Tuesday, June 29, 2010

Hujah Bersandarkan Dalil



Banyak yang boleh kita pelajari dari ulama' terdahulu, bahawa setiap hujah mestilah bersandarkan dalil. Dalil yang kukuh sebagai sandaran agar hujah yang dibawa tidak longlai ditujah oleh alasan-alasan bodoh dari akal yang rapuh. Sebagai contoh, pelajar usuludin biasanya akan memahami, bagaimana Imam Al-Ghazali menolak pemahaman falsafah di dalam aqidah, dengan karyanya Tahafut Al-Falasifah . Kemudiannya pula, bagaimana Ibnu Rusyd menolak kembali pemahaman Al-Ghazali dengan tulisannya Tahafut Tafafut. Islam mengajar kita, menolak hujah dengan bukti-bukti yang nyata, sehinggakan kafir Quraisy yang menolak dakwah Rasulullah S.A.W dalam diam turut mengakui kebenarannya. Namun ia tetap menidakkan dengan alasan yang rapuh akibat dari nafsu ammarah yang tidak di pandu dengan wahyu. Apabila akal mendahului wahyu, apabila emosi ditunggangi nafsu, pasti dan pasti segalanya hancur musnah tak terperi.

Kebiasaannya, apabila hujah mula rapuh tanpa bukti-bukti yang kukuh, akhirnya pasti fitnah yang akan ditempuh. Bagaimana kita melihat dalam apa situasi sekalipun hari ini, biarlah isunya dari agamawan, bangsawan, negarawan, politikusan, mahupun masyarakat kebanyakkan, sesudahnya dari fatrah perdebatan, pasti ada pihak yang akan dilemparkan fitnah, caci maki dan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas. Firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Furqan ;

أَرَءَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَـهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلاً

Have you seen him who has taken as his god his own vain desire Would you then be a guardian over him? (25 : 43)


Al-Allamah Syeikhuna Syeikh Sya'rawi menyatakan di dalam tafsirnya tentang ayat ini bahawasanya di wahyukan kepada Rasulullah S.A.W untuk menjelaskan bahawa agama itu adalah benteng dan garisan untuk mengawal manusia dari melampaui batasan dalam mengikut hawa nafsu. Syeikh Sya'rawi juga melemparkan persoalan, mengapakah hawa nafsu itu sering bersalahan? Ini kerana tabiat kehidupan manusia itu sering menuntut tuntutan yang berbeza. Contoh mudahnya ketika mana kita berjalan-jalan di Mall, seiring dengan pandangan mata kita, pasti nafsu akan menuntutnya. Nampak restoran, perut memohon. Nampak kedai pakaian, badan meminta. Nampak perempuan, syahwat memomoi. Itu semua, tanpa wahyu dan akal memandu, pasti akan lesu manusia dibuatnya.
Syeikh Sya'rawi juga menyatakan, kata-kata ulama tentang nafsu ;

آفة الرأي, الهوى
Virus pandangan (akal) itu adalah nafsu


Kembali kepada persoalan hujah tadi, banyak dari nas dan hadith memperincikan tentang kebenaran ataupun penghujahan itu memerlukan bukti dan sandaran. Firman Allah lagi di dalam surah Al-Baqarah, ayat 111 ;

قُلْ هَاتُواْ بُرْهَـنَكُمْ إِن كُنتُمْ صَـدِقِينَ

"..Say (O Muhammad ), "Produce your Burhan (Proof) if you are truthful.''"


Teringat saya bagaimana guru saya, Ust Uda Kasim menceritakan kisah di sebalik ayat ini. Suatu ketika Rasulullah S.A.W melihat pertelingkahan di antara orang-orang Yahudi dan Nasrani tentang siapakah yang akan memasuki Syurga. Masing-masing mempertahankan hak, kononnya masing-masing berada di landasan kebenaran. Lantas Allah menegur dan menyatakan "..تِلْكَ أَمَانِيُّهُمْ.." (..These are their own desires..). Dan di akhir ayat 113, Allah memperkuatkan tentang sifat Adilnya di atas setiap apa yang diperselisihkan sesama manusia di muka bumi ini.

"كَذَلِكَ قَالَ الَّذِينَ لاَ يَعْلَمُونَ مِثْلَ قَوْلِهِمْ فَاللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَـمَةِ فِيمَا كَانُواْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ"

(Like unto their word, said those (the pagans) who know not. Allah will judge between
them on the Day of Resurrection about that wherein they have been differing)


Sesungguhnya pengadilan Allah jualah yang maha adil. Masing-masing telah berhujah, masing-masing bersandarkan dalil. Semoga kita di rezkikan untuk mengikuti kebenaran dan dan di rezkikan untuk menjauhi thagut.

Selamat berdebat buat adik-adik terutamanya SAMTTAJ Shah Alam dan SAMT Hisamuddin Kg. Jawa di Pertandingan Debat Bahasa Arab Peringkat Kebangsaan Kali Ke-3 anjuran Univ. Sains Islam Malaysia. Kalau kalah jangan di caci pula kumpulan yang menang. Kalau menang, jangan di pandang rendah kumpulan yang kalah. Kalah menang itu adat bertanding. Tapi kebenaran kebatilan, itu adat kehidupan seorang manusia.

Orang Cerdik Mengenali Orang Bodoh, Tapi Orang Bodoh Tidak Kenal Orang Cerdik - Ust. Mohd. Ridhuan Khalin

Ibnu Abdullah,
Univ. Mu'tah, AlKarak, Jordan

Saturday, June 26, 2010

Membazir Itu Salah

>Pembaziran bukan pada makanan sahaja


Hari ini, budaya hendonisme telah melanda kebanyakkan dari jiwa-jiwa kita. Dalam sedar atau tidak, bukan sahaja si jahil yang teruk terikut-ikut dengan rentak hiburan si thagut Iblis, bahkan si berilmu yang memahami setiap nas yang bersumber dari Al-Quran juga turut terpesong dengan pujuk rayu syaitan durjana ini. Inilah yang di katakan, terlalu bangga dengan ilmu yang di miliki, sehingga merasakan segala kelakuannya benar walaupun hakikatnya salah. Biarlah 'seratus juzuk' dari Al-Quran itu tersemat di dada, namun kalau tidak memahaminya, tetap tiada guna. Teringat pesan guru saya, Cikgu Del Vera Hafiz, "tahu itu berbeda dengan faham, orang tahu belum tentu faham, tapi orang faham sudah tentu dia tahu. Yang faham itulah yang berilmu."

Apakah kejayaan sesebuah program itu bergantung kepada kejayaan memenuhkan nafsu perut yang sementara dan bakal menjadi tahi. Nikmat dunia itu terlalu sementara. Paling jauh pun hanya sampai ke kerongkong. Itulah duniawi. Inilah yang di katakan seperti dalam sabda Baginda Rasulullah S.A.W tentang penyakit Al-Wahn, iaitu 'Cintakan Dunia, Takutkan Mati'. Fahamkah kita akan nas Al-Quran " وَلاَ تُبَذِّرْ تَبْذِيرًاإِنَّ الْمُبَذرِينَ كَانُواْ إِخْوَنَ الشَّيَـطِينِ ", "..dan janganlah kamu membazir, sesungguhnya, si pembazir itu adalah ikhwan kepada Syaitan ..", (17 : 26-27). Ataupun, kita terlalu pandai dalam berijtihad, sehinggakan boleh bertasamuh dalam perkara-perkara kebatilan. Dalam tidak sedar, kita terlalu mengikutkan format si kaya, sehingga lupa kita miskin sebenarnya. Berpadalah pada keperluan, utamakan tujuan, mujahadah itu perlu, bukankah ini sebuah amanah?

Justeru itu, penyelesaian terbaik dalam memperbaiki masalah pembaziran ini adalah dengan mengikut method orang-orang Mu'min, berpadalah dengan dunia. Bukan payah untuk berubah, tinggal kita sahaja mengakui kebenaran, dan menolak kesalahan. Orang yang malu untuk memperkatakan kebenaran, sama seperti si Syaitan Bisu. Raihan ada berpesan, "berhibur itu tiada salahnya, kerna hiburan itu indah, hanya pabila salah memilihnya, membuat kita jadi bersalah". Saya bukanlah si wali yang suci dari dosa, saya juga manusia biasa yang inginkan hiburan dan suka berhibur, cumanya, Islam sebagai agama saya telah memberikan panduan agar hiburan itu ada batasannya. Tak salah nak bermewah, tapi berpadalah dengan kemampuan dan jangan sampai melakukan pembaziran. Ikut rasional akal berpandu wahyu, bukannya sandaran bodoh pada keinginan nafsu. Anda orang berilmu, mesti faham, bukan hanya sekadar tahu. Bezakan keperluan, utamakan tujuan. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Abdullah Bin Amr berkata, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda;
" أَرْبَعٌ إِذَا كُنَّ فِيكَ فَلَا عَلَيْكَ مَا فَاتَكَ مِنَ الدُّنْيَا: حِفْظُ أَمَانَةٍ، وَصِدْقُ حَدِيثٍ، وَحُسْنُ خَلِيقَةٍ، وَعِفَّةُ طُعْمَة "


(There are four things, if you attain them, then whatever you miss in this world will not matter: preserving trust, speaking the truth, being of good character and moderation in eating.) _Tafseer Al-Quran Al-Azeem_

Sesungguhnya bodoh sombong si berilmu lebih dahsyat dari bodoh sombong si jahil.


Ibnu Abdullah,
Dar Musta'mal, AlKarak, Jordan.

Tuesday, June 22, 2010

Sukarnya Yang Bernama Istiqamah

Payahnya Sebuah Istiqamah

Dulu di sekolah, bagi mereka yang menjadi penghuni tetap sekolah berasrama, terutamanya sekolah agama, kita sentiasa 'dibelenggu' dengan suasana. Suasana yang kononnya mengikat diri dari sebuah kebebasan. Suasana yang membosankan. Suasana yang menimbulkan kebencian dan seribu satu persoalan, "perlukah aku lakukan semua ini?". Contohnya seperti ;

1 - Bacaan Mathurat selepas solat Subuh, selepas solat Asar.

2 - Zikir harian sebelum maghrib.

3 - Solat qiamullail di hujung minggu.

4 - Bayan dan kuliah tiga minit (kultim).

5 - Solat berjemaah di awal waktu.

6 - Surah Al-Mulk sebelum tidur

dan banyak lagi. Kononnya mengongkong kebebasan hidup seorang pelajar.

Tetapi, bagi saya, setelah hampir 3 tahun meninggalkan alam persekolahan, meninggalkan suasana yang kononnya membebankan waktu seorang pelajar, saya seperti merindukannya kembali. Bagi saya, kehidupan seperti itu sebenarnya terlalu indah. Memang amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada Allah terlalu banyak yang di'program'kan oleh pihak asrama dan warden. Namun sebenarnya, 'program-program' tersebutlah yang menjana kemanisan Iman.

Hari ini, saya benar-benar merindukan suasana itu. Keterpaksaan yang membahagiakan. Sebenarnya hidup tanpa suasana amat-amat memberi kesan kepada kehidupan. Lebih-lebih lagi kehidupan yang tiada disiplin. Waktu terbuang dengan keseronokan dunia. Suka saya untuk mengingatkan diri saya dan pembaca, untuk sama-sama kita mempertingkatkan amalan.

Kerana kita sering lupa, teman yang sebenar-benarnya di alam barzakh nanti adalah amalan kita sendiri. Alam yang terpisah dari manusia kebanyakkan.

Suburkan Kembali Kehidupan

Benar, posisi kita sebagai seorang pelajar di universiti terutamanya, terikat masanya dengan pembelajaran. Namun janganlah terlalu kita tinggalkan amalan-amalan yang 'remeh' tersebut. Kerana amalan tersebutlah yang sangat-sangat menjamin ketenangan hati. Belajar untuk mendisiplinkan diri mematuhi waktu-waktu yang kita sendiri tetapkan.

Memang payah, sangat payah, dan terlalu payah. Bukanlah maksud saya mendisiplinkan waktu kehidupan dengan mematuhi setiap waktu yang ditetapkan setiap hari dan langsung tidak boleh ber'tasamuh', namun yang dimaksudkan sebenarnya adalah menyusun hidup dengan penuh sistem. Ya, memang sukar, hanya yang benar-benar mampu beristiqamah sahaja yang akan berjaya.

Jadi pesannya buat kali ini, seruan supaya kita dapat hidupkan amalan-amalan yang menyuburkan benih iman. Agar tidak mudah mati, kerana layu dek tiada siraman dari pemiliknya.

Semoga Allah memilihi kita semua untuk sentiasa dekat dengan-Nya.

Ibnu Abdullah,
Dar Musta'mal, Al-Karak, Jordan.

Saturday, June 12, 2010

Sepatu Khinzirku

Geram. Itulah perasaan saya setelah 3 bulan melanyak kasut berjenama Crossbow. Pelaburan JD30 disangkakan boleh memberi pulangan dalam masa 1 tahun, tak perlu lagi untuk membeli kasut-kasut lain, tapi sayang. Saya juga bukanlah jenis yang mudah melaburkan duit pada barangan seperti kasut, gadjet, pakaian dan lain-lain. Fikir 10 kali, baru boleh beli. Lagipun, saya bukan orang berada. Namun, apa yang berlaku ini semuanya gara-gara keterlekaan saya sendiri dalam meneliti setiap barangan yang dibeli.

Terima kasih buat sahabat yang menyedarkan saya bahawa kasut yang telah saya lanyak itu rupa-rupanya dihasilkan dari kulit haiwan merah jambu tersebut. Cute as pigs, bak kata orang puteh, tapi sayang, bernajis. Najis 'mughallazhah' pula.

Macam mana kulit 'pinky' boleh jadi hitam??


Tak Puas Hati

Biasalah, saya sebagai manusia biasa tidak dapat tidak, terdetik rasa tidak puas hati, jauh nun disudut hati saya. Pertamanya, saya memetik papan kekunci, tentang hukum memakai kasut yang diperbuat daripada kulit babi atau nama saintifiknya 'Sus scrofa domesticus', seperti yang tertulis di Wikipedia. Lantas, carian Google menemukan saya dengan laman INFAD, salah sebuah Intitusi Penyelidikan & Pengurusan Fatwa Sedunia dibawah kendalian U.S.I.M, universiti yang pernah saya transit selama 2 bulan.

Jawapan di laman INFAD (Klik Sini) masih tidak memuaskan hati saya. Hilang selera makan memikirkan nasib kehilangan kasut kulit babi tersebut. Lalu, dengan sedikit usaha dan semangat rajin, saya menyelak lembaran kitab 'Fiqh Islami Wa Adillatuh' karya ulama besar, Dr. Wahbah Az-Zuhaily.

Perbahasan Fuqaha'

Secara konklusinya, Imam Abu Hanifah menyatakan bahawa penggunaan kulit yang disamak adalah suci dan diharus untuk digunakan. Bersandarkan kepada 2 hadith. Pertama, yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, sabda Rasulullah S.A.W, "Sebarang kulit yang telah disamak, maka sesungguhnya, ia suci", hadith Hasan. Hadith kedua diriwayatkan oleh Abu Daud & An-Nasaie, diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W melalui halaman sebuah kaum (perkampungan) pada peperangan Tabuk, lalu diminta minuman dari mereka; Berkata Rasulullah : "(Adakah) terdapat air?" Dijawab seorang perempuan : "Tidak wahai Rasulullah, melainkan padaku hanya seberkas air dari kulit bangkai". Jawab Rasulullah : "Bukankah telah disamak?". Jawab si perempuan : "Ya", lalu dijawab Rasulullah S.A.W : "Sesungguhnya telah sucilah ia setelah disamak". Namun pengecualian terhadap 2 jenis kulit, pertama kulit babi dan yang kedua kulit manusia.

Sedikit berbeda dengan Imam Syafie', disyaratkan agar dibersihkan dan disamak kulit bangkai tersebut dengan sesuatu bahan yang menyebabkan sehingga tertanggalnya bahan-bahan kumuhan, tahi dan sebagainya yang terlekat padanya. Dan dihukumkan masih tidak suci sekiranya disamak dengan cara menjemurnya, atau mengawet(mengasinkan) atau dibersihkan dengan tanah dan sebagainya. Dan tidak suci bagi kulit babi, anjing atau yang lahir dari keturunan keduanya walaupun disamak.

Manakala pendapat yang masyhur bagi Mazhab Maliki dan Hanbali, adalah tidak suci sebarang kulit yang disamak kerana najis yang terdapat padanya. Bersandarkan kepada sebuah hadith dari Abdullah Ibn 'Ukaim, yang pada pendapat mereka telah menasakhkan hadith riwayat Ibnu Abbas tadi. Dan beberapa pendapat yang lainnya, ada yang mengharuskan dan ada yang tidak mengharuskannya. Allahu a'lam

Mencari Jawapan Dalam Pengetahuan

Seandainya masih ada keraguan terhadap apa yang dibincangkan, jalan-jalan keluar masih terbuka lebar. Pergilah bertanyakan kepada yang lebih tahu dari saya yang tidak tahu ini. Perkongsian di atas sekadar atas kemampuan dan kefahaman saya terhadap apa yang ada digenggaman saya.

Sebenarnya terlalu banyak masalah yang timbul yang masih tidak kita ketahui jawapannya. Terkadang juga, kita hanya mengetahui, tanpa benar-benar kita fahami. Seperti apa yang berlaku ke atas saya, sekadar mengetahui melalui pengajian, sekarang bila ia benar-benar berlaku ke atas diri saya barulah saya fahami apa yang saya pelajari selama ini. Alhamdulillah.

Tuntasnya, saya berharap kejadian yang berlaku kepada saya tidak berlaku ke atas sahabat-sahabat dan sidang pembaca budiman sekalian. Perlunya kita teliti terlebih dahulu dalam membeli barang-barang buatan kulit. Kalau murah tak mengapa, ini mahal. Mahu menangis pun, seperti tidak ada gunanya. Namun, hukum tetap hukum, disinilah kita belajar untuk menguji sejauh mana tahap keimanan kita terhadap kehidupan dunia. Adakah benar-benar selari dengan jalan dan syariat Tuhan? Tepuk dada, tanyakan Iman.

Kasut ini memang sangat selesa.


Nampak? Titik-titik 3, kalau nak lebih jelas, untuk kenal kulit babi al-khinziri (Klik Sini)


Memang sedih, mahal bukan main, tapi apa daya, hakikatnya ia najis. Dan juga kerana saya adalah Muslim yang cintakan kebersihan. Kebersihan itu lambang keindahan. Dan Allah suka pada yang indah-indah.

Selamat Jalan Sepatu Khinzirku. Semoga ada gantinya.

Rujukan
i - Fiqh Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah Az-Zuhaily

Ibnu Abdullah,
Dar Musta'mal, AlKarak, Jordan.

Thursday, June 3, 2010

Lenturan Terbaik Ketika Rebungnya

Saya ketika di S.R.A Seksyen 19, 5 Ubaidah, 2001
Kredit : Nasihah Kamil

Masa berputar-putar ligat. Benarlah sumpah dan janji Tuhan, demi masa, manusia itu MEMANG sentiasa kerugian. Namun pengecualian buat dua golongan dari Tuhan, mereka golongan yang beramal soleh yang berpesan-pesan dengan kebenaran, dan juga berpesan-pesan dengan kesabaran.

Zaman Kecil

Zaman kecil kita kaya dengan pelbagai cerita. Kaya dengan pelbagai telatah riang, gembira, ceria tiada duka. Walaupun tidak semua dari kita datang dan dibesarkan dalam keluarga yang kaya, senang, bukan papa, tetapi itu tidak bermakna zaman kecil kita tiada cerianya. Kerana sepahit apapun perjalanan hidup seorang hamba, pasti akan ada pelajaran & pengajaran untuknya.

Banyak kisah-kisah Rasul telah kita hadamkan semenjak kecil. Banyak kisah-kisah tauladan telah kita cernakan. Sama ada melalui perkongsian ibu bapa di rumah ataupun dari sesi pembelajaran di sekolah. Usia kecil adalah rebung yang perlu di lentur. Lenturan yang baik, menghasilkan buluh yang baik & cantik mengikut apa yang telah kita lenturkan.

Seinfiniti syukur saya panjatkan, kerana Abah & Mama telah berikan yang terbaik untuk saya. Pengajian agama menjadi keutamaan. Didikan dan asuhan agama itulah yang menjadikan saya seperti mana hari ini. Agama itu untungnya di dunia & akhirat. Sahamnya membantu, untuk kita bayar mahar nilaian di syurga kelak. Justeru, bagi mereka yang telah mempunyai anak, jangan di sia-siakan mereka, kerana pelaburan agama itu, tiada ruginya.

Asuhan Terbaik

Yusuf A.S, Ibrahim A.S, Rasulullah S.A.W dan kebanyakkan para nabi dan rasul terasuh dengan didikan Allah S.W.T sejak kecil lagi. Bagaimana Yusuf di ajarkan untuk sabar ketika dicampak ke perigi buta, bagaimana Ibrahim melalui fatrah pencarian tuhannya. Dilihatnya satu demi satu, matahari, bintang & bulan. Dikapaknya patung-patung besar yang tidak benyawa, demi mencari dimana tuhannya. Bagaimana Rasulullah S.A.W didik dengan penuh asuhan, dari yang Maha Mendidik & Mengetahui.

Justeru itu, proses asuhan yang terbaik sememangnya ketika masih kecil. Aqidah, mengenalkan anak-anak terhadap tuhan adalah suatu pelajaran yang paling penting. Perlukan ketelitian. Perlukan kesabaran. Perlukan kebijaksanaan, dari kedua ibu bapa yang prihatin.

Benarlah akan apa yang dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W di dalam sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A ;

( كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصّرانه أو يمجّسانه )

"Setiap yang dilahirkan itu lahir dalam (keadaan) fitrah, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, atau Nasrani, atau Majusi" -Muttafaq Alaih-


Kerana apakah Islam itu tidak disenaraikan?

Mengapakah Rasulullah tidak menyebut, "Atau mengIslamkannya.."?

Kerana Islam itu F.I.T.R.A.H, Fitrahnya Islam & Muslim itu bersih. Nisbahnya fitrah itu adalah kesucian. Selain dari ajaran Muhammad mengikut landasan Allah adalah kekufuran dan bukan lagi fitrah manusia. Justeru itu, tidak hairanlah kebanyakkan dari manusia yang menyalahi fitrahnya, hidup dalam keadaan terumbang ambing. Tiada ketenangan.

Tuntasnya, pembentukan jati diri itu bermula seawal usia dilahirkan. Terima kasih sekali lagi kepada kedua iba saya atas didikan terbaik yang diberikan. Bagi mereka yang masih belum berjumpa jalan pulangnya. Carilah pedoman. Fitrah itu sentiasa dahagakan kebenaran. Selagi nyawa belum bergetar di kerongkong, selagi itu masih ada jalan pulang.

Saya rindukan saat itu. Pastinya juga anda semua.

Ibnu Abdullah,
Dar Musta'mal, Mu'tah, Al-Karak, Jordan

Assalamualaikum!!



Mungkin sudah terbiasa agaknya, bertandang ke rumah sahabat karib. Rumah dia, rumahku jua. Justeru itu, akibat keterbiasaan yang melampau, banyak adab-adab dan hak tetamu yang telah kita lupakan. Namun satu perkara penting yang selalu kita remehkan, memberi salam.

Saya bukanlah terlalu 'rigid' tentang perkara ini. Namun Islam itu begitu indah sehingga seremeh-remeh perkara pun dijaga dan diberikan perhatian. Perkara ini juga turut melambang etika anda sebagai seorang Muslim yang beriman dan menerima ajarannya secara menyeluruh tanpa mengambil separuh-separuh.

Etika Memasuki Kediaman

يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ لاَ تَدْخُلُواْ بُيُوتاً غَيْرَ بُيُوتِكُمْ حَتَّى تَسْتَأْنِسُواْ وَتُسَلِّمُواْ عَلَى أَهْلِهَا ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ - فَإِن لَّمْ تَجِدُواْ فِيهَآ أَحَداً فَلاَ تَدْخُلُوهَا حَتَّى يُؤْذَنَ لَكُمُ وَإِن قِيلَ لَكُمْ ارْجِعُواْ فَارْجِعُواْ هُوَ أَزْكَى لَكُمْ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ - لَّيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَدْخُلُواْ بُيُوتاً غَيْرَ مَسْكُونَةٍ فِيهَا مَتَاعٌ لَّكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا تَكْتُمُونَ

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu)[27]. Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin; dan jika dikatakan kepada kamu “baliklah”, maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan[28]. Tidaklah menjadi salah kamu memasuki (dengan tidak meminta izin) mana-mana rumah yang tidak didiami orang, yang ada keperluan kamu padanya; dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu sembunyikan[29]


Jelas ayat di atas menceritakan perihal tetamu yang bertandang ke rumah saudaranya. Selagi mana anda bukanlah terdiri daripada ahli rumah tersebut, perlunya adab sebagai seorang tetamu dipraktikkan. Hatta ke atas ahli rumah itu sendiri pun ada adabnya dengan diperingatkan oleh Rasulullah S.A.W agar tidak mengejutkan ahli rumahnya jika tiba dari musafir diwaktu dinihari. Seeloknya dengan memberitahu ketibaannya seawal mungkin kepada ahli keluarganya.

Pernah suatu ketika, saya bertandang ke rumah sahabat. Kali ketiga salam diberi, baru ada yang menyahut. Arahan untuk masuk diberikan tuan rumah. Mengenangkan mungkin si tuan rumah sibuk, lalu saya masuklah sendiri. Namun keajaiban berlaku, saya dibiarkan sendirian di ruang tamu tanpa ada yang keluar dari bilik. Masing-masing bersikap, "ah, aku sibuk" ataupun, "bukan tetamu aku agaknya". Lantas, terbiarlah saya seorang di ruang tamu beberapa minit.

Biarlah sebaik mana pun kita dengan isi rumah tersebut, selagi kita bukan ahli rumah itu, ada hak & pantang larang yang Islam ajarkan. Supaya apa, supaya dari seremeh-remeh perkara inilah kita lebih dapat menjaga hubungan sesama manusia. Rambut sama hitam, hati lain-lain, siapalah yang tahu. Itu adabnya, tetamu & tuan rumah, masing-masing ada haknya.

Dan berikanlah pada yang berhak akan haknya, itu perintah Rasulullah S.A.W kepada kita, umatnya yang di cintai.

Keindahan Islam

Islam itu indah, namun kita sahaja yang selalu meringan-ringankannya. Oleh sebab itulah, jangan kita benci Islam itu, tapi bencilah si pelakunya. Kitalah, kalau tidak siapa lagi.

Walaupun status hadith Rasulullah S.A.W berkenaan tetamu, iaitu "Barangsiapa beriman dengan Allah & Hari Akhirat, muliakanlah tetamunya" bertaraf Marfu', namun masih ada 1001 pengajaran yang terselit di situ. Andaikan sahaja jika kita bersikap sambil lewa terhadap mereka-mereka yang bertandang ke rumah kita, apakah pula perasaan kita jika kita bertandang ke rumah orang dan diperlakukan sebegitu. Nah, cantik bukan Islam, hattakan aspek hati & perasaan juga turut digaris pandukan.

Kembali kepada perbincangan salam di atas, walaupun ia lebih merangkumi berkenaan adab mereka-mereka yang bertandang ke rumah orang lain, tetapi aspek si tuan rumah tetap memainkan peranan di sebalik apa yang tersurat. Justeru itu, biar siapa pun kita, sebagai tuan rumah atau pun si tetamu, yang terbaiknya, tunaikanlah peranan masing-masing.

Bersama-samalah kita menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim di atas apa yang telah Kitab Al-Quran & As-Sunnah gariskan. Semoga ada jalan yang lurus buat kita.

Ibnu Abdullah,
Mu'tah, Al-Akarak, Jordan.

Tuesday, June 1, 2010

Wanita Itu

Pada dia kita panggil ibu, kakak, adik, isteri. Pada dia kita kongsikan sebuah ikatan kekeluargaan. Wanita itu bayangan lelaki. Wanita itu penuh suci & misteri. Bangun jatuhnya sebuah kerajaan, hanya dengan ditapak kaki seorang wanita.

Sejarah kaya dengan seribu satu pelajaran & pengajaran. Hanya yang buta mata hatinya sahaja akan membiarkan sejarah semalam kosong dari pedoman. Memang sejarah akan berulang, hanya pembawa watak sahaja yang berbeza.

Wanita Itu

31 Mei merupakan hari lahir mama. Tanpa dia siapalah saya. Justeru itu, saya pohonkan doa anda sebagai pembaca dan sahabat-sahabat mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapa saya. Tiada mereka, anda tidak mengenali saya hari ini.

Justeru itu, Selamat Hari Lahir Mama. Kunci syurga saya ada padanya. Kerana setiap anak lelaki, keutamaan mereka adalah ibunya. Si isteri jatuh tempat kedua. Si isteri pula, perlulah memahami, seandainya mereka mahu anak-anak mereka pula menyayangi mereka, haruslah mereka terlebih dahulu meredhakan si suami untuk mendahulukan ibunya. Kerana ibunya adalah mahar untuk membayar kerahmatan hidup di dunia dan akhirat sana.

Pesan buat diri saya dan sidang pembaca sekalian. Rebutlah peluang untuk kita memperolehi keredhaan-Nya melalui redhanya kedua ibu bapa kita. Kerana celakalah bagi mereka yang mempunyai kedua orang tuanya, tetapi tidak dapat masuk ke syurga. Celakalah mereka! Celakalah mereka!

Di kesempatan ini juga, marilah kita bersama-sama meringankan tangan & lisan untuk mendoakan kesejahteraan saudara-saudara kita yang berkonvoi untuk menjalankan satu misi suci bagi membantu saudara-saudara seagama kita di Ghazzah sana. Semoga Allah menyertakan tentera-tentera tersembunyi-Nya bagi membantu mereka semua.

Sekali lagi, Selamat Hari Lahir Mama. Semoga dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan sihatkan tubuh badan untuk terus beramal bakti pada Ilahi. Amin.

Ibnu Abdullah,
Dar Musta'mal, Al-Karak, Jordan.