Sunday, February 21, 2010

Perlukah Aku Khabarkan

Lihat Pada Permukaan,

Nampaknya Terlalu Tenang,

Tapi Di Dalam Hati Yang Terpendam Persoalan,

Perlukah Aku Khabarkan Yang Ku Alami,

Apakah Akan Terjawab Semua,

Perlukah Aku Bukakan Keaibanmu,

Semuanya Terletak Dalam Hati Kecilku,

Segala Kebenaran Atau Penjelasanku,

Mempunyai Pelbagai Tafsiran Tersembunyi,

Oh Ku Mohon Pada-Mu Tuhan,

Berikanlah Kekuatan,

Untukku Menghadapi Semua Ini,

Tuhan, Ku Terus Berserah, Berikan Aku Hidayah,

Agar Tidak Tersalah Arah Dan Tersilap Langkah.

::Nasyid dendangan kumpulan Saff One::

Saturday, February 20, 2010

Emosi Tanpa Panduan Akal Yang Merosakkan

Lama saya membiarkan entri sebelum ini agar ramai yang dapat membacanya. Lama juga saya tunggu sebarang kritikan ikhlas dari individu-individu yang akan terasa dengan entri tersebut. Rupa-rupanya, penantian itu berhasil. Banyak komen-komen yang 'memberangsangkan' muncul di ruang Bicara Sepintas Lalu. Para pembaca budiman sekalian boleh melihat secara langsung di ruang tersebut.

Antara contohnya;

bodoh: ada juga orang sebodoh ini kat mutah..nm je pljr agama..tegur xbertempat..kalau hansome xperlah..ni gemuk, nmpk muka xlayak lmgsung jd pimpinan, kata penah jd pimpinan ntuk 700 orng pljr..
tu pun xblh fkir ker..sedap2 je kata pemimpin mcm tu...ko hdup lah sndiri...jngn msuk persatuan, nk lihat blh hdup brape lama...mati xde orng nk tanam lah ko...


sahabat mu'tah: slm..kalu camni pemikiran nta,mk punah pljr syariah d bwh pentdbrn pemikiran dangkal dan bdk2 yg d miliki olh nta ngn kwn2 nta tu..


dan banyak lagi. Pembaca budiman sekalian boleh merujuknya sendiri.

Teguran Itu Umum

Saya menegur kerana saya mengalaminya. Bukan kerana semata-mata cakap-cakap kosong.
Mahupun untuk meraih publisiti, tetapi atas dasar simpati dan empati. Rasa kasih itu muncul kerana kita bersaudara. Langsung tidak ada sesiapapun yang saya kutuk, caci mahupun menghina keberadaannya sebagai seorang pemimpin, biarpun apa jenis juga organisasinya.

Yang menjadi persoalannya, kenapa penduduk Melayu Mu'tah yang perlu terasa?
Sepasti saya, dalam seluruh entri tersebut, langsung tidak saya kaitkan dengan kepimpinan Mu'tah. Padahal, Irbid dan Mafraq serta seluruh Jordan juga mempunyai kepimpinan dan organisasi sendiri. Tapi hanya Mu'tah yang berkomentar, langsung komentarnya pula berbaur dendam dan hasad dengki.

Sudah lama saya bermukim di Mu'tah ini. Hampir 5 bulan gamaknya. Namun selama itu jugalah saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan pelbagai entiti serta organisasi yang wujud di bumi Syam ini.


Teringat saya akan pepatah lucu yang direka sendiri oleh guru Matematik Tambahan saya sewaktu di tingkatan 5 dahulu;

"Siapa Minum Oren, Terasa Orenlah, Takkan Rasa Sarsi"

Iman Itu Pemandu

Dalam kecanggihan dunia serba moden tanpa sempadan ini, pelbagai perkara boleh dilakukan didalam alam maya ini. Sama ada ia positif mahupun negatif, tergantung ke atas keimanannya ketika itu. Fitnah, kata-kata kesat, tuduhan, caci maki dan pelbagai perkara boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

Namun saya mengingatkan para pembaca budiman sekalian, setiap perlakuan itu ada balasannya, ada penyaksian ke atasnya, seperti mana yang selalu kita ulang-ulangkan di dalam surah Yaasin ayat 65 yang mana berbunyi;

الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَآ أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ

(65. This Day, We shall seal up their mouths, and their hands will speak to Us, and their legs will bear witness to what they used to earn.)

Sesungguhnya, saya mengingatkan diri saya yang lemah ini, dan juga para pembaca yang budiman sekalian, untuk sama-sama bermuhasabah diri, akan segala perlakuan kita yang tidak kita sedari.

Justeru itu, sama-samalah kita memantapkan keimanan kita pada setiap saat dan waktu, agar terjaga segala perilaku kita dari sebarang keburukkan yang akan dipersoalkan dihadapan Rabbul Jalil dihadapan Allah kelak.

Medium Yang Pelbagai, Tapi Akhlak Yang Satu

Komentar seorang pembaca,

seorg abang: matlamat nak tegur 2 betul da... tp saluran dan cara 2 sgt2 xkene... nih pon salah satu sikap da'ie yg selalu silap nak menegur tp xkne care....fikir2kan lah sebelum bertindak...:)

Saluran dan cara yang sangat-sangat tidak kena?

Justeru itu, apakah gunanya ruang blog di alam maya ini? Kalau melaluinya saya tidak dapat menegur. Selain itu, medium apakah yang paling mudah untuk saya menegur? Pergi berjumpa dengan setiap orang dan menegurnya secara face-to-face
?

Walau apapun, saya seikhlasnya sangat-sangat menghargai teguran dari 'seorang abang' tersebut. Terima kasih.

Akhir kata, walau apapun kritikan, teguran, yang diberikan, saya sangat menghargainya. Namun perlu saya ingatkan, seandainya anda tidak dapat menerima pandangan saya di ruang ini, saya dengan lapang dada menyeru anda untuk meninggalkan ruang ini, kerana, kedatangan anda untuk membaca entri-entri, pendapat saya, tidak pernah saya paksakan, begitu juga sebaliknya.

Namun. Ketahuilah, saya menegur kerana sayang, bukan kerana benci.

Anda Muslim? Muslim itu bersaudara, dan ikatan kita adalah agama.

Selamat Bermuhasabah.

Ibnu Abdullah,
Dar Skod, Mu'tah, Jordan.


Tuesday, February 2, 2010

Amanah Sebuah Jawatan

Berat hati saya untuk menulis entry kali ini. Namun berat lagi beban yang tertanggung di benak pemikiran dalam memikirkan akan kesudahannya andai dibiarkan begitu sahaja. Sudah lama saya bermukim di Mu'tah ini. Hampir 5 bulan gamaknya. Namun selama itu jugalah saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan pelbagai entiti serta organisasi yang wujud di bumi Syam ini.

Mencari seorang pemimpin yang memimpin sesebuah organisasi dengan 1001 kesempurnaan adalah mustahil. Juga mustahil bagi seorang pemimpin memuaskan dan memenuhi setiap permintaan dari ahli & rakyat pimpinannya. Namun saya melihat, masalah ini bukanlah timbul dari pemimpin yang dipilih sebenarnya. Namun timbul dari ahli & rakyat sendiri yang salah membuat pilihan.

Memilih seorang pemimpin yang mampu menjalankan tanggungjawab yang diberikan bukanlah sekadar diukur dari TAHAP THIQAH yang wujud dari PERWATAKKAN ZAHIR sahaja, ataupun memilih seseorang yang RAJIN, PANDAI, HAFIZ, mahupun mereka yang selalu memperolehi markah yang tinggi dalam setiap peperiksaan yang dilaluinya. Atau memilih dari kalangan mereka yang petah bercakap. Saya tidak menafikan bahawa kriteria-kriteria di atas adalah antara pra-syarat yang patut ada dalam diri setiap calon yang dipilih.

Namun kesemuanya itu bukanlah SYARAT UTAMA. SYARAT UTAMA yang perlu ada didalam diri dan perwatakan calon yang dipilih adalah mereka yang MAMPU BEKERJA & MENJALANKAN TANGGUNGJAWAB sebaiknya untuk masyarakat pimpinannya.

Apa guna THIQAH, andai tidak tahu menjalankan sesebuah majlis?

Apa guna HAFIZ, andai hanya bercampur gaul dari golongan yang 'sedarjat' dengannya sahaja tanpa mengambil pedoman setiap ayat yang dihafaznya?

Apa guna RAJIN, andai tidak tahu melakukan gerak kerja yang diberikan dengan sebaiknya?

Apa guna PANDAI, andai tidak mahu bertanya pada mereka yang tahu?

Membiarkan diri anda didalam kejahilan ketika memilih pemimpin adalah suatu kesalahan ke atas setiap ahli masyarakat.

Juga suatu kejahilan, jika anda sebagai pemimpin yang dipilih, mengetahui bahawa anda sebenarnya tidak layak, namun menerima amanah yang diberikan tanpa memikirkan kesan yang berlaku dihari yang mendatang di atas kelalaian dan kelekaan anda. Akhirnya, bukanlah kebaikkan yang diperolehi, namun hanya kemudharatan sahaja yang didapati.

Teguran Ikhlas

Bukanlah niat saya untuk memperlekehkan, mengkritik, membuka keaiban ataupun menjatuhkan maruah mana-mana individu yang menjadi pimpinan kepada sesebuah organisasi. Akan tetapi, saya merasakan ini adalah suatu kewajipan ke atas diri saya untuk menegur dan memperbetulkan kesilapan yang berlaku.

Mungkin ramai yang akan memperkatakan, saya selaku seorang ahli dan masyarakat yang dipimpin pun tidak menjalankan amanah dan tidak memberi komitmen yang terbaik dalam program-program yang dijalankan oleh organisasi. Ya saya mengakuinya, itu adalah kelemahan saya sendiri. Namun, bagaimanakah mampu saya merubahnya, andai sekiranya saya merasakan pimpinan sendiri yang tidak memberikan contoh yang terbaik untuk saya ikuti.

Selain itu, sikap 'pilih bulu' juga amat tersebar luas dikalangan pemimpin. Ahli-ahli yang kurang mengikuti program, yang kurang bercampur gaul dalam masyarakat yang aktif berorganisasi, ataupun yang 'kurang akhlaknya' dibiarkan terus terleka dan tidak diambil peduli.

Beginikah sikap yang sepatutnya?

Kesan Buruknya

Adakah di kemudian hari, anda sebagai DA'IE akan memilih orang yang mendengar kata, mudah faham dan selalu mendampingi anda sebagai MAD'U anda dan membiarkan mereka yang sering melawan, jarang memahami apa yang ada perkatakan dan amat kurang mendampingi anda untuk terus terbiar hanyut dalam kehidupan mereka tanpa bimbingan?
Beginikah akhlak yang diajarkan baginda Rasulullah S.A.W kepada sahabat-sahabatnya?

Percayalah, untuk menerima sesebuah amanah, amat mudah, tetapi bagi menjalankannya dengan penuh adil dan saksama, amat payah sekali. Lebih payah dari memikul seluruh isi bumi diatas pundaknya.

Tujuan Sebenar

Adalah bermulanya tujuan sebenar kita sama-sama hadir ke bumi Syam ini untuk mengaut segala ilmu yang tersimpan di perut buminya. Bukanlah tujuan kita datang untuk merebut jawatan dan amanah yang diberikan, sekadar hanya untuk mencari nama. Lantas, kembalilah kita kepada niat murni dan tujuan sebenar kita ke sini.

Akan tetapi, dengan amanah yang telah dipertanggungjawabkan, hendaklah dijalankan dengan sebaik-baiknya. Adil dan saksama dalam memberikan kepada yang berhak. Kerana anda telah SANGGUP MENERIMANYA. Apabila anda telah menyanggupi untuk menjalankan sesebuah amanah, ini juga membawa makna yang anda telah bersedia untuk berdiri dihadapan RABBUL JALIL bagi menjawab setiap soalan dan dakwaan yang akan dilontarkan di Sana nanti.

Saya pernah merasai memegang tampuk pemerintahan, walaupun 700 orang bukanlah jumlah yang besar, namun itu sudah cukup untuk mengajar saya erti amanah sebuah jawatan.
Dikutuk, diperli, dipandang rendah adalah asam garam sebagai pemimpin. Itu adalah lumrah alam. Walaupun itu telah lama berlalu, namun sesalannya tetap terasa hingga ke hari ini akibat kelemahan diri saya sendiri. Kerana jawatan bukanlah keistimewaan. Kalaulah masa mampu diulang kembali, akan saja saya menolak jawatan tersebut
mentah-mentah.

Akhir kata, saya memohon kemaafan andai ada bahasa sindiran yang terkena pada sesiapa sahaja, dan saya bersedia untuk menerima sebarang teguran andai ada dari percakapan, tingkah laku dan perbuatan saya ada yang mengjengkelkan para pembaca budiman sekalian.

Saya menyeru diri saya, dan semua sahabat yang sering menjengah blog saya, untuk mengambil sedikit iktibar dari firman Allah S.W.T yang berbunyi;

إِنَّا عَرَضْنَا الاٌّمَانَةَ عَلَى السَّمَـوَتِ وَالاٌّرْضِ وَالْجِبَالِ فَأبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الإِنْسَـنُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُوماً جَهُولاً

(72. Truly, We did offer the Amanah to the heavens and the earth, and the mountains, but they declined to bear it and were afraid of it. But man bore it. Verily, he was unjust and ignorant.) {33 : 72}

Teguran bukan tanda benci, tapi tanda sayang.

Selamat menjalankan amanah anda dengan sebaiknya.

Salam perjuangan.

Ibnu Abdullah,
Dar Skod, Mu'tah, Jordan.