Saturday, December 26, 2009

Pesan Imam Syafie'

Ketinggian nilai bahasa dalam sesebuah bangsa ataupun peradaban sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Sehinggakan ada beberapa pepatah yang menyebut dan menggambarkan nilai ketinggian bahasa.

Antaranya pepatah Arab yang berbunyi ;

"اللّغة هي الحياة"
"Bahasa itu kehidupan"

Bangsa Arab sejak dari dahulu terkenal dengan ketinggian nilai bahasa Arabnya.
Ini dipamerkan melalui pelbagai syair-syair terkenal. Syair cinta, syair penaik semangat, syair-syair pujian dan pelbagai lagi jenis syair yang mampu menjadikan pendengar yang memahaminya diam kaku.

Namun segala jenis syair itu dapat dipatahkan dengan ketinggian bahasa Al-Quran itu sendiri. Seperti yang telah saya ceritakan dalam entry yang lepas, tentang cabaran Allah kepada bangsa Arab, untuk mendatangkan contoh ketinggian nilai bahasa seperti ayat-ayat Al-Quran.

Namun, kali ini saya tidak berniat untuk menceritakan perihal ketinggian
bahasa Al-Quran, tetapi tentang perihal syair-syair Arab.

Syair Nasihat Imam As-Syafie'

Kelmarin, semasa kelas Aqidah Islamiyyah 1, sebelum sesi pelajaran bermula,
Dr. Ali Fawwaz ada bertanyakan kepada kami pelajar-pelajar Melayu, adakah di antara kami yang menghafal syair-syair Arab. Seperti biasa, seluruh kelas diam kaku. Sedangkan syair-syair Melayu pun tak pernah terlintas dibenak hati untuk dihafal, inikan pula syair-syair Arab.

Lalu, setelah Dr. Ali Fawwaz bertanyakan dari seorang ke seorang, akhirnya ada seorang pelajar akhawat memberanikan diri cuba membacakan syair yang dihafalnya. Bunyi syairnya;

أخي لن تنال العلم إلّا بستّة...ذكاء

lalu Dr. Ali Fawwaz dengan muka yang tersenyum riang terus menyambung;

وحرص واجتهاد وغربة وارشاد الأستاذ وطول الزّمان

Maksudnya : Saudaraku, tidaklah dapat direalisasikan ilmu itu melainkan
dengan enam (perkara), kebijaksanaan, hasrat keinginan,
merantau, tunjuk ajar guru, dan (istiqamah) sepanjang masa.


Istimewanya Syair Arab

Pernah suatu ketika, seorang teman berkata kepada saya, bahawa orang Arab lebih diam dan khusyuk apabila mendengar alunan bait-bait syair daripada mendengar alunan bacaan Al-Quran. Sungguh sebegitu sekali.

Namun, apa yang perlu diambil manfaatnya dalam entry kali ini ialah, pesanan Iman Syafie', berkenaan dengan 6 perkara yang perlu ada dalam setiap jiwa penuntut ilmu.

Pesanan yang amat berharga. Seorang penuntut ilmu yang cemerlang, perlu memiliki sikap-sikap diatas. Kebijaksanaan adalah perkara asas dalam diri penuntut ilmu. Bijaksana tak bermakna GENIUS, namun bijaksana bererti bagaimana seorang penuntut ilmu itu mampu merealitikan dan mempraktikalkan ilmu yang diperolehinya.

Ramai orang mampu menghafal berbuku-buku formula dan teori. Namun seramai mana yang mampu menjadikan teori-teori tersebut sebagai amali dan dipraktikkan dalam kehidupan mereka. Kemudian, sikap berhasrat dan berkeinginan untuk memperolehi ilmu juga ditekankan oleh Imam Syafie'. Misalnya, tidak mungkin seseorang yang tidak berminat mempelajari subjek matematik tambahan mampu memahaminya. Ini terbukti dengan pelbagai jenis kes pelajar yang tidak berminat sesuatu subjek, namun dengan keterpaksaan, mereka terus menelan kepahitan tersebut. Akhirnya, kegagalan adalah jawapan yang paling sesuai.

Bersungguh-sungguh adalah sifat ketiga yang dipesan oleh Imam Syafie'.
Sesungguhnya, sikap bersungguh-sungguh dan berkerja keras dalam melakukan apa jua perkara adalah tunggak utama dalam melakukan apa juga perkerjaan di dunia ini.

Seterusnya ialah, penuntut ilmu perlulah merantau. Tidak semestinya perlu ke luar negara. Namun cukuplah merantau mencari suasana keilmuan. Tidaklah sesuai bagi seorang pelajar, belajar dalam suasana hiburan. Sebab itulah diwujudkan
sekolah-sekolah dan madrasah yang mempunyai asrama. Tidak lain hanyalah untuk mewujudkan suasana pembelajaran

Dalam adab menuntut ilmu juga, tidak boleh tidak bagi seorang penuntut ilmu berguru dan mempunyai guru. Guru adalah menunjuk jalan. Membuka kunci-kunci ilmu, dan kemudian pelajar itu sendiri yang perlu meneruskan langkah meneroka alam ilmu itu.
Akibat tidak bergurulah, mampu menjadikan seseorang itu sesat dalam keilmuannya.
Jadilah seperti para Sahabat yang menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai guru dan mursyid mereka. Itulah sikap dan sifat yang kelima dalam mencari ilmu.


Dan yang akhir sekali. Penuntut ilmu perlulah menjadikan keinginan mencari ilmu adalah keinginannya sepanjang masa. Jika ini tidak direalisasikan, pasti dan pasti ia akan disibukkan oleh pelbagai pekerjaan yang lain. Akhirnya menyebabkan
segala-galanya terluput akibat kesibukkan ke atas selain mencari ilmu.

Begitulah, peri pentingnya seperti apa yang dipesankan oleh Imam Syafie'.
Semoga kita sama-sama dapat melakukannya.

Amin.

Ibnu Abdullah,
Dar Cempaka, Mu'tah, Jordan

Thursday, December 24, 2009

Jangan Jadi Manusia Bodoh Sombong

Saya selalu mendengar pepatah Melayu yang tak pernah wujud dalam buku, namun realitinya ada digunakan oleh teman-teman saya. Antaranya ialah,

"Jangan Jadi Bodoh Sombong. Pandai Tak Boleh Di Ikut, Bodoh Tak Boleh Di Ajar"

Mungin sekali dengar, pepatah ini agak keterlaluan. Namun cuba kita cari apa yang tersirat disebalik pepatah ciptaan remaja Melayu moden ini. Sebenarnya ia membawa satu maksud yang amat mendalam. Iaitu jadilah seorang yang mampu menerima teguran. Saya selalu menyematkan dalam hati saya bahawa manusia itu berbeda-beda dalam cara menafsirkan manusia yang lain. Seorang ayah berbeda cara mengasihi anak-anaknya dengan cara seorang ibu.

Teringat saya pada kisah seorang manusia luar biasa yang termaktub namanya didalam Al-Quran, iaitu Luqman Al-Hakim. Ketika mana beliau dan anaknya bersama seekor keldai tunggangan melalui sebuah pasar yang dipenuhi manusia. Pelbagai soalan menerjah akal. Mempersoalkan perlakuan mereka. Sebentar keldai ditunggangi anak, dikatakan anak derhaka. Sebentar sibapa menunggangi keldai sambil si anak menarik tali keldai, diperkatakan si bapa kurang penyanyang. Pabila keldai tidak ditunggangi dikatakan mereka kufur nikmat. Akhirnya pabila kedua-duanya menunggang keldai, mereka dituduh tidak berbelas kasihan terhadap haiwan.

Disatu sudut, perilaku masyarakat mempersoalkan perbuatan Luqman dan anaknya dilihat seperti terlalu mengganggu privasi. Namun dari satu sudut lain, persoalan-persoalan itu adalah menandakan masyarakat ketika itu mengambil berat terhadap masyarakat dan suasana yang berlaku disekeliling.

Manusia Positif

Jika ini berlaku ke atas diri anda, adakah anda akan tertekan?

Adakah anda akan melarikan diri, duduk berpindah ke dalam gua?

Adakah anda akan membunuh diri akibat terlalu 'stress'?

Jawapannya, hadapilah semua itu. Ubahlah setiap tanggapan negatif menjadi positif dengan memandangnya dari sisi yang mendatangkan kebaikkan.

"People concerning on you in many ways."

Jadi sebagai seorang pendakwah, hadapilah itu semua dengan tenang dan percaya diri.
Tenang dalam menerima kritikan. Percaya diri atas apa yang anda lakukan tidak melanggar syariatullah.

Transformasi

Ya, bukan mudah berubah. Bukan mudah merubah. Bukan mudah diubah. Berubah,Merubah,Diubah, dari satu tabiat kepada satu tabiat yang lain adalah satu perkara yang amat sukar.

Namun itu tidak mustahil. Lihat sahaja Saidina Umar Al-Khattab. Seorang pembunuh, kaki botol, ketua samseng arab jahiliyyah. Kebiasaannya adalah perbuatan maksiat. Namun akhirnya menjadi seorang Muslim dan Sahabat yang sangat berakhlak mulia. Sehinggakan Rasulullah pernah bersabda mafhumnya, "Jika ada lagi nabi setelahku, maka Umarlah orangnya."

Transformasi tidak hanya dapat dilakukan dengan azam dan semangat yang membara sahaja. Ia perlulah di ikuti dengan sikap istiqamah. istiqamah dalam melakukan perkara kebaikan. Tak perlu banyak, biar sedikit namun istiqamah, itu yang paling penting.

Selain itu, penyumbang kepada perubahan diri adalah dengan merubah atau keluar dari suasana lama kepada suasana baru. Contoh paling mudah, apabila seseorang yang banyak bercakap, masuk ke dalam kawasan perpustakaan yang suasananya adalah senyap dan diam, adakah dia akan terus bercakap dengan suara yang kuat dan menjerit-jerti bagai orang gila. Sudah pasti tidak, kalau adapun, dia pasti akan berbisik-bisik.

Begitulah juga diri kita, carilah suasana yang baik dan mampu membawa dan melorongkan diri anda kepada perubahan.

Saya juga cuba berubah. Anda semua bagaimana?

Anda mampu mengubahnya.

Ibnu Abdullah
Dar Cempaka, Mu'tah, Jordan.

Saturday, December 19, 2009

Selamat Menyambut Hijratur Rasul 1431H

Tanpa disedari, waktu rancak berlalu tanpa peduli kepada sesiapapun.
Hari-hari kosong yang berlalu tanpa amal terasa begitu kerugian buat diriku.

Namun apapun..Selamat Menyambut Hijratur Rasul 1431H,
Semoga kita lebih bersemangat dengan penuh keazaman untuk merubah
masa depan menjadi lebih cerah dan terang benderang.

Semalam adalah sejarah,

Hari ini adalah realiti,

dan

Esok adalah harapan yang belum tentu.

Semoga kita memanfaatkan setiap detik untuk Islam agar tidak menyesal di SANA kelak.

وَلَوْ تَرَى إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُواْ رُءُوسِهِمْ عِندَ رَبِّهِمْ رَبَّنَآ أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَـلِحاً إِنَّا مُوقِنُونَ

(12. And if you only could see when the criminals shall hang their heads before their Lord (saying): "Our Lord! We have now seen and heard, so send us back that we will do righteous good deeds. Verily, we now believe with certainty.'') -AsSajdah-

Saturday, December 12, 2009

Al-Quran Itu Mencabar-Mu

Sepanjang sejarah kemunculan agama didalam kehidupan manusia, belum pernah lagi wujudnya sebuah kitab yang mampu bertahan lama tanpa berlakunya sebarang perubahan terhadapnya. Itulah Al-Quran, ia diturunkan 1430 tahun yang lalu dan masih kekal isi kandungannya. Tidak seperti apa yang dilakukan oleh Nasrani terhadap kitab Injilnya, begitu juga oleh Yahudi.

Allah S.W.T telah menjanjikan akan kekalnya isi kandungan Al-Quran dari dirosakkan oleh
tangan-tangan manusia. Ini dikuatkan melalui firman-Nya;

بَلْ هُوَ قُرْءَانٌ مَّجِيدٌ - فِى لَوْحٍ مَّحْفُوظٍ

(21. Nay! This is a Glorious Qur'an,) (22. In Al-Lawh Al-Mahfuz!) ((81 : 21-22))

Begitu sahaja Al-Quran dijanjikan akan keselamatannya. Lihat sahaja buktinya, andai seluruh Al-Quran itu dibakar, masih sahaja ia kekal tersemat di dada-dada para huffaz. Para huffaz yang keberadaannya dijanjikan oleh Allah disyurga kelak. Itu janji-Nya. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji.

Al-Quran, Mukjizat Yang Kekal

Segala mukjizat para nabi dan rasul diturunkan dalam bentuk rupa maadiah, iaitu didatangkan yang benar-benar wujud dihadapan mata. Mukjizat-mukjizat itu juga diberikan berdasarkan keadaan & bertepatan dengan kemahiran kaum tersebut. Contohnya, tongkat nabi Musa yang bertukar kepada ular yang besar melawan kemahiran kaumnya yang terdiri dari ahli-ahli sihir yang mahir menukarkan tali kepada ular. Begitu juga nabi Isa, yang bisa menyembuhkan orang yang berpenyakit kembali sihat, seperti mana keadaan kaumnya yang mahir dalam perubatan.

Dan kepada Rasulullah yang tercinta, dikurniakan mukjizatnya berbentuk Al-Quran, kerana kemahiran kaum Quraisy ketika itu yang mahir dalam bidang bahasa. Mereka terdiri dari para penyair yang mahir dalam balaghah dan kefasihan mereka dalam mempertuturkan bahasa Arab. Tidak seperti arab hari ini. Habis binasa bahasa dipertuturkan mereka dalam bahasa dan loghat tempatan.

Namun kemukjizatan Al-Quran bukanlah berbentuk maadiah, tetapi berbentuk maknawi. Ia harus difikir melalui akal, bukan penglihatan semata-mata. Kerana apa di datangkan dalam bentuk maknawi. Sudah tentunya untuk dikekalkan kewujudannya sehingga hari kiamat. Jika ia berbentuk maadiah, sudah pasti ia akan luput akibat kewafatan nabi & rasul yang tersebut. Tiada lagi tongkat nabi Musa hari ini.

Cabaran Allah Melalui Al-Quran

Mukjizat didatangkan supaya menjadi bukti kenabian dan kerasulan para Anbiya' itu sendiri. Bukti agar risalah yang dibawa diterima dikalangan kaum tersebut. Walaubagaimanapun, telah menjadi lumrah seorang dai'e, bukan semua mad'unya mampu menerima sesuatu. Pasti akan ada yang tidak mahu menerima dan menolak dakwah yang diseru.

Begitu jugalah yang berlaku ke atas dakwah Rasulullah S.A.W. Kaumnya menolak mentah-mentah akan seruan dakwah mentauhidkan Allah. Mereka mendakwa Rasulullah sebaga gila, penyair juga seorang ahli sihir.

Lantas, kasih sayang Allah mendahului segala-galanya. Rasulullah dibela oleh Allah S.W.T dari disakiti oleh kaumnya yang mendakwa bahawa Al-Quran hanyalah rekaan yang diada-adakan oleh Rasulullah S.A.W.

Maka Allah S.W.T telah mencabar masyarakat arab yang terdiri dari pakar-pakar bahasa dan penyair-penyair yang hebat. Terdapat 4 ayat cabaran yang diberikan oleh Allah melalui beberapa tingkat cabaran.

Pertamanya dari surah At-Thur ayat 34 ;

فَلْيَأْتُواْ بِحَدِيثٍ مِّثْلِهِ إِن كَانُواْ صَـدِقِينَ

(34. Let them then produce a recitation like unto it if they are truthful.)

Keduanya dari surah Hud, ayat 13 ;

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ قُلْ فَأْتُواْ بِعَشْرِ سُوَرٍ مِّثْلِهِ مُفْتَرَيَاتٍ وَادْعُواْ مَنِ اسْتَطَعْتُمْ مِّن دُونِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ صَـدِقِينَ

(13. Or they say, "He forged it.'' Say: "Bring you then ten forged Surahs like unto it, and call whomsoever you can, other than Allah, if you speak the truth!'')

Ketiganya dari surah Yunus ayat 38 ;

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ قُلْ فَأْتُواْ بِسُورَةٍ مِّثْلِهِ وَادْعُواْ مَنِ اسْتَطَعْتُمْ مِّن دُونِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ صَـدِقِينَ

(38. Or do they say: "He has forged it'' Say: "Bring then a Surah like unto it, and call upon whomsoever you can besides Allah, if you are truthful!'')

Dan tingkat yang keempat sebagai cabaran yang terakhir, dari surah Al-Baqarah, ayat 23 ;

وَإِن كُنتُمْ فِى رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَى عَبْدِنَا فَأْتُواْ بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِ وَادْعُواْ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ صَـدِقِينَ

(23. And if you (Arab pagans, Jews, and Christians) are in doubt concerning that which We have sent down (i.e. the Qur'an) to Our servant (Muhammad ), then produce a Surah (chapter) of the like thereof and call your witnesses (supporters and helpers) besides Allah, if you are truthful).

Ayat-ayat di atas telah dibincangkan dengan panjang lebar oleh ulama-ulama ulum Al-Quran. Antara kitab yang menjadi rujukan saya bagi entry kali ini ialah kitab Al-Ghidaul Janan Bithamaril Jinan, karangan seorang ulama besar di Jordan, Dr. Fadhl Hasan Abbas, seorang ulama yang buta matanya, namun terang mata hatinya.

Beliau menerangkan dengan panjang lebar akan ayat-ayat cabaran yang diberikan oleh Allah ke atas umat nabi Muhammad S.A.W supaya mendatangkan contoh serupa seperti Al-Quran.

Dalam ayat cabaran yang pertama, Allah S.W.T mencabar agar didatangkan sebuah berita ataupun perkhabaran yang serupa dengan Al-Quran. Namun kaum Quraisy ketika itu tidak mampu melakukan sedemikian. Kemudian Allah S.W.T mencabar lagi, namun dengan mengurangkan beban supaya didatangkan sepuluh surah dan dibenarkan mengajak
pembantu-pembantu selain daripada Allah. Namun Quraisy tetap lemah dan tidak mampu.

Kemudian Allah S.W.T mengurangkan lagi supaya didatangkan hanya sebuah surah dan masih lagi diberi kelonggaran untuk menyeru pembantu-pembantu selain daripada Allah. Begitu juga seperti sebelumnya, ahli-ahli bahasa, para penyair yang terdiri dari kaum Quraisy tetap tidak mampu melawan kehendak Allah S.W.T.

Dan ayat cabaran yang terakhir sekali dari surah Al-Baqarah dibahaskan dengan panjang lebar oleh para ulama, bahasa ayat tersebut lebih tertumpu kepada semua ummat Rasulullah S.A.W sehingga hari kiamat berbanding dengan ayat yang tiga sebelumnya. Ini kerana, konteks seruan dan cabaran didalam ayat yang sebelumnya, lebih tertuju kepada kaum Quraisy dan masyarakat arab amnya.

Dalam konteks ayat yang keempat, ayat tersebut memberitahu bahawa, jika terdapat keraguan dan syak wasangka dengan apa yang diturunkan oleh Allah S.W.T ke atas hambaNya iaitu Rasulullah, maka datangkanlah sebuah surah yang seumpama dengan Al-Quran dan serulah para pembantu dan saksi-saksi dari kalangan jin dan manusia, iaitu selain Allah jika mereka yang mendakwa kebenaran Al-Quran itu benar-benar dari kalangan orang yang benar.

Kebenaran Al-Quran

Banyak lagi dakwaan-dakwaan yang dilemparkan terhadap Rasulullah S.A.W sebagai tanda protes dan menolak kebenaran Al-Quran yang diwahyukan oleh Allah S.W.T.

Contohnya, Al-Quran itu ditulis dan dikarang oleh Nabi Muhammad, Al-Quran merupakan salinan daripada kitab Taurat dan Injil dan pelbagai lagi genre dakwaan dan tuduhan yang melampaui batas. Mana mungkin Al-Quran itu dikarang sendiri oleh Rasulullah S.A.W. Ini kerana terdapat beberapa ayat yang menegur perbuatan Rasulullah S.A.W atas sikapnya yang kurang tepat. Contohnya ayat 1 & 2 dari surah Abasa yang menegur perbuatan baginda yang berpaling dari seorang buta yang ingin mengetahui tentang Islam, manakala Rasul tetap melayan dan meneruskan dakwah baginda kepada pembesar-pembesar Quraisy ketika itu.

Selain itu, peristiwa hitam yang berlaku ke atas ummahatul mukminin, Saidatina 'Aisyah R.A yang dituduh curang dan melakukan perbuatan terkutuk bersama salah seorang sahabat. Setelah kejadian itu sampai ke pengetahuan Rasulullah S.A.W, maka baginda telah mendiamkan diri selama lebih kurang 15 hari. Setelah 15 hari berlalu, barulah diturunkan ayat tentang 'Hadith Al-Ifki', yang berlaku ke atas Saidatina 'Aisyah. Jika perkara ini berlaku ke atas pasangan suami isteri, mana mungkin seorang suami akan berdiam diri dan membiarkan perkara yang berlaku tersebut diperkatakan begitu saja. Paling tidak, sang suami akan membela nasib isteri ataupun terus menceraikan si isteri tersebut.

Namun, apa yang patut diketahui oleh semua Muslimin, semua serangan itu dapat dipatahkan dengan bukti-bukti yang kukuh dan tidak bisa diroboh dengan dakwaan kosong oleh musuh-musuh Islam. Sesungguhnya, Al-Quran itu datang dari sisi Allah dan ia mukjizat yang akan kekal selamanya sehingga tiba hari kebangkitan dan hari pembalasan.

Semoga Al-Quran menjadi hujah yang membela kepada kita, bukan hujah ke atas perbuatan kita.

Ibnu Abdullah,
Dar Cempaka, Mu'tah, Jordan

Thursday, December 10, 2009

Mencari Sebuah Teduhan

Menjadi sebahagian daripada fitrah manusia memerlukan sebuah teduhan sebagai tempat berlindung, sama ada dari panas terik mentari, mahupun kesejukan malam yang mengigit tulang-temulang manusia.

Dari sebuah pondok usang, kepada sebuah rumah batu dua tingkat.

Dari sebuah rumah kayu beratap nipah, kepada sebuah rumah banglow berhawa dingin.

Dari sebuah rumah sewa kepada rumah apartment yang dilengkapi pelbagai kemudahan.

Semuanya itu menjadi tempat berteduh, berlindung, tempat tinggal dan tempat paling selamat dari sebarang bahaya bencana yang datang melanda.

Lindungan Yang Tiada Selainnya

Tadi, saya tertarik untuk menyelak lembaran kitab Riyadus Solihin karangan
Imam An-Nawawi Rahimahullah Alaih. Lalu ada sesuatu yang membuatkan saya terasa sebak dan sayu. Hadis berkenaan diletakkan dalamm Bab Menangis Kerana Takutkan Allah , hadis berkenaan seperti yang berikut;

وعن أبي هريرة قال: قال رسول الله صلّى الله عليه وسلّم:((سبعا يظلّهم الله في ظلّه يوم لا إلّا ظلّه: إمام عادل وشاب نشأ في عبادة الله تعالى ورجل قلبه معلّق في المساجد
ورجلان تحابّا في الله-إجتمعا عليه وتفرّقا عليه- ورجل دعته امرأة ذات منصب وجمال
فقال:إنّي أخاف الله ورجل تصدّق بصدقة فأخفاها حتّى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه
ورجل ذكر الله خاليا ففاضت عيناه)). متّفق عليه

Maksudnya : Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda : 7 (macam manusia) yang mendapat lindungan dimana hari yang tiada tempat berlindung melainkan PERLINDUNGAN ALLAH : Imam yang adil, Pemuda yang senantiasa beribadat kepada Allah, Lelaki yang hatinya terikat (pada) masjid, 2 orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah - berkumpul dan berpisah keranaNya -, Lelaki yang apabila diseru kepadanya oleh seorang wanita (untuk berbuat maksiat) lalu dia berkata : "Sesungguhnya aku takutkan Allah", dan lelaki yang bersedekah secara sembunyi sehingga tidak diketahui tangan kirinya atas apa yang di infaqkannya, dan lelaki yang bersendiri mengingati Allah lalu basah matanya menangis (kerana takutkan Allah). Muttafaqun Alaih

Apa yang membuatkan saya berhati sayu, timbul dibenak pemikiran saya, tika mana matahari sejengkal jauhnya dari tengkuk, tika mana berdirinya saya nanti dalam lautan peluh manusia, tika mana mampukah saya mendapatkan syafaat, adakah bagi saya sebuah jaminan berupa perlindungan dari semua itu?

Imam yang adil.

Pemuda yang taat beribadah.

Lelaki yang hatinya terikat kepada masjid.

Lelaki yang berkasih-kasih kerana Allah.

Lelaki yang takutkan Allah tika mana digoda syaitan untuk bermaksiat.

Lelaki yang bersedekah secara sembunyi.

Lelaki yang berzikir mengingati Allah lalu basah matanya keraa takutkan Allah.

Sudahkah saya dan anda menjadi sebahagian daripada mereka?

Soalan yang perlu dijawab dengan soalan kembali. Mampukah aku?
Mampukah aku, tika mana diberi amanah aku khianat. Begitu payah menjalankn ibadah, jauh sekali hadir ke masjid, apatah lagi sentiasa mahu berbuat maksiat. Zina mata, zina tangan, zina kaki, zina akal cuma belum lagi berzina dengan seorang wanita.
Ringankah tanganku untuk menghulur dan memberi? Selalukah aku berzikir mengingati Allah, menghitung dosa-dosa yang lalu, kemudian menangis mengharapkan redhanya.

Mampukah Aku? Tepuklah dada, tanyalah IMAN & TAQWA.

Membawa Hati Yang Bersih

"..IMAN itu disini, sambil di isyaratkan oleh Rasulullah ke dadanya.."

Hati yang bersih asas kepada kekuatan iman. Hati itu tempat lahirnya TAQWA.
Kalimah hati telah disebut secara jelas didalam Al-Quran beberapa kali.
Hati yang didalam bahasa arab disebut sebagai قلب -Qalbun-. Berasal dari kata tunjang ق-ل-ب atau Qalaba,bermaksud yang berbolak balik. Berbezanya pula dari kalimah hati untuk haiwan iaitu disebut sebagai كبدة.

Berbolak baliknya hati manusia. Mudahnya bertukar ganti perasaanya. Sedih, gembira, takut, berani, resah gelisah, tertawa dan menangis. Itu berupa perasaan zahir. Namun apa yang tersirat disebalik hati yang berbolak balik itu ialah keimanan kepada Allah. Berbolak balik dari mengimani kepada mengkufurinya. Itulah yang diajarkan oleh Rasulullah melalui sebuah doa;

"يا مقلّب القلوب. ثبّت قلوبنا على دينك وعلى طاعتك"

"Wahai Tuhan pembolak balik hati-hati (manusia). Tsabitkan hati-hati kami ke atas agama dan dalam ketaatan kepadaMU"

Qalbun Salim

Bukan mudah menggapai ketenangan jiwa. Segalanya bermula dari hati. Hati sebagai pendorongnya. Pada hatilah terletak segala-galanya.

Hati itu boleh berkarat. Seperti mana besi dimusuhi air & udara yang menyebabkan kepada berlakunya karat. Begitulah juga hati. Musuhnya terlalu banyak. Jagalah hatimu dari rosak binasa dek anasir-anasir yang senantiasa mencari ruang dan peluang.

Allah ada menyebut tentang hati yang sejahtera. Firmannya ;

يَوْمَ لاَ يَنفَعُ مَالٌ وَلاَ بَنُونَ - إِلاَّ مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

(88. The Day whereon neither wealth nor sons will avail,) (89. Except him who brings to Allah a clean heart.) ((Ash-Shuara ; 88-89))

Hati yang sejahtera, penyelamat di akhirat kelak. Tika mana tiada la manfaatnya harta (yang betimbun-timbun) dan anak-pinak.

Apakah yang dimaksudkan dengan hati yang sejahtera ini. Bagi seorang mukmin, hati yang sejahtera ini lahir dari penghayatan dalam menjalani kehidupan mengikut
lunas-lunas agama dan syariatullah. Sejajar dengan itu, menjalankan perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya, tanpa perlu mempersoalkan haknya.

Siapalah kita sebagai hamba mampu mengajukan hak kita kepada Sang Pencipta.
Tanamkanlah rasa malu itu seperti mana Nabi Ayyub A.S yang malu memohon supaya Allah menarik kembali penyakit yang dihidapinya kerana sudah terlalu banyak nikmat yang dikecapi olehnya selama baginda sihat.

وإن تعدوا نعمة الله, لا تحصوها

Semoga kita tergolong dalam golongan yang mendapat perlindungan di mana hari yang tiada perlindungan melainkan perlindungan Allah.

Ibnu Abdullah,
Dar Cempaka, Mu'tah, Jordan.

Saturday, December 5, 2009

Imtihan, Sepanjang Fatrah Kehidupan

Diuji dan teruji sepanjang hayat dikandung badan adalah 1 sunnatullah yang telah ditakdirkan oleh Allah sejak azali lagi. Pelbagai jenis ujian dan rintangan telah Allah sediakan.

Manusia diuji sesuai dengan taraf kemampuannya. Ayat Al-Quran yang dijadikan wirid bagi kebiasaan sesetengah orang Islam seusai menunaikan solat telah membuktikan bahawa manusia akan diuji mengikut kadar kemampuannya.

لاَ يُكَلّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَآ إِن نَّسِينَآ أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلاَ تَحْمِلْ عَلَيْنَآ إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلاَ تُحَمّلْنَا مَا لاَ طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَآ أَنتَ مَوْلَـنَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَـفِرِينَ

(286. Allah burdens not a person beyond his scope. He gets reward for that (good) which he has earned, and he is punished for that (evil) which he has earned. "Our Lord! Punish us not if we forget or fall into error, our Lord! Lay not on us a burden like that which You did lay on those before us (Jews and Christians); our Lord! Put not on us a burden greater than we have strength to bear. Pardon us and grant us forgiveness. Have mercy on us. You are our Mawla (Patron, Supporter and Protector) and give us victory over the disbelieving people.'')

Diuji sekadar lingkungannya, tidak melampaui batas kemampuan.

Ibu bapa diuji dengan anak-anaknya.

Guru diuji dengan anak didiknya.

Penuntut ilmu diuji dengan pelajaran dan fatrah imtihannya.

Pendakwah diuji dengan tentangan dari mad'unya.

Para Huffaz diuji dengan keterlupaan dan kelalainya dalam menghafaz
Dan begitulah seterusnya. Diuji sekadar dalam lingkungan keberadaannya. Jarang sekali manusia itu diuji dengan yang bukan berkaitan dengan dirinya dan kehidupannya.

Fitnah Itu Ujian

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُواْ أَن يَقُولُواْ ءَامَنَّا وَهُمْ لاَ يُفْتَنُونَ

(1.Do people think that they will be left alone because they say: "We believe,'' and will not be tested.)

Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan dengan berkata "Kami telah beriman" sedangkan mereka berlum lagi diuji.Banyaknya manusia berdiri dengan megah lalu berseru dan mendakwa diri mereka telah beriman, menjalankan prinsip-prinsip agama, dan pelbagai lagi genre dakwaan mereka. Namun mereka masih belum sedar akan fitnah yang akan datang melanda. Menguji sejauh mana keimanan mereka berdasarkan tahap iman mereka.

Ini bertepatan dengan sebuah hadis yang berbunyi;

أَشَدُّ النَّاسِ بَلَاءً الْأَنْبِيَاءُ، ثُمَّ الصَّالِحُونَ، ثُمَّ الْأَمْثَلُ فَالْأَمْثَلُ، يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ، فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صَلَابَةٌ زِيدَ لَهُ فِي الْبَلَاء

"Seberat-berat ujian ke atas manusia adalah para nabi & rasul, kemudian orang-orang soleh, kemudian yang terbaik (diantara kamu) dan yang terbaik (diantara kamu). Diuji seseorang itu berdasarkan agamanya, jika teguh agamanya, maka semakin beratlah baginya ujian (tersebut)."

Benarlah, bahawa bagi rasul seberat-berat ujian. Nabi Nuh A.S,
Ibrahim A.S, Musa A.S, Isa A.S dan Rasulullah S.A.W adalah 5 rasul Ulul Azmi. Diuji dengan ujian yang paling berat sekali. Ada yang diuji dengan kekufuran isteri dan anak-anak, diuji dengan perintah menyembelih anak yang disayangi, diuji dengan dakwah yang mendapat seberat-berat tentangan dari kaumnya sendiri dan pelbagai lagi ujian yang yang telah diaturkan oleh Allah S.W.T untuk mereka semua. Namun ia ditempuh dengan penuh kesabaran.

Keajaiban Sabar Dalam Menempuh Ujian

Segalanya telah terbukti, sabar adalah kunci utama kepada kejayaan mengharungi ujian dan dugaan yang datang melanda.

Ketika mana Nabi Ibrahim A.S dikhabarkan melalui mimpi akan perintah Allah bahawa anaknya perlu disembelih. Lalu setelah yakin bahawa itu adalah perintah daripada Allah, maka Nabi Ibrahim A.S mengkhabarkan kepada anaknya bahawa dia perlu disembelih maka apakah kunci kepada kejayaan Ibrahim dalam menghadapi mihnah tersebut?

Tidak lain adalah kerana kesabaran anaknya dalam mematuhi perintah daripada Alla tersebut.

سَتَجِدُنِى إِن شَآءَ اللَّهُ مِنَ الصَّـبِرِينَ

(102."...if Allah wills, you shall find me of the patient.'') As-Saffat.

Nescaya kau akan medapati aku dari golongan orang-orang yang bersabar.

Disitulah kuncinya, maka dengan rahmat dan kasih sayang Allah, digantikanlah Nabi Ismail dengan seekor haiwan ternakan yang sihat lagi gemuk.

Jika sifat sabar dapat dipupuk dan disemai dengan jayanya, maka akan lahirlah seorang insan yang mulia akhalaknya.

Seperti mana yang telah saya huraikan dalam entri yang lepas akan sifat sabar Rasulullah dan para sabahat yang terlalu tinggi dalam menyebarkan dakwah dan menghadapi tentangan kaum sendiri, hingga akhirnya, Islam itu tertegak dengan megahnya diserata pelusuk dunia.

Akhirnya, Istiqamahlah dalam kesabaran dan ia menjadi kesinambungan kepada sempurnya sebuah kejayaan dalam sesebuah ujian.

Semoga kita dapat mengambil iktibar dari kehidupan para Nabi dan Rasul A.S dalam menempuh ranjau kehidupan.

"Selamat Menempuh Imtihan Thani"

Ibnu Abdullah
Dar Cempaka, Mu'tah, Jordan.