Wednesday, March 31, 2010

Palestin Memanggil-Mu Wahai Para Mujahid

Palestin,

Sayu hatiku berbicara,
Berbicara tentang derita,
Tanpa ada rasa ceria.

Palestin,

Tanahmu harum dengan darah,
Darah syuhada' yang pekat merah,
Mengalir dengan penuh megah.

Palestin,

Bukan aku tidak peduli,
Bukan aku tidak merasai,
Bukannya aku tidak sedari.

Engkau derita,
Engkau sengsara.

Duhai Palestin,

Aku mengikat seribu satu ikatan keazaman,
Untuk syahid di pelukan,
Pelukan Mu yang penuh kelembutan.

Wahai Saudara,

Apakah yang telah engkau sumbangkan,
Apakah yang telah engkau berikan,
Apakah yang telah engkau sampaikan??

Pedulikanlah Palestin,

Hulurkan apa yang termampu,
Biarpun Doa dalam bisu,
Walau itu sahaja yang engkau mampu.


Kenangan, saya bersama Yaser & Zamzamil sewaktu menziarahi Maqam Nabi Shuib


Yaser, seorang lagi rakyat Palestin, dalam keadaan sedikit sebak, sempat berbicara kepada saya supaya mendoakan agar Palestin & Masjid Al-Aqsa sentiasa selamat dan berada di dalam jagaan Allah S.W.T

Semoga Al-Aqsa terus utuh gagah, tegak berdiri.

Ibnu Abdullah,
Dar Musta'mal, Mu'tah, Jordan.

Wednesday, March 24, 2010

Labelisme Yang Merosakkan



Saya seakan keletihan bercampur seribu satu kerisauan kerana berhadapan dengan masyarakat khususnya umat Islam yang terlalu suka melabelkan diri sendiri, individu tertentu ataupun sesebuah jemaah tertentu.

"Aku Salafi", dakwa Ali.

"Salafi bukan bagus pun, baik kau jadi macam aku. Washoti, bebas. Ke sini tidak, ke sana pun tidak. Mana yang bagus kita ikut". Jawab Ahmad.

"Baik aku join Muhadditheen, depa ni lebih selamat. Setiasa dekat dengan Nabi". Desus hati kecil Abu.

Keta'suban Melabelkan Diri

Contoh yang saya datangkan di atas adalah sesuatu yang telah biasa kita temui dalam kehidupan seharian kita. Lebih-lebih lagi dengan mereka-mereka yang memahami agama tetapi hakikatnya masih belum sempurna kefahamannya.

Tidak mengapa melabelkan diri sendiri atas apapun kefahaman anda. Salafi, Khalafi, Tablighi dan apa pun juga labelnya. Tetapi adalah yang perlu dijaga adalah jangan sampai terlalu ta'sub dengan label yang ada anuti.

Sifat ta'sub inilah yang mematikan perjuangan umat Islam sesama mereka. Sikap ini terbawa-bawa dalam semua keadaan. Kerana apa ini terjadi, kerana masing-masing ingin menonjolkan bahawa idealogi & methodologi yang mereka bawalah bertepatan 200% dengan Islam yang dibawa oleh baginda Rasulullah S.A.W.

Label ini menyebabkan pertelingkahan yang tidak berkesudahan. Masing-masing terlalu ta'sub dan tidak mahu menerima pandangan, hujah dan dalil dari pihak yang lain. Untuk duduk semeja, jauh sekali. Sama ada didalam bab Aqidah mahupun Feqah, kata sepakat amat payah untuk diperolehi. Penyakitnya adalah sifat ta'sub.

Terkadang yang membuatkan saya menjadi lucu, tuan guru yang mengepalainya bersederhana sahaja, tetapi pengikutnya pula yang berlebih-lebihan. Melampaui batasan.

Belajarlah Menerima

Baru-baru ini, Malaysia gempar dengan pertelingkahan berkenaan pegangan aqidah. Antara pelakon-pelakon terkenal yang membintanginya adalah Dr. Uthman El-Muhammady, Dr. Asri Zainal Abidin, Jabatan Agama Negeri dan individu-individu perseorangan yang mempunyai pengaruh di Malaysia.

Jujurnya saya tidak mahu membahaskan tajuk ini, kerana saya tahu, dikalangan pembaca-pembaca saya, akan ada yang tidak bersetuju. Namun jujur saya katakan, saya menyayangi Dr. Uthman, Dr. Asri, dan semuanya. Tidak langsung saya berniat untuk merendah-rendahkan keilmuan yang ada dalam diri mereka. Dan seikhlasnya saya menyayangi mereka kerana Allah. Mereka jauh lebih baik dari Yahudi mahupun Nasrani yang terang-terang tidak beriman kepada Allah.

Namun diatas prinsip ilmu, saya memberanikan diri memberikan pandangan saya terhadap apa yang berlaku dalam situasi di Malaysia. Setelah bersoal jawab dan meminta pandangan dari pensyarah di Kuliah Syariah, Universiti Mu'tah saya dapat menyimpulkan bahawa pertelingkahan itu sebenarnya berpunca dari sikap keAKUan dan keangkuhan serta keta'suban semata-mata.

Bagi mereka yang memahami serta berpegang dengan pendapat Ibnu Taimiyyah, mereka benar. Dan bagi mereka yang berpegang teguh dengan pendapat tentang sifat 20, mereka juga benar. Kerana apa mereka benar. Kerana kedua-duanya dibahaskan tanpa dalil yang sorih. Dan ia adalah pendapat ijtihadi bagi imam-imam yang di sepakati keilmuannya oleh para Ulama'.

Siapalah kita untuk menuduh salah satu darinya adalah salah dan Kafir. Inilah sikap yang sangat-sangat saya takuti dan saya benci. Merendah-rendahkan sesama saudara agama lantas mengkafirkan. Ini juga berpunca dari sikap ta'sub dalam melabel sesama kita.

Suka untuk saya berpegang dengan pendapat seorang tokoh ilmuan, bahawasanya dia mengatakan, "aku beriman dengan Allah sebelum timbulnya khilaf". Khilaf dalam perkara-perkara cabang. Lantas diperbesar-besarkan seperti ia adalah masalah pokok. Akhlak apakah ini?

Berpada-padalah, Itu Yang Terbaik

Salafi, ke syurgakah mereka?

Khalafi, sesatkah mereka?

Tablighi, salahkah perjuangan mereka?

Kembalilah kita kepada seruan yang sebenar-benarnya. Biar apapun dakwaan anda dari aliran apa, akuilah bahawa kita adalah MUSLIM. Salafi MUSLIM, Khalafi MUSLIM, Tablighi juga MUSLIM. Nah, bukankah ini titik pertemuan yang menyatukan kita. Kita semua sesama Muslim, dan Muslim itu bersaudara.

Kurangkan atau buangkan sikap suka melabelkan diri sendiri, individu tertentu ataupun sesebuah kumpulan tertentu. Matikan sikap ta'sub terhadap sesuatu aliran dan pegangan. Belajarlah memperbahaskan sesuatu secara ilmiyyah. Kerana kita sama bersaudara. Dan ikatan persaudaraan ini terlalu ajaib untuk diperbahaskan.

Aku MUSLIM.

Engkau MUSLIM.

Kita MUSLIM.

..تَعَالَوْاْ إِلَى كَلِمَةٍ سَوَآءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ..

..Come to a word that is just between us and you..
{3 :64}


Ibnu Abdullah,
Dar Musta'mal, Mu'tah, Jordan

Sunday, March 7, 2010

Iman Pada Taqlid Buta

Lumrah kebiasaannya, kebanyakkan dari penganut-penganut agama yang wujud di dunia ini mewarisi keimanan kepada aqidah agama mereka melalui warisan. Warisan yang ditinggalkan oleh nenek moyang. Saat lahirnya seorang bayi ke muka bumi ini, maka secara automatic dia dianggap beragama sama seperti agama ibu bapanya tanpa perlu mengisi sebarang borang keahlian.

Itulah yang telah tertulis pada suratan kehidupan setiap manusia. Segalanya telah ditentukan. Namun itu bukanlah alasan. Entry pada kali ini, saya ingin menyeru diri saya dan para pembaca sekalian, untuk kita sama-sama merobohkan binaan Islam warisan yang rapuh dari keturunan kita, dan membinanya semula dengan mencari kefahaman Islam melalui bukti-bukti kewujudan Allah agar Iman kita bertambah kuat dan kukuh.

Biar dilanda badai taufan yang menggoncang keimanan, moga ia tetap sejahtera.

Bukan kerana apa, tetapi kerana terbitnya perasaan malu didalam diri saya, apabila saya membandingkan 'saudara baru' yang tidaklah terlalu baru, akan keimanan mereka yang lebih tumpat dari saya. Ramai daripada mereka telah membuktikan, bahawa mereka mampu berdiri sama tinggi dengan para ulama' yang lahir-lahir sahaja, sudah mewarisi keIslaman dari orang tuanya. Contohnya seperti Al-Fadhil Ustaz Farid Ravi, Al-Fadhil Ustaz Idham Lim, Al-Fadhil Ustaz Ridhuan Tee dan ramai lagi.

Dr. Zakir Naik, Ikon 1 Dalam Sejuta

Entry kali ini ditulis, sedikit sebanyak atas pengkajian saya terhadap cara dakwah Dr. Zakir Naik, seorang ikon yang hebat dalam bidang perbandingan agama. Selain dari beliau, seorang lagi tokoh yang tidak kurang hebatnya, adalah Al-Marhum Ahmad Deedat. Saya banyak melihat, perjuangan mereka adalah didasari atas kefahaman yang amat sangat dengan apa yang terkandung didalam Al-Quran dan Injil.

Namun, apa yang saya fahami, Al-Marhum Ahmad Deedat, lebih kepada pembuktian dengan membezakan antara isi Al-Quran dan Injil dengan menimbulkan keraguan terhadap keaslian Injil yang telah kita maklumi, bahawa ia telah banyak dimanipulasi oleh tangan-tangan manusia. Namun sedikit kelainan terhadap Dr. Zakir Naik, beliau mempunyai sedikit tambah nilai dalam pengetahuannya. Iaitu mendatangkan bukti-bukti sains melalui Al-Quran dan Hadith. Mungkin ini terhasil dari latar belakangnya sebagai seorang doktor perubatan.

Namun ingin saya nyatakan, ramai lagi pakar-pakar dalam bidang sains. Mereka membuktikan bahawa Islam itu datang wujudnya bukanlah dari tangan Muhammad, namun datang dari Allah, Tuhan pencipta sekalian alam. Antaranya, Harun Yahya, Dr. Danial Zainal Abidin dan beberapa lagi tokoh ternama yang tak didendangkan. Saya amat-amat meminati hasil kajian dan penemuan mereka. Namun mereka bukanlah berada dalam medan yang sama seperti Dr. Zakir Naik dan Al-Marhum Ahmad Deedat yang berani berdiri diatas pentas, dihadapan beribu-ribu penonton yang datang dari pelbagai kefahaman. Mereka sentiasa bersiap siaga melemparkan sebarang soalan.

Saya masih terlalu jauh dari mereka. Jauh sekali. Jauh panggang dari api, namun impian itu tetap ada, untuk berdiri berani seperti mereka. Semoga Allah memilih saya dan para pembaca sekalian untuk terjun ke medan jihad ini. Masih terlalu kurang panglima yang seberani mereka.

Al-Quran Itu Sains

Sebenarnya, banyak dari kajian-kajian sains mutakhir ini yang telah membuktikan kebenaran Al-Quran dan Islam itu sendiri. Penemuan demi penemuan dari setiap cabang sains berjaya dibuktikan. Justeru itu, dalam masa yang sama, ia membenarkan dari setiap apa yang diperkatakan tentang sains didalam Al-Quran.

Dalam satu slot, dimana Dr. Zakir Naik di soal oleh seorang athies, tentang kewujudan Tuhan. Benarkah adanya tuhan pada kejadian semesta alam ini. Antara contoh aqliyyah yang didatangkan oleh Dr. Zakir adalah tentang sesuatu benda, contohnya sebiji mesin. Adakah sebiji mesin mampu tercipta dengan sendirinya tanpa perlu kepada penciptanya.

Kemudian, beliau mendatangkan contoh kejadian alam ini adalah dibawah kekuasaan Allah. 30 ke 40 tahun yang lalu, sains telah menemukan teori bahawa alam ini tercipta setelah berlakunya satu kejadian letupan besar di angkasa lepas. Ia dikenali sebagai Big Bang Theory. Namun, semua itu sebenarnya telah terjawab 1400 tahun yang lalu.
Dalam surah Anbiya, Surah ke 21 ayat ke-30;

..أَوَلَمْ يَرَ الَّذِينَ كَفَرُواْ أَنَّ السَّمَـوَتِ وَالاٌّرْضَ كَانَتَا رَتْقاً فَفَتَقْنَـهُمَا

(30. Have not those who disbelieve known that the heavens and the earth were joined together as one united piece, then We parted them..)


Didalam Tafsir As-Sya'rawi, kalimah رَتْقاً membawa maksud sesuatu yang berpadu dan yang bersentuhan. Kalimah فَفَتَقْنَـهُمَا pula memberi makna pemisahan antara keduanya. Ini memberi makna bahawa bumi dan langit ini dahulunya bersatu, melekat antara keduanya, lalu dipisahkan oleh Allah S.W.T, dan dibuktikan melalui teori Big Bang.

Selain daripasa itu, saintis terdahulu mempercayai bahawa bulan mengeluarkan cahaya. Namun kajian membuktikan bahawa bulan itu menerima cahaya dari matahari dan kemudian memantulkannya. Mudahnya, bulan tidak mengeluarkan cahayanya sendiri dan hanya memantulkan cahaya yang matahari (reflected light). Ini telahpun disebutkan didalam Al-Quran, melalui firman-Nya didalam surah Al-Furqan, surah ke 25, ayat 61;

وَقَمَراً مُّنِيراً..

..and a moon giving light.


Kalimah مُّنِيراً membawa maksud cahaya yang bukan zat. Berlainan dengan matahari, Allah S.W.T menggunakan kalimah سِرَاجاً {Al-Furqan:61} dan kalimah ضِيَآءً {Yunus:5}. Kedua-duanya memberi maksud bahawa cahaya itu, adalah cahaya zat, mengeluarkan cahayanya sendiri, dan mempunyai kepanasan yang tersendiri. Manakala, bagi bulan cahaya yang bukan zat memberi makna, cahaya itu adalah cahaya pantulan. Cahaya pantulan tidak mempunyai kepanasan, dan tidak dihasilkan sendiri dari apa yang menghasilkan cahaya tersebut.

Selain 2 contoh diatas, banyak lagi contoh-contoh lain yang membuktikan kebenaran Al-Quran, kesahihan kerasulan Nabi Muhammad S.A.W dan kewujudan pencipta agung bagi sekalian alam.

Tepukan Iman Anda Dengan Bukti-BuktiNya

Dengan itu, carilah kebenaran. Kikis iman warisan yang wujud dari keturunan, dan gantikan ia dengan keimanan yang tepu melalui pembuktian kewujudan-Nya. Bukan kerana apa, tetapi kerana sebab berlakunya kes murtad dikalangan Muslim khususnya Melayu yang berpunca dari kurangnya keimanan dan nipisnya kefahaman terhadap agama Islam akibat Iman & Islam yang diwarisi.

سَنُرِيهِمْ ءَايَـتِنَا فِى الاٌّفَاقِ وَفِى أَنفُسِهِمْ حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ شَهِيدٌ

(53. We will show them Our signs in the universes, and within themselves, until it becomes manifest to them that this is the truth. Is it not sufficient in regard to your Lord that He is a Witness over all things)
{Fussilat:53}

Kembaralah sahabatku. Carilah DIA, yang Maha Esa.

Semoga kau menemui-Nya.

Ibnu Abdullah,
Dar Musta'mal, Karak, Mu'tah
The Heshimate Kingdom Of Jordan.

Wednesday, March 3, 2010

Cahaya Itu Membedakan Antara Hak Dan Batil



Seminggu berlalu pantas. Hari ini sudah minggu kedua sesi 'persekolahan' bagi rata-rata pelajar yang belajar di Universiti Mu'tah, Jordan. Bagi saya, sesi 'persekolahan' kali ini amat bermakna. Manakan tidak, saya mengharap supaya 'penghijrahan' saya dari Cempaka ke Musta'mal akan membawa satu lembaran baru untuk saya mengubah diri saya.

Pada sesi 'persekolahan' kali ini, saya memberanikan diri untuk mendaftar 6 mata pelajaran. Antara subjeknya ialah Tafsir Tahlili, satu subjek baru yang telah diwajibkan bagi pelajar 'takhassus' fiqh dan usul fiqh bagi tahun ini. Subjek ini diajar oleh Dr. Thalib Suroiroh. Rata-rata pelajar Usuluddin yang saya interview menyatakan bahawa subjek ini adalah subjek 'killer'. Entah siapa yang sudah 'terbunuh' agaknya, dek belajar subjek ini.

Pada semester ini, Dr. Thalib mencadangkan kepada kami pelajar kelasnya untuk sama-sama mengkaji dan membincangkan isi dari Surah Al-Furqan. Surah 'Makkiyyah', kecuali beberapa ayat. Mengandungi 77 ayat. Kitab yang menjadi silibus kali ini pula adalah kitab Tafsir Sya'rawi. Karya seorang ulama besar dalam bidang tafsir al-Quran.

Al-Furqan, Membezakan Antara Yang Hak & Batil

Seperti yang disepakati para ulama, Al-Furqan merupakan salah satu dari nama-nama Al-Quran. Surah Al-Furqan terletak selepas Surah An-Nur. Susunan ini semua adalah susunan 'taufiqi', bukan 'ijtihadi'. Inilah salah satu mu'jizat keagungan Al-Quran. Kesemua ayat-ayatnya saling berkait antara satu sama lain. Masih kekal utuh sejak 1400 tahun yang lalu. Adapun kitab-kitab samawi yang lain. Semuanya hancur diubah dek tangan-tangan manusia.

Firman Allah S.W.T ;

أَفَتَطْمَعُونَ أَن يُؤْمِنُواْ لَكُمْ وَقَدْ كَانَ فَرِيقٌ مِّنْهُمْ يَسْمَعُونَ كَلَـمَ اللَّهِ ثُمَّ يُحَرِّفُونَهُ مِن بَعْدِ مَا عَقَلُوهُ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

(75. Do you (faithful believers) covet that they will believe in your religion inspite of the fact that a party of them (Jewish rabbis) used to hear the Word of Allah (the Tawrah), then they used to change it knowingly after they understood it){2 :75}


Dr.Thalib ada menyatakan, bahawa antara kaitan surah An-Nur & surah Al-Furqan adalah kerana, untuk membedakan antara perkara yang hak dan batil, tidak boleh tidak dengan menggunakan cahaya. Semudah contoh realiti yang diberi, seseorang yang berjalan didalam kegelapan malam, untuk memudahkan perjalanannya sampai ke destinasi, mestilah dengan menggunakan lampu suluh. Perumpamaan yang paling mudah untuk difahami bahawa melalui cahaya, ia mampu menerangi kehidupan manusia.

Manakala menurut kefahaman ma'nawi pula, apa yang dapat difahami, kehidupan manusia itu perlulah diterangi dengan cahaya Iman. Iman itu yang menyuluh jalan kehidupan manusia menuju ke negeri abadi di Sana nanti.

Perumpamaan tentang cahaya ada dinyatakan oleh Allah S.W.T pada firman-Nya ;

اللَّهُ نُورُ السَّمَـوَتِ وَالاٌّرْضِ مَثَلُ نُورِهِ كَمِشْكَاةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ الْمِصْبَاحُ فِى زُجَاجَةٍ الزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّىٌّ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍ مُّبَـرَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لاَّ شَرْقِيَّةٍ وَلاَ غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِىءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ نُّورٌ عَلَى نُورٍ يَهْدِى اللَّهُ لِنُورِهِ مَن يَشَآءُ وَيَضْرِبُ اللَّهُ الاٌّمْثَالَ لِلنَّاسِ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلَيِمٌ

(35. Allah is the Light of the heavens and the earth. The parable of His Light is as a niche and within it a lamp: the lamp is in a glass, the glass as it were a star Durriyyun, lit from a blessed tree, an olive, neither of the east nor of the west, whose oil would almost glow forth, though no fire touched it. Light upon Light! Allah guides to His Light whom He wills. And Allah sets forth parables for mankind, and Allah is All-Knower of everything.) {24 : 35}


..نُّورٌ عَلَى نُورٍ ..


Al-`Awfi meriwayatkan daripada Ibnu `Abbas bahawa maksud ayat diatas adalah keimanan dan amal kebaikkan seorang manusia itu.

Inilah kehebatan Allah S.W.T, didalam cahaya yang dijadikannya itu, ada lagi cahaya yang menerangi. Maha Suci Allah. Semoga ada pedoman bagi yang mahu memikirkannya.

Cahaya Itu Iman Dan Iman Itu Letaknya Pada Hati

Terlalu banyak ayat al-Quran yang disebutkan oleh Allah tentang hati. Kerana pada hati manusia itu letaknya cahaya keimanan. Cahaya keimanan itulah yang saya maksudkan sebagai cahaya yang membedakan antara hak dan batil. Adapun cahaya biasa yang kita lihat dengan mata kepala kita, pada zahirnya ia hanyalah cahaya biasa yang menerangi kegelapan.

Tidak payah lari jauh dengan memikirkan apa yang diungkapkan oleh al-Quran tentang hati. Cukup sahaja dengan bahasa Melayu yang kita tuturkan setiap hari. Pelbagai jenis simpulan bahasa dan peribahasa yang dikaitkan dengan hati.

Makan Hati.

Jatuh Hati.

Sakit Hati.

Patah Hati.

Hattakan, untuk menyatakan supaya sentiasa berwaspada pun dibahasakan dengan Hati-Hati.

Apa kata Rasulullah tentang hati pula? Dari Imam Ahmad, beliau meriwayatkan bahawa Abu Sa`id Al-Khudri berkata, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda ;

الْقُلُوبُ أَرْبَعَةٌ: قَلْبٌ أَجْرَدُ فِيهِ مِثْلُ السِّرَاجِ يُزْهِرُ، وَقَلْبٌ أَغْلَفُ مَرْبُوطٌ عَلَى غِلَافِهِ، وَقَلْبٌ مَنْكُوسٌ، وَقَلْبٌ مُصْفَحٌ. فَأَمَّا الْقَلْبُ الْأَجْرَدُ: فَقَلْبُ الْمُؤْمِنِ سِرَاجُهُ فِيهِ نُورُهُ، وَأَمَّا الْقَلْبُ الْأَغْلَفُ فَقَلْبُ الْكَافِرِ، وَأَمَّا الْقَلْبُ الْمَنْكُوسُ فَقَلْبُ الْمُنَافِقِ، عَرَفَ ثُمَّ أَنْكَرَ، وَأَمَّا الْقَلْبُ الْمُصْفَحُ فَقَلْبٌ فِيهِ إِيمَانٌ وَنِفَاقٌ، وَمَثَلُ الْإِيمَانِ فِيهِ كَمَثَلِ الْبَقْلَةِ يُمِدُّهَا الْمَاءُ الطَّيِّبُ،وَمَثَلُ النِّفَاقِ فِيهِ كَمَثَلِ الْقَرْحَةِ يُمِدُّهَا الدَّمُ وَالْقَيْحُ، فَأَيُّ الْمدَّتَيْنِ غَلَبَتْ عَلَى الْأُخْرَى غَلَبَتْ عَلَيْهِ

(Hearts are of four kinds: the heart that is clear like a shining lamp; the heart that is covered and tied up; the heart that is upside-down; and the heart that is clad in armor. As for the clear heart, it is the heart of the believer in which is a lamp filled with light; as for the covered heart, this is the heart of the disbeliever; as for the upside-down heart, this is the heart of the hypocrite, who recognizes then denies; as for the armor-clad heart, this is the heart in which there is both faith and hypocrisy. The parable of the faith in it is that of legume, a sprout that is irrigated with good water, and the likeness of the hypocrisy in it is that of sores that are fed by blood and pus. Whichever of the two prevails is the characteristic that will dominate.)

Dan sesungguhnya, hati-hati orang yang beriman itulah yang cahayanya paling terang sekali.

Ketahuilah, pada hati itu ada Iman, dan Iman itu bercahaya.

Carilah Iman, bukan di tepian pantai. Bukan jua dapat dijual beli. Bahkan tidak dapat diwarisi, walau dari seorang ayah yang bertaqwa.

Ibnu Abdullah,
Dar Musta'mal, Mu'tah,
Karak, The Heshimate Kingdom of Jordan.

Monday, March 1, 2010

Rasulullah Sebagai Contoh Tauladan?

Saya hampir tidak sedar, bahawa ketibaan maulid Rasulullah S.A.W jatuh pada minggu ini. Mungkin kerana terlalu banyak urusan berkaitan 'penghijrahan' mahupun keobsesan bermulanya minggu pertama pengajian di Universiti Mu'tah pada 'fasal thani' kali ini.

Namun semua itu hanyalah pada kehidupan yang sementara. Hidup yang bukan selamanya. Hidup yang tidak kita ketahui, bilakah maut menjelang tiba. Namun dalam kehidupan itu pasti adanya ujian. Ujian yang datang tidak tentu hala.

Terkadang ia menderu bagai angin ribut datang menyapa.

Terkadang ia bagai ombak laut yang ganas 'membaham' tepian pantai.

Dan terkadang pula ia menyapu lebut raut wajah, bak bayu menghembus di celah-celah daunan pohon zaitun.

Namun ujian tetap ujian. Datang dan pergi.

Pada Rasulullah Ada Contoh Tauladan

Saban tahun kita bersama-sama menyambut ulangtahun kelahiran Rasulullah S.A.W. Di ulang lagi dan lagi, tentang pengorbanan, kasih sayang, ketabahan, kecekalan Rasulullah dalam menyebarkan dakwah Islam kepada seluruh umatnya dimasa itu.

Namun bagi saya, omongan tanpa amalan, laksana pokok tiada buahnya. Kosong. Seumpama juga tin kosong, mendengung bunyinya bila diketuk, tapi isinya, hampa. Yang mengharukan, bukanlah kerana si pendengar yang tidak mempraktikan apa yang didapatinya, tetapi apabila para dai'e sendiri yang tidak melakukan apa yang dikatanya. Saya sangat-sangat mengingatkan diri saya dan sekalian para pembaca untuk kita saling ingat-mengingati dalam melaksanakan apa yang telah kita ketahui. Semoga ada kekuatan dalam melaksanakannya.

Ya, pada Rasulullah itu sememangnya ada contoh tauladan yang paling baik untuk kita ikuti dan kita terjemahkannya dalam kehidupan kita sehari-harian. Namun persoalannya, adakah semudah itu untuk mencontohi baginda. Pada sabarnya, pada cekalnya, pada tabahnya dalam mengharungi liku-liku perjalanan dakwahnya. Bukan itu sahaja, sama-sama juga kita lihat dari sudut baginda sebagai seorang suami, ayah, ketua negara, imam, mufti dan lain-lain lagi.

Kali ini saya cuba membawa para pembaca untuk berfikir sejenak. Benarkah pada Rasulullah itu ada sebaik-baik contoh ikutan?

Ada ketikanya, rumah Rasulullah terputus bekalan makanannya. Sehingga dikisahkan, pernah Rasulullah S.A.W bertanya kepada isterinya, Ummul Mukminin, 'Aisyah R.A. adakah makanan untuk dijamah pagi itu. Lalu jawab 'Aisyah R.A. dengan penuh hampa bahawa tiada sesuatu pun untuk dimakan bagi mengalas perut pagi itu. Lalu Rasulullah S.A.W mencadangkan kepada 'Aisyah untuk sama-sama berpuasa pada hari itu.

Logiknya saudara-saudara sekalian. Inikah sikap seorang suami yang bertanggungjawab? Membiarkan dapurnya tidak berasap. Berpuasa kerana tiada apa untuk dimakan. Beginikah sikap seorang suami mithali? Dan bagi seorang wanita, adakah calon suami sebegini yang akan dipilih untuk sama-sama melayari bahtera kehidupan?

Begitu juga dalam kehidupan baginda bersama-sama isteri-isterinya. Ummahatul Mukminin tidak dihiaskan dengan gelang-gelang emas, rantai dan cincin berlian. Rumahnya hanya beratapkan pelepah-pelepah kurma dan berlantaikan padang pasir. Tiada tikar-tikar tebal buatan Turki. Mahupun sofa-sofa berjenama buatan Itali. Ataupun marmar-marmar yang berkualiti tinggi.

Setelah dua contoh tadi. Anda masih lagi waras untuk menjadikan kehidupan Rasulullah sebagai contoh?

Jika tidak, anda memang waras.

Namun, jika ya, adakah anda telah hilang akal?

Hidup dalam kemiskinan yang membelenggu. Sanggupkah anda menghadapinya.

Sesungguhnya beruntunglah bagi mereka yang telah hilang akal. Kerana pilihan anda adalah tepat. Namun segalanya berSYARAT.

2 Syarat Andai Mahu Mencontohi Baginda

Memetik firman Allah S.W.T yang berbunyi;

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الاٌّخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرا

(21. Indeed in the Messenger of Allah you have a good example to follow for him who hopes in Allah and the Last Day, and remembers Allah much.) {33:21}


2 syaratnya, pertama ;

لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ والْيَوْمَ الاٌّخِرَ


anda boleh mencontohi baginda dalam segala aspek, namun anda juga tidak boleh tidak, perlu mengikuti syaratnya. Hanya yang mereka yang mengharapkan dan meletakkan pengharapan kepada Allah dan Hari Akhirat, mampu mencontohi baginda.

Bagaimana tidak, jika kita tidak meletakkan didalam pemikiran kita seperti yang Rasulullah S.A.W lakukan, iaitu meletakkan segala pengharapan kepada Allah, sudah tentu nanti kita akan terbabas ditengah jalan. Kerana konsep dan tatacara hidup yang dijalani oleh Rasulullah S.A.W bukanlah semudah yang dijangkakan.

Banyak pahit dari manisnya. Itu syarat yang pertama.

Syarat kedua yang diletakkan oleh Allah S.W.T adalah ;

وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرا


Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya.

Ketika makan, mandi, bermain, belajar, berkerja, melancong hatta sehingga kita sedang beristinja' pun, perlulah dalam keadaan mengingati Allah S.W.T.

Bagaimana tidak, syarat kedua inilah yang dijadikan sebagai kayu ukur untuk membezakan diantara mereka yang benar-benar mahu meneladani Rasulullah S.A.W dan mengambil tatacara kehidupannya untuk digarapkan didalam kehidupan.

Seandainya terlaksana kedua-dua syarat ini. Maka, luluslah anda. Lakukanlah seperti apa yang telah Rasulullah S.A.W. lakukan sepanjang hayatnya. Biarlah hidup miskin, dapurnya tidak berasap, tiada perhiasan mewah, tiada kesenangan. Namun bagi mereka yang benar-benar mengharapkan kepada Allah dan Hari Akhirat, serta mengingati Allah sebanyak-banyaknya, mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Ingatlah, segalanya di dalam kehidupan duniawi ini merupakan sebuah ujian.

Firman Allah S.W.T ;

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُواْ الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْاْ مِن قَبْلِكُم مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَآءُ وَالضَّرَّآءُ وَزُلْزِلُواْ حَتَّى يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُ مَتَى نَصْرُ اللَّهِ أَلاَ إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ


(Or think you that you will enter Paradise without such (trials) as came to those who passed away before you They were afflicted with severe poverty and ailments and were so shaken that even the Messenger and those who believed along with him said,"When (will come) the help of Allah'' Yes! Certainly, the help of Allah is near!){2:214}


Ibnu Abdullah,
Dar Musta'mal,Mu'tah,
Karak, Jordan.