus yang perlu ada selain menggunakan silibus-silibus yang lain.

Terlalu dalam perbahasan yang Al-Marhum datangkan. Dengan setiap isi penting yang benar-benar mengisi kefahaman jiwa. Lantas antara isi penting yang menarik minat saya adalah di mana Al-Marhum Syeikh Fathi Yakan menitikberatkan perihal memahami perbezaan manhaj, sehingga tidak timbul perbalahan di antara umat. Bagi saya, apakah permasalahan manhaj terlalu besar untuk kita timbulkan sebagai topik perbincangan. Memang tidak ada salahnya, akan tetapi, sekiranya perbezaan manhaj yang dizahirkan kita menjadikan kita berbalah, membuat manusia sekeliling melarikan diri dari kita, apakah ada untungnya?

Buku ini akan sentiasa membuatkan kita berfikir dan berfikir dalam menganalisis diri kita yang sebenarnya di samping mentarbiyyah. Tidak perlu meletakkan aras terlalu tinggi, cukuplah sekadar kita perlahan-lahan memperbetulkan diri sendiri terlebih dahulu.

Selamat membaca & menghayati.
Semoga Al-Marhum Syeikh Fathi Yakan mendapat sebaik-baik ganjaran disana. Al-Fatihah.

[Klik Sini] untuk membaca Apa Ertinya Saya Menganut Islam.

Bin Abdullah,
Bayt New Musta'mal,
Al-Karak, Jordan.

Monday, November 15, 2010

Erti Pengorbanan : Antara Dua Cinta

Islam terlalu kaya dengan sejarah yang menghiasi jatuh bangunnya. Pelbagai peristiwa, suka dan duka terukir di dalam lembaran sirah. Wa imma, sirah para anbiya’ mahupun sirah tokoh-tokoh besar Islam. Aidil Adha, atau istilah Melayunya, Raya Korban atau Raya Haji, setiap tahun di lalui. Kisah Nabi Ibrahim dan keluarga sering meniti laju di bibir para umat. Sebuah kisah yang tidak asing lagi, seingat saya, semenjak dari Taski, sirah para rasul telah menjadi kebiasaan halwa telinga. Cumanya setelah dewasa, ke atas inisiatif kita sendiri untuk mencari kebenaran di sebalik sirah tersebut lantas memikirkan, apakah hikmah di sebaliknya.

Seandainya, mengorbankan binatang dan di agih-agihkan dagingnya itu, teranggap di sisi kita sebagai sebuah pengorbanan yang besar, apakah kita lupa, sepangjang tahun kita telah berkorban untuk makan. Dan apakah hikmahnya anjuran korban hanya untuk MAKAN?

Justeru kali ini, suka saya untuk berkongsi dengan pembaca dari sudut pandang yang lain dari biasa. Alkisahnya, bapa kita, Nabi Ibrahim A.S tidak mempunyai anak bersama isteri pertamanya, Sarah, sehingga usianya agak lanjut. Lalu, menikahlah baginda bersama Hajar, seorang wanita hamba sahaya. Dengan iradatullah, hamilah Hajar dan melahirkan Ismail A.S. Betapakah kegembiraan seorang bapa yang telah tua tanpa memperoleh zuriat sebelumnya, dapat di ukur. Di cintainya anak yang lahir itu dengan sepenuh jiwa. Lalu, kerana cintanya yang mendalam itu, telah sedikit menggugat cinta agung yang sepatutnya. Dengan asbab itu, di ujilah Nabi Ibrahim. Ujian yang bukan kepalang. Iaitu menyembelih anaknya sendiri. Apakah yang lebih menyedihkan dari itu. Anak tersayang untuk di korbankan. Lantas, ketaatan kepada Tuhan mengatasi segalanya. Dan berjayalah Ibrahim A.S menjalani ujian Tuhan.

Lalu, mari kita bandingkan pula dengan Khatimu Al-Anbiya’. Mengapakah tidak datang ujian itu kepadanya. Apakah Rasulullah tidak mencintai mana-mana batang tubuh dengan penuh rasa kecintaan? Lupakah kita kepada Ummul Mukminin Khadijah? Bagaimana besar kecintaan baginda kepada isterinya itu, sehingga setelah wafatnya beliau, ‘Aisyah tetap mencemburui isteri pertama itu. Di sebut-sebut baginda akan nama Khadijah, Ummul Mukminin. Justeru, setelah cinta sebesar itu, mengapa Allah tidak menurunkan perintah sembelih?

Di sinilah kemuncaknya, ibrah yang sangat besar perlu kita ambil. Adapun kecintaan Ibrahim A.S terhadap Ismail A.S, cinta dan sayangnya itu telah menggugat cinta yang asalnya antara Nabi Ibrahim kepada Allah. Manakala, cintanya Rasulullah S.A.W kepada Khadijah pula, adalah cinta yang menyebabkan bertambahnya lagi kecintaan baginda kepada Allah itu sendiri. Khadijah menjadi sebaik-baik isteri yang membantu perjuangan Rasulullah, tstkala di saat tiada siapa yang bersamanya ketika perintah dakwah baru bermula. Lantas, selayaknya & kerana itulah Rasulullah lebih mencintai Khadijah dari isteri-isteri yang lain, selari dengan itu meningkatkan ketaqwaan dan kecintaan baginda kepada Rabbul Jaleel. Dua perbezaan yang tiadalah terlalu ketara, namun memberi impak yang terlalu besar. Dan suruhan sembelihan kepada Nabi Ibrahim jika kita melihat apa yang tersirat, adalah untuk MENYEMBELIH CINTA DUNIA yang terlekat pada sanubari Nabi Ibrahim. Ini melihatkan pada kita, bahawa Allah, adalah cinta agung yang paling utama. Bagaimanakah dalam satu hati, mampu terkumpul dua cinta agung?

Lalu timbul persoalan,apakah Allah itu pula bersifat CEMBURU? Bahkan tidak wahai saudaraku, mustahil bagi Allah untuk bersifat dengan sifat makhluk. Bahkan, jikalau betapa besar dan kasihnya kita pada Allah, tidaklah sekali meninggikan darjat Allah, dan jika tidak pedulinya kita kepada Allah sekalipun, sedikitpun tidak mengurangkan apa-apa bagi Allah. Justeru untuk apa di uji Ibrahim itu, jika Allah tidak CEMBURU?

Mari kita renungi kembali, firman-Nya ;

"Alif laam miim, Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan : “kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?
(Al-Ankabut 1-2)


Logiknya, ujian untuk memberikan kepastian. Kalau barang-barang, dipastikan keelokannya, pasti akan melalui ujian seperti ISO : 9001 Sirim, barulah kemudiannya di jamin mutunya adalah yang terbaik. Jadi bagi manusia pula, untuk menilai ‘valid’nya iman mereka, sudah pasti perlukan ujian juga, dengan sebab itu, kita yang beriman ini di uji. Dan setelah ini, mari kita timbang tara, dimanakah cinta kita. Kategori Cinta Ibrahim ataupun Cinta Muhammad itu sendiri. Bercintalah dengan ‘bebasnya’, untuk kau lebih mencintai Tuhanmu.

Taqabbalallah Minna Wa Minkum, Selamat Menghayati Erti Pengorbanan & Selamat Hari Raya Aidil Adha

Idea asal : Al-Fadhil Ustaz Mohd Ridzuan B. Mohd Khalin

Olahan : Muhammad Izani B. Abdullah B. Othman


P/S ; Sekian waktu blog ini tidak saya 'update', tiba-tiba di hari 'Arafah ini Allah berikan sebuah kekuatan untuk terus berkongsi dengan anda. Doa saya agar telapak kaki kita terus 'thabat' dalam perjuangan ini. Ameen

Bayt New Musta'mal,
Al-Karak, Jordan.

Wednesday, August 11, 2010

Motivasi Ramadhan Melalui Sejarah

Islam pernah mencapai kegemilangannya yang tersendiri. Islam kaya dengan kemenangan, juga Islam itu pernah jatuh kerana kekalahan. Akan tetapi, Islam itu hanyasanya layak untuk memikul kegemilangan. Dan kejatuhan itu berpunca dari kesalahan penganutnya yang tersendiri.

Teringat saya akan peristiwa saya dan sahabat pernah dilemparkan soalan "Di manakah Islamnya Mesir (Negara Arab) itu?". Soalan yang sangat membunuh andai akal didahului oleh sentimen dan nafsu semata-mata. Terdiam sebentar, kami memikirkan apakah 'trick' jawapan paling sesuai untuk memperlihatkan Islam itu sebenarnya. Lalu saya teringat kata-kata Cat Steven atau nama Muslimnya, Yusuf Islam sebelum beliau kembali kepada fitrahnya. "Seandainya saya mengenali Islam melalui Muslim, sudah pasti hari ini saya masih belum berniat untuk memeluk agama Islam".

Ya, Islam itu indahnya pada keluhuran ajarannya. Bukan pada Muslim yang mempraktikkannya. Dekati, fahami dan kajilah Islam dari ajaran-ajarannya, ajaran yang memenuhi kehendak fitrah manusiawi.

Kegemilangan Sejarah Islam Pada Ramadhan

Bagi mereka, terutamanya pelajar-pelajar di Tanah Arab (Middle East : Saya kurang gemar menggunakannya, kerana istilahnya terbit dari pembahagian tempat mengikut kerangkan Barat) yang suka mengamati dalam-dalam kehidupan di sini, pasti dan pasti sedikit sebanyak akan termotivasi berpandukan sejarah jatuh bangunnya Islam di bumi kering ini.

Lagi-lagi,di bulan Ramadhan yang mulia ini. Sejarah Islam pernah diwarnai dengan pelangi keindahan. Antaranya ;

1. Peperangan Badar Al-Kubra
Berlakunya pada hari Jumaat, 17 Ramadhan, tahun ke-2 Hijrah.

2. Pembukaan Kota Mekah (Fath Al-Makkah)
Berlaku pada hari Jumaat, 20 atau 21 Ramadhan, tahun ke-8 Hijrah.

3. Beberapa Siri dari Peperangan Tabuk
Berlaku pada tahun ke-9, antaranya peperangan Qadisiyyah, peperangan Al-Buaib dan beberapa lagi peristiwa lain.

4. Pengancuran Lakhams Baqeen
Oleh Khalid Al-Walid, tahun ke-8 hijrah. Lakhams Baqeen, iaitu rumah ibadat yang padanya ada berhala Al-Uzza yang diperbuat dari pohon Tamar.

5. Rombongan Thaqif dari Thaif memeluk Islam

6. Kemasukkan Islam ke Yaman
Rasulullah S.A.W mengutuskan Ali bin Abi Talib, ke Yaman. Pada tahun ke-10 Hijrah.

7. Pertempuran Az-Zallaqah
Berlaku di Sobaihah, Jumaat 25 Ramadhan 479 Hijrah.

8. Pertempuran 'Ain Jalut
Perkampungan di antara Nablus dan Nebsan. Jumaat, 15 Ramadhan 658 Hijrah. 3 September 1260 Masihi. Diketuai oleh Sultan Qutuz, Sultan Mamluk dari Mesir. Dan kemenangan ke atas Islam dengan mengalahkan tentera Moghul.

9. Pembukaan Kota Andalusia
Di taluki oleh Panglima Thariq bin Ziad. Bermula dengan beberapa siri peperangan anratanya, peperangan Tharif, peperangan Az-Zallaqah, dan akhirnya Andalusia jatuh ke tangan Muslim. Tahun ke-92 hijrah, 27 Ramadhan, bersamaan 19 Julai 711 Masihi.

Dan pelbagai lagi siri-siri peperangan seperti peperangan Salib dan peperangan yang lain yang kebanyakkannya berlaku pada bulan Ramadhan.

Ramadhan Bukan Pelemah Semangat

Justeru, telusurilah sejarah Islam yang ikhlas menceritakan pelbagai kemanisan dan kemegahan Islam suatu ketika dahulu. Bahkan lenyapkanlah paradigma kolot bahawa Ramadhan bulan penyekat kemajuan dan kecergasan umat Islam. Sama-sama kita berusaha untuk mencipta kegemilangan Islam yang tersendiri.

Firman Allah S.W.T, surah Ali Imran ayat 40;


وَتِلْكَ الاٌّيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُواْ وَيَتَّخِذَ مِنكُمْ شُهَدَآءَ وَاللَّهُ لاَ يُحِبُّ الظَّـلِمِينَ

And so are the days, that We give to men by turns, that Allah may know (test) those who believe, and that He may take martyrs from among you. And Allah likes not the wrongdoers


Semoga kebangkitan umat yang menelusuri Sistem Khilafah mengikut Manhaj Nabawiyyah akan kembali bangun dan menyinari seluruh pelusuk alam ini. Oh Ramadhan, kau memotivasikan kami.

Rujukan ;

1. Fiqh Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah Az-Zuhaily, Dar Al-Fikr.

Ibnu Abdullah,
Dar Al-Musta'mal, Al-Karak,
The Heshimite Kingdom Of Jordan.

Sunday, August 8, 2010

Ramadhan Tiba Lagi

Kerinduan orang-orang beriman itu antaranya adalah kerinduan kepada Ramadhan. Bulan di mana rahmat Allah S.W.T terbuka seluas-luasnya. Tanpa ada sebarang had, tanpa ada sebarang sekatan. Bagi mereka yang benar-benar beriman dan bertaqwa, Ramadhanlah bulan yang di nanti-nanti kehadirannya. Kerana segala amalan dilipat kali gandakan. Bahkan janji-janji Tuhan itu mengatasi segalanya.

Bersyukurlah seandainya, kita dari golongan yang merindukan kedamaian Ramadhan. Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang buta, bisu dan pekak dari merasai kehadiran Ramadhan kali ini?

Hilang Rasa

Bagaimana perasaan anda, jika anda sebagai seorang majikan, menawarkan pelbagai kelebihan dan keistimewaan dengan memberikan cuti tambahan dan bonus tahunan kepada seantero pekerja yang anda miliki. Namun para pekerja seperti tidak ambil endah. Bahkan ada di antara mereka yang memandang sebelah mata terhadap tawaran-tawaran yang diberikan. Bagaimanakah perasaan anda sebagai majikan.

Begitulah juga Allah S.W.T, bahkan maha suci Allah dari bersifat seperti makhluk. Allah S.W.T menawarkan pelbagai kelebihan. Solat dan amalan-amalan yang digandakan pahala dan kebaikkannya. Di anugerahkan dengan malam Lailatul Qadr. Diberikan 2 kegembiraan bagi mereka yang berbuka puasa, bahkan Allah lebih layak memberikan apa sahaja menurut iradatnya.

Bodoh bukan bagi hamba atau pekerja (dalam konteks sesama manusia) yang menolaknya. Ya, bahkan mereka hilang punca rasa. Rasa kenikmatan dalam memperhambakan diri kepada Tuhan. Teringat saya akan kata-kata Dr. Thalib semasa saya mengambil kelas Tafsir Tahlili bersamanya. Katanya, "seorang hamba kepada manusia, di ambil kebaikkan dan kelebihannya oleh tuan empunya hamba tersebut. Akan tetapi atas sifat rahmatnya Allah, hamba-hambanya pula yang diberikan kelebihan dan kemanfaatan diatas amal kebaikkan yang di lakukannya". Maha baik Allah di atas setiap titis rahmatnya yang jatuh memenuhi buana ini.

Jangan Jadi Sombong

Justeru, golongan yang tidak mengendahkan kehadiran Ramadhan ini juga, terdiri dari orang-orang yang sombong. Mereka melupakan Tuhan, lantas layakkah untuk Tuhan mengingati mereka. Atas peri sombongnya sikap mereka. Firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Hasyr, ayat 19;

وَلاَ تَكُونُواْ كَالَّذِينَ نَسُواْ اللَّهَ فَأَنسَـهُمْ أَنفُسَهُمْ

And be not like those who forgot Allah, and He caused them to forget themselves...


Begitulah, sebagai makhluk yang diciptakan, sepatut-patutnya kita yang mengejar redha dan rahmat Allah. Seandainya kita melupakan-Nya, Dia lebih berhak melupakan kita dari pandangannya. Dan ingatlah, bagi hamba yang dilupakan oleh Allah, maka tiadalah berhak ke atasnya sebarang sifat rahman dan raheem Allah.

Selamat Menyambut Ramadhan

Jadi di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut ketibaan bulan Rahmat, bulan Maghfirah dan bulan kelepasan dari siksaan azab api neraka. Rebutlah setiap saat yang dirampas dunia dari terus lalai dan alpa kepada mengingati dan menjerumuskan diri kepada amal soleh dan ibadat-ibadat khususiah. Pesan saya, anggapkan ini RAMADHAN KALI TERAKHIR. Semoga tarbiyyah pada madrasah Ramadhan kali ini menjadikan kita lebih baik dari semalam.



Ramadhan Kareem

Ibnu Abdullah,
University Mu'tah, Al-Karak,
The Kingdom Of Heshimite.

Saturday, July 31, 2010

Menjadi Manusia



Kembara ilmu ke bumi Syam ini banyak membuka mata saya. Melihat dan mengkaji manusia. Dan saya belajar untuk sukakan manusia. Kerana manusia adalah sumber kepada saya untuk mengenali diri sekaligus mengukir kecemerlangan duniawi ukhrawi. Meraikan kehidupan setiap insan yang berbeza-beza, dari setiap sudut. Kerana, dari manusia itu kita belajar menjadi untuk menjadi manusia yang lebih sempurna.

Lain orang, lain perwatakkanya, lain peri pekertinya, lain budi bahasanya. Bak kata pepatah Melayu, lain padang lain belalangnya, lain orang lain ragamnya. Untuk mengkaji manusia, kita sendiri perlu menjadi seperti manusia. Sama juga seperti apa rahsia Rasul itu di bangkitkan dari golongan manusia juga. Agar tidak ada pertembungan besar yang berlaku membezakan di antara keduanya. Sebab itu, saya katakan, untuk belajar menjadi manusia, kita perlu jadi manusia. Bukannya dengan membeza-bezakan sesama kita.

Belajar Cintakan Manusia

Saya tidak nafikan, bahawa kadang-kadang kita bencikan seseorang insan kerana buruk perilakunya. Itu fitrah, membenci kesalahan. Tapi, yang sebenar-benarnya adalah bagaimana sebenarnya kita belajar untuk membezakan diantara membenci kejahatan dan kesalahan dari membenci kepada si pelakunya. Bencikan dadah, mat pit yang dihina, bencikan zina, pelacur yang dicaci, bencikan merempit, mat remp-it yang dimaki. Itulah kita, salah membenci. Benci pada yang bukan tempatnya.

Kerana itu, saya benar-benar ingin belajar menjadi manusia dari manusia. Seperti mana Rasulullah itu membenci ke atas kesalahan yang pernah dilakukan Hindun kerana membunuh Hamzah R.A, tetapi bukan membenci Hindun, walaupun ketika itu dia seorang penentang agama yang di bawa Rasulullah S.A.W. Ya, belajar mencintai manusia, kerana untuk menjadi seorang yang benar-benar manusia.

Anjuran ini sendiri telah lama digalakkan sendiri oleh Allah Azzawajalla, firmanNya ;

يأَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَـكُمْ شُعُوباً وَقَبَآئِلَ لِتَعَـرَفُواْ

Wahai manusia, sesungguhnya kami ciptakan kamu dari (jenis) lelaki dan perempuan, dan kami jadikan kamu dari pelbagai bangsa dan suku jenis supaya kamu dapat saling bersuai kenal.. (Al-Hujurat : 13)


Timbangan Iman & Taqwa

Bahkan apatah lagi pada mencintai saudara saya sendiri yang seagama. Berasal dari Adam dan Hawa. Sujud pada Qiblat yang sama. Beriman pada Tuhan yang sama. Kita adalah saudara. Ingin sekali saya memahami, bagaimana cinta itu mampu dipupuk, walaupun kita saling tidak pernah mengenali.

Seperti mana Nabi mencintai ummatnya. Ketika kita masih lagi belum wujud di bumi nyata. Merindui kehadiran ummatnya, yang mampu mengimani kerasulannya, walau terpisah beribu tahun dijarakkan. Alangkah ajaibnya cinta itu. Alangkah ajaibnya iman & taqwa, bahkan setelah ajuran agar saling bersuai kenal, ataupun pada inti sebenarnya, agar kita belajar menjadi manusia manusiawi. Allah S.W.T menyatakan pula, sesungguhnya, kita terbeza pula pada erti kata TAQWA. Firmannya pula ;

..إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عَندَ اللَّهِ أَتْقَـكُمْ..

..Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah adalah yang paling berTAQWA.. (Al-Hujurat : 13)


Tuntas Menjadi Manusia Manusiawi

Belajar dari manusia perlukan seribu satu kecekalan. Sebagaimana, kita belajar untuk mengenali diri sendiri sebenarnya. Kerana itu, orang yang tidak sedar diri, tidak belajar dari manusia sendiri, mereka akan merasakan diri mereka seperti MALAIKAT YANG SUCI. Ah, orang lain tidak setaraf. Kerana mereka meletakkan sempadan besar yang menjurangi di antara 'dia' dan 'mereka' sekaligus itu yang menjadikan mereka TIDAK SEDAR DIRI.

Sombong untuk belajar dari manusia sebagai sumber subjek, adalah suatu kesilapan yang besar dalam kehidupan. Belajarlah juga dari 'cerita semalam', dari sejarah kehidupan manusia itu sendiri. Semoga ada teladan yang mampu direnungi untuk kita menjadi manusia sejati.

Belajarlah dari manusia, kerana dari manusia kita dapat mengenali diri.

Ibnu Abdullah @ Abdul Khaliq
Dar Musta'mal, Mu'tah, Al-Karak,
Jordan.

Wednesday, July 28, 2010

Bukan Hanya Tahu

"Saya telah berkahwin, punya anak. Mana sempat untuk mengulangkaji pelajaran di luar kelas." Hujah pelajar perempuan Arab tersebut. Menangkis anggapan pensyarah bahawa dia tidak mengulangkaji pelajaran.

"Pekerjaan saya sebagai pegawai mahkamah tidak membolehkan saya mencuri masa untuk muraja'ah wahai doktor." Tegas pelajar lelaki Arab awal 30-an itu.

Berhujah tidak mempunyai masa, sedangkan kebanyakkan pelajar Arab suka untuk menghabiskan masa mereka untuk melepak di atas rumput, baring-baring sambil menghirup gahwah, dan kadangkala mengusik pelajar 'ajam yang melintas dihadapan mereka. Tidak dinafikan, yang baik tetap baik.

Dr. Mustafa tersenyum kelat. Raut wajah kesedihan beliau terpancar jelas, sedihkan kerana kertas jawapan ujian Sirah Nabawiyyah terlalu kebudak-budakan. Bukan jawapan pelajar yang kebanyakkan dari rumpun bangsa Melayu, tetapi dari pelajar berbangsa Arab sendiri. Melayu dengan masalahnya yang tersendiri. Penguasaan bahasa Arab yang terlalu lemah. Itu masalah lain.

"Aku melihat, pelajar 'ajam di kuliah Syariah ini, sama ada mereka itu benar-benar terkehadapan, ataupun mereka benar-benar kosong, antara dua." Sambil tangan kanannya terangkat ke atas.

"Dan yang paling aku sedihkan adalah pelajar Arab sendiri. 'Ajam tidak termasuk di dalam masalah ini. Jawapan pelajar Arab pada kertas yang telah aku semak semalam terlalu thufuliyyah (kebudak-budakan). Ini yang sedang aku fikirkan. Tiada lontaran idea yang jauh terkehadapan, bahkan gaya penulisan sahaja seperti kelas 3. Padahal kamu sekalian adalah mahasiswa universiti." Tegas doktor.

Kelas sunyi seketika. Lontaran persoalan Dr. Mustafa tentang apa sebenarnya masalah yang menjadikan mereka sebegitu, membisukan sekalian yang ada.

"Bagaimana tidak, ulangkaji hanya untuk peperiksaan." Jawab seorang pelajar lelaki Arab yang lain.

"Benar, bagus! Itulah sebenarnya masalah utama kepada kerisauan aku. Belajar hanya untuk markah." Balas Dr. Mustafa kepuasan. Puas, kerana punyai jawapan sebenar. Jawapan yang merangkumi kepada masalah 'tidak cukup masa mengulangkaji', 'tidak faham silibus', dan pelbagai lagi alasan menongkah kebenaran.

Exam Oriented

'EXAM ORIENTED'. Itulah jawapan sebenar kepada persoalan di atas. Bukan tidak punya masa sebenarnya. Tetapi mengaji hanya untuk menjawab peperiksaan. Buku hanya menjadi teman tatkala musim peperiksaan. Bahkan lebih teruk dari itu, ulangkaji hanya di malam sebelum kertas soalan bagi subjek tertentu akan di jawab pagi esoknya. Cara pembelajaran apakah ini?

Setelah itu pula, selayaknya bagi seorang mahasiswa, pembawakan identiti seorang pelajar sekolah menengah sudah tidak ada. Biarlah seeloknya, dari sudut pengajiannya sudah berubah. Cara mengaji, seorang mahasiswa universiti. Bukan seorang pelajar sekolah yang hanya menyantap suapan dari seorang guru. Itu yang sepatutnya menjadi keutamaan. Suasana tidak mungkin berubah, tanpa perubahan dari manusia yang mencorakkannya.

Sebenarnya, masalah ini bukan masalah bangsa tertentu, universiti tertentu, mahupun kuliah tertentu, bahkan ini adalah masalah bagi majoriti pelajar. Tidak kiralah, diperingkat menengah mahupun universiti. Belajar hanya untuk markah. Dan apa yang menyedihkan, kadangkala belajar jauh dari tanah air (oversea), tapi tak punya apa-apa. Kosong.

"Aku melihat, pejalar 'ajam tidak melazimkan diri mereka dalam menuntut ilmu di sini. Mereka datang tanpa isi, dan pulang juga tanpa sebarang isi." Ujar Muhammad Mubarak. Kebenaran dari kata-katanya itu terbit setelah dari dia menyaksikan sendiri. Kelas Matan Ajrumiah yang di anjurkannya secara sukarela setiap Isnin di Masjid Syuhada', sunyi. Sepi dari kehadiran pelajar Melayu. Harapannya baiknya untuk membantu, tapi tiada siapa yang sudi menerimanya.

Itu hakikat dan realiti. Pekan kecil ini bukan besar seperti bandar Amman, bahkan tidak sebanding pekan Mafraq langsung. Hanya simpang empat itu sahaja yang sesak. Entah apa yang manusia di sekelilingnya disibukkan.

Tahu Itu Perhiasan

Asasnya, setiap manusia perlu kepada Ilmu. Seorang individu yang berilmu kedoktoran, tidaklah sama dengan individu yang hanya berpengetahuan kedoktoran. Pasti tidak sama sekali. Begitu juga seorang yang mempunyai ilmu undang-undang, tidak sama dengan mereka yang berpengetahuan tentang undang-undang.

Orang yang berilmu itu sudah tentu berpengetahuan, tapi orang yang berpengetahuan belum tentu lagi berilmu. Begitu Luuasnya jurang antara orang yang ada ILMU dan ada TAHU. Justeru itu, biarkan tahu menjadi perhiasan. Tetapi, tetapkan keilmuan agar menjadi sebaik-baik sandaran.

Seharusnya, bagi setiap yang bergelar penuntut ilmu itu benar-benar menghabiskan masa, usaha dan tenaganya untuk mengaut segala butir mutiara ilmu milik Tuhan. Bukan di sia-siakan dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Biarlah dari 24jam itu, 40% waktunya untuk belajar, 45% untuk beribadah khususiah, 10% untuk tidur dan 5% untuk beriadah. Bukan sebaliknya.

قَالُواْ سُبْحَـنَكَ لاَ عِلْمَ لَنَآ إِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَآ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
"Mereka (Malaikat) berkata, Maha Suci Engkau, tiadalah kami ini mempunyai keilmuan melainkan apa yang Engkau (beri) ilmukan kepada kami, sesungguhnya hanya engkaulah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana" (Al-Baqarah : 32)


Bersama-samalah kita berusaha ke arah itu. Teguran ini dengan niat untuk memperbetulkan diri saya sendiri. Dan sekaligus semoga dapat memberi kesedaran kepada teman-teman seperjuangan. Kerana kita adalah sebaik-baik ummah. Menyuruh kepada kebaikkan, menegah kemungkaran dan beriman kepada Allah. Itulah pra-syarat untuk menjadi sebaik-baik ummah.

Kejayaan kita, adalah kejayaan untuk Islam. Majulah wahai pejuang agama. Nun di seberang sana, masyarakat memerlukan kita. Allahu 'Alam.

Ibnu Abdullah @ Abdul Khaliq,
Universiti Mu'tah, Al-Karak, Jordan.

Tuesday, July 13, 2010

Puisi : c.h.e.n.t.a Kerana-Nya

Qal'ah Al-Halab, Halab, Syria

Setelah Cinta Aku Warnakan,

Seusai Cinta Aku Ungkapkan,

Aku Masih Lagi Termanggu Kebingungan,

Kerana, Tiada Warna Yang Mampu Mewarnainya,

Kerana, Tiada Kata Yang Mampu Menguraikannya,

Hanyalah Cinta Itu Mampu Di Rasa,

Pada Jiwa Yang Benar-Benar Menginginkannya,

Mengikut Landasan & Jalan Kehendak-Nya.

Andai Cinta Menuruti Syahwat,

Andai Cinta Mengingkari Iradat,

Andai Cinta Menyalahi Adat,

Sesungguhnya, Lapanglah Syurga Dari Padat,

& Penuhlah Neraka Kerana Terlalu Sendat.

Oh Tuhan, Ajarkan Aku Cinta,

Agar Mampu Aku Mengerti Erti Cinta-Mu,

& Ertikan Aku Pada Merindui-Mu,

Agar Rinduku Hanya Pada Untuk Menemui-Mu ..

-Yang Ingin Mencintai & Di Cintai-
Ibnu Abdullah, Bayt AlQudsi
AlKarak, Jordan.